Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, October 30, 2017

ERTI PERJUANGAN

Sekali Serban Dililit. Siri 83
10 Safar 1439 / 30 Oktober 2017

ERTI PERJUANGAN
Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. Perjuangan adalah satu perkataan yang sangat tinggi nilai dan punya makna yang sangat besar. *Perjuangan adalah satu usaha gigih yang berani dan sanggup berkorban* untuk capai matlamat, objektif dan hala tuju yang digariskan.
2. *Perjuangan tegak diatas dasar dan prinsip yang jitu*. Ia tidak sekadar semangat, tetapi bersendikan ilmu yang mantap, kefahaman yang jelas, keikhlasan yang tulus dan kesungguhan yang cekal.
3. Sekadar *tubuhkan parti untuk sertai dan menang pilihanraya belum menepati erti perjuangan*. Aktif di medan politik dengan tujuan mahu menjatuhkan individu tertentu atau hanya ingin berkuasa juga tidak menepati nilai sebuah perjuangan.
4. Kalaupun mereka dakwa bahawa itulah perjuangan mereka, maka ketahuilah bahawa ia adalah suatu pencabulan terhadap erti perjuangan yang sebenar. *Mereka rosakkan makna kata perjuangan*. Justeru itu bukan perjuangan tulen.
5. Sebaliknya ia adalah tindakan yang didorong oleh dendam kesumat. Langkah yang emosional, meruntun perasaan yang celaru. Tiada matlamat yang ingin dicapai melainkan sebuah kemahuan yang terbit dari nafsu rakus ingin berkuasa semata-mata.
6. Gerakan mereka tidak bermatlamat. Mereka halalkan semua cara untuk penuhi hasutan yang membisik ditelinga. Kebencian menjadikan mereka tergamak lakukan sesuatu, meskipun melanggar batas aturan Tuhan Yang Maha Mencipta.
7. Lantaran itu, *bahasa mereka sangat berlainan dengan bahasa orang yang berjuang*. Tingkah laku mereka juga ketara bezanya dengan akhlak seorang pejuang.
8. Tiada erti pengorbanan bagi mereka melainkan semuanya mesti berbayar. Tiada makna persahabatan melainkan ada kepentingan yang diperolehi daripadanya. Mereka tidak optimis terhadap masa depan melainkan kbergantung pada pihak lain.
9. Berbezalah dengan erti perjuangan. *Matlamat ditatah dengan jelas. Objektif ditanda dengan teratur. Dasar dan prinsip dipasak sedalam-dalamnya. Pengorbanan melangkaui kepentingan diri. Tempo perjuangan tidak hanya rancak dimusim pilihanraya. Persahabatannya berpaut dengan kasih. Maruahnya tidak boleh dilagang dengan matawang dunia*.
10. Perjuangan bukan mencari menang. Sebaliknya yang dicari ialah Redha Pencipta dalam kemenangan yang mahu diraih. *Kalah tidak mengalah, menang tidak angkuh. Bekerja tanpa syarat, diuji tidak menyesal*. Meski tidak dipilih sebagai pemimpin, ia terus istiqamah sebagai anggota yang taat dan setia. Ia bangga dengan perjuangannya biar 1001 fitnah melanda. *Itulah Erti Perjuangan*.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej