Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, June 4, 2018

SEJARAH PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

SEJARAH PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

Persoalan menghina Baginda Nabi S.A.W bukan perkara baharu. Sejak perutusan lagi, Rasulullah S.A.W telah dihina bahkan diperlaku dengan perbuatan keji dan kejam. Pada zaman kini, gaya penghinaan terhadap Rasulullah berubah mengikut arus perubahan semasa. Negara-negara Barat yang mula-mula mencetuskan bermacam-macam tohmahan terhadap Islam mula menggunakan strategi mereka terkini selepas dari serangan pemikiran iaitu serangan melalui media elektronik dan media cetak terhadap Islam dan Rasul Islam dengan slogan 'hak kebebasan bersuara'.

Penghinaan Musuh Allah Di Zaman Perutusan

Penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W adalah salah satu dasar golongan yang memperjuangkan kebatilan. Sesungguhnya kebenaran dan kebatilan tidak akan berpadu selamanya. Islam datang sebagai pembawa rahmat, mengiktiraf semua Nabi-Nabi terdahulu serta membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran. Penentangan di zaman perutusan adalah lebih dahsyat kerana golongan kafir bertungkus lumus ingin menghapuskan riwayat hidup Baginda S.A.W di samping menghinanya di khalayak sebagaimana yang berlaku :
Pemimpin-pemimpin Musyrikin seperti Umar Bin Hisham (Abu Jahal), Umaiyyah Bin Khalaf, Utbah Bin Rabiah, Syaibah Bin Rabiah, Abu Lahab, Abu Suffian Bin Harb telah melancarkan serangan peribadi dan penghinaan terhadap Nabi S.A.W. Seorang pemuda upahan di Mekah iaitu Uqbah Bin Abi Muit telah meletakkan najis di atas kepala Nabi S.A.W yang mulia ketika Baginda sedang bersujud dalam solat dan Uqbah telah mengulangi kebiadapannya beberapa kali.Fatimah R.A, puteri Nabi S.A.W mengalirkan air mata kesedihan sambil membersihkan kepala Nabi yang mulia. Uqbah juga telah menjerut leher Nabi dalam peristiwa hijrah, dikumpulkan pemuda-pemuda yang perkasa untuk membunuh Baginda S.A.W.

Ketika di Taif, Baginda dilontar dengan batu-batu. Pemuda-pemuda nakal telah dikerah dipintu masuk Bandar Taif untuk memulau Nabi S.A.W dan anak angkatnya Zaid Bin Harithah, darah panas mengalir pada jasad Nabi dan Zaid (yang bertindak melindungi Nabi), halangan-halangan juga diadakan untuk menghalang Nabi masuk semula ke Makkah namun Nabi mendapat jaminan perlindungan daripada Mut'am Bin Adi, seorang 'gedebe' (samseng) di Makkah yang mempunyai ramai anak-anak lelaki yang gagah berani.
Jika diteliti dalam rakaman sejarah semasa zaman perutusan, Rasulullah S.A.W telah dihina dengan pelbagai cara antaranya Nabi S.A.W dicerca dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menghina batang tubuh Baginda S.A.W. Antara tuduhan tersebut ialah :

Nabi S.A.W dituduh sebagai seorang penyair yang mereka-reka qasidah (syair) yang indah untuk memikat masyarakat Quraisy pada masa itu.

Nabi S.A.W dituduh sebagai seorang yang kurang akal. Abu Jahal telah mengupah para pencacai dan pencaci untuk menghina Nabi melalui medium seni, di antaranya ialah An Nadhar Bin Al Harith.
Nabi S.A.W dituduh sebagai seorang tukang sihir.

Nabi S.A.W didakwa tidak layak sebenarnya untuk menjadi wakil Tuhan.
Namun dalam banyak kejadian yang menyakiti dan menghina Nabi S.A.W, datang nusrah (pertolongan) daripada Allah yang Maha Perkasa di dunia lagi sebagai pengajaran atas kebiadaban musuh Islam. Hal ini dapat kita lihat dalam nas-nas yang menyatakan bahawa pada satu ketika Abu Jahal ingin menyakiti Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak berjaya dengan pertolongan Allah Taala sebagaimana dalam hadis yang berbunyi :

Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Kata Abu Jahal: Adakah Muhammad sujud di atas tanah? Lalu dijawab: Ya! Kata Abu Jahal lagi: Demi Al Laat dan Al Uzza sekiranya aku melihat Baginda melakukan demikian, akan kupijak belakang lehernya atau kutekan mukanya ke tanah. Lalu Abu Jahal mendatangi Nabi, dan ketika itu Nabi sedang solat dengan tujuan untuk memijak belakang lehernya. Tiba-tiba Abu Jahal didapati berjalan undur ke belakang dan seolah-olah menahan dengan tangannya. Lalu ditanya kepadanya: Apa yang tidak kena dengan kamu? Jawab Abu Jahal: Antara aku dan Muhammad terdapat parit daripada api yang mempunyai sayap-sayap dan menggerunkan. Lalu sabda Rasulullah S.A.W sekiranya dia (Abu Jahal) mendekatiku akan disentak (anggota tubuhnya) satu persatu.[Hadis riwayat Imam Muslim:2797, Imam Ahmad:2/370]

Dalam kisah yang lain, dinyatakan bahawa isteri Abu Lahab, Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah selalu mencela Nabi S.A.W dan menyakiti Baginda dengan meletakkan duri-duri di jalanan dan di laman rumah Rasulullah S.A.W. Ketika diturunkan ayat Al-Quran yang mencela suaminya Abu Lahab, terus Ummu Jamil mencari Nabi S.A.W dan melontar Nabi dengan batu. Pada ketika itu Nabi sedang bersama-sama dengan Abu Bakar As Siddiq R.A di di sisi Kaabah. Akan tetapi Allah Taala telah menutup pandangan Ummu Jamil dari melihat Nabi S.A.W, lalu Saidina Abu Bakar kehairanan bagaimana Ummu Jamil tidak dapat melihat Baginda sedangkan Baginda berada di hadapannya.

Kata Saidina Abu Bakar R.A, "Wahai Rasulullah, apakah dia (Ummu Jamil) melihatmu?"

Sabda Nabi, "Dia (Ummu Jamil) tidak melihatku. Sesungguhnya Allah Taala menutup pandangannya terhadapku." [Sirah Ibnu Hisham:1/335-336]

Satu lagi kisah yang menerangkan kepada kita bahawa betapa hinanya golongan yang menghina dan mengeji Rasulullah S.A.W sebagaimana dalam hadis :

Daripada Anas bin Malik berkata: Ada seorang lelaki beragama Nasrani telah memeluk Islam, beliau membaca (hafaz) Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Imran. Dia adalah salah seorang juru tulis Nabi S.A.W. Lalu dia murtad dan berkata, "Muhammad tidak mengetahui apa pun kecuali apa yang aku tuliskan kepadanya."

Setelah itu beliau mati dan dikebumikan. Tetapi tanah mengeluarkan (tubuhnya) semula. Lalu berkata kaumnya, "Ini adalah perbuatan Muhammad dan Sahabatnya setelah (Nasrani tersebut) lari dari (Agama) mereka, mereka membongkar semula mayat saudara kita dan dibuangnya."

Maka keesokan hari mereka menggalikan semula tanah sedalam mungkin (untuk menanam mayat saudaranya yang berpaling dari ajaran Nabi itu), tetapi sekali lagi tanah meludah kembali (mayat itu) ke permukaan bumi. Maka, ketika itu baharulah kaumnya mengetahui bahawa (kejadian itu) bukan dari perbuatan manusia, lalu dibuangnya keluar kubur. [Riwayat Imam Bukhari:3617]

Penghinaan Di Zaman Moden

Penghinaan terhadap Nabi S.A.W tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam dalam sejarah, apatah lagi apabila umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan tumbangnya Khilafah Islam yang berakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga kepada isu sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam.

Pada tahun 1989 Salman Rushdie, seorang warga Iran telah menghina Nabi S.A.W melalui karya bejatnya "The Satanic Verses". Protes demi protes umat Islam tidak mengerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Nabi S.A.W, sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Hassan Nasrallah seorang ulama di Lubnan, "Sekiranya umat Islam melaksanakan fatwa Khomeini berkenaan dengan isu Salman Rushdie (hukuman bunuh) sudah tentu tidak ada yang berani lagi menghina Rasulullah S.A.W."

Sekalipun kita menyedari hari ini Hassan Nasrallah cukup dibenci oleh dunia Sunni kerana campurtangannya terhadap kerajaan zalim Bashar di Syria, namun secara adil kenyataannya terhadap pelaku yang menghina Baginda Rasulullah S.A.W mempunyai kewajarannya kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Baginda Nabi S.A.W terus berlaku malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent. Karya wanita jalang ini diulang cetak di Negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di Negara Barat.

Di Negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis warganegara Syria iaitu Haidar Bin Haidar yang bermastautin di Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak. Dia telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memalsukan watak sebenar Nabi S.A.W, Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemonstrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi S.A.W telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah dimana telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Srikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi S.A.W.

Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi S.A.W di Nigeria dalam bulan Ramadhan. Nigeria merupakan sebuah Negara yang pernah tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebagai Khalifah Sokoto di mana seorang ulama besar Afrika iaitu Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan campurtangan penjajah British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam, dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan Syariah Islam. Apabila mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada seorang wanita berkahwin yang melakukan penzinaan.

Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia kemudiannya memilih Nigeria untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksaan syariah Islam di Nigeria Utara)bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan supaya penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.

Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu "Nigeria This Day" telah menulis dalam kolumnya, "Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isterinya".

Kebiadapan sang penghina ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalanraya bagi menyatakan sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar "Nigeria This Day" telah dibakar oleh penunjuk perasaan. Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria sehingga tidak ada lagi ketika ini pengamal media di Nigeria yang berani mengulangsiar kenyataan-kenyataan yang menghina Rasulullah S.A.W.

Pada hari ini Baginda S.A.W terus dihina semahu-mahunya lagi oleh para pendusta dan pengkhianat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan pencinta-pencinta Rasulullah S.A.W tercetus lagi, setelah akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Dalam kartun tersebut telah digambarkan Nabi S.A.W sebagai seorang Arab badawi yang membawa pedang dan diapit oleh dua orang perempuan bercadar hitam di sebelah kiri dan kanannya. Bahkan, dalam salah satu kartun itu Rasulullah S.A.W digambarkan sebagai orang yang berserban dan pada serbannya terselit sebutir bom.

Gambar-gambar ini diterbitkan pada bulan September tahun lepas sehinggga orang akan mengaitkan gambar tersebut dengan peristiwa pengeboman WTC pada 11 September. Sebelum isu penghinaan terhadap kartun Nabi Muhammad yang menjadi bahan ejekan kartunis Kurt Westergaard, seorang warganegara Denmark, pernah berlaku di pameran poster Berlin, terdapat poster yang menghina Kota Makkah dengan menyebut Kaabah sebagai 'batu bodoh'.

Hasil dari terbitnya kartun-kartun biadab tersebut, beberapa negara umat Islam terus mengambil tindakan segera mengajar kebiadaban mereka. Antaranya Arab Saudi yang telah memanggil pulang dutanya di Denmark. Libya telah menutup kedutaannya di Copenhagen, Qatar dan Sudan serta diikuti oleh umat Islam di seluruh dunia Arab dan rantau Asia. Beberapa ketika kemudian setelah Denmark menyepi bangun pula negara-negara Eropah lain simpati kepada Denmark dengan cara mengeluarkan karikatur yang sama di akhbar-akhbar mereka. Menurut BBC sehingga kini tujuh akhbar di Perancis, Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol telah mengeluarkan kartun yang sama atas alasan memberikan sokongan moral kepada Jyllands Posten.

Sebuah akhbar Perancis, "France Soir Daily", di samping menerbitkan kartun biadab itu telah memberikan ulasan katanya, "...No religious dogma can impose its view on a democratic and secular society" (Tidak ada mana-mana fahaman agama yang boleh memaksa pandangannya ke atas sebuah masyarakat demokrasi dan sekular).

Perlakuan biadap terhadap Nabi S.A.W ini telah menggerakkan arus kesedaran dan kecintaan terhadap agama Allah, gerakan Islam di Negara-Negara umat Islam dengan pantas telah memimpin dan menguruskan isu ini dengan baik.Di Negara Timur Tengah sebagai contoh, gerakan Ikhwanul Muslimin telah menganjurkan bantahan yang hebat lalu mengerakkan kempen memboikot barangan Norway dan Denmark.

Di benua Sub-Continent, Jamiat Islami telah mengadakan bantahan yang hebat dan berkesan menentang penghinaan terhadap Baginda Rasulullah S.A.W. Di Pakistan pakatan MMA yang dipimpin oleh Qazi Hussein (Amir Jamiat Islami) telah menganjurkan demonstrasi yang menghimpunkan ratusan ribu umat Islam, bahkan beliau telah dikenakan sekatan dalam rumah oleh Regim Pakistan yang pro Amerika Syarikat.

Di Indonesia, negara paling ramai umat Islam di dunia, bantahan telah dipimpin oleh Partai Keadilan Sejahtera (PKS), puluhan ribu aktivis telah menyertai 'unjuk rasa di kota-kota besar di seluruh Indonesia. Di Malaysia sendiri, Parti Islam SeMalaysia telah mengambil inisiatif menggerakkan kesedaran rakyat untuk menentang penghinaan. Demonstrasi aman dan perarakan aman telah dijayakan oleh pelbagai kelompok dengan dipacu oleh pimpinan Parti Islam seMalaysia. Penghinaan ini memberikan impak yang positif kepada kelompok Islam kerana berjaya menguruskan isu ini dengan baik walaupun disambut dengan ulasan yang sinikal oleh golongan liberal pragmatis.

Di Malaysia, akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama di tengah-tengah kemarahan umat Islam yang sedang memuncak. Kartun itu diselitkan dengan rencana yang bertajuk "Cartoons: Not Much Impact Here". Umat Islam seolah diperbodohkan dengan tindakan ini yang dengan sengaja menguji kesabaran dan rasa toleransi antara agama. Umat Islam bangkit membantah dengan keras tindakan biadap Sarawak Tribune, lalu pihak kerajaan segera mengambil tindakan dengan menggantung lesen penerbitannya. Melihat kepada respon luar jangka ini pihak pengurusan akhbar telah menutup penerbitan ini malah premis akhbar ini dikawal rapi oleh pihak keselamatan.

Ironisnya, kes yang berlaku kepada Sarawak Tribune ini tidak memberi pengajaran kepada akhbar-akhbar lain di Malaysia. Kebiadapan muncul lagi apabila akhbar harian Cina Guang Ming Daily pernah mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut. Golongan bukan Islam ini menjadi begitu berani dan biadap kerana melihat kelemahan umat Islam dan pemerintah yang berada pada tahap paling lemah. Berkat bantahan massa dan NGO-NGO Islam, kerajaan dengan serta-merta menggantung penerbitan akhbar ini selama dua minggu.

Di tengah keperitan hati umat Islam melihat Nabi dihina, keluar lagi gambar karikatur lain dalam sebuah akhbar media perdana yang tersohor di Malaysia iaitu News Strait Times (NST), yang telah mempunyai banyak reputasi menghina Islam sebelum ini dan juga membuka forum kepada kelompok Islam liberal membina pengaruh. Akibatnya umat Islam di Malaysia telah mengadakan demonstrasi aman dan perarakan aman bermula di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar dan berarak aman ke Pejabat NST di Jalan Riong, Bangsar membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad S.A.W lakaran Wiley Miller pada ruangan 'Coffee Break' di akhbar sisipan 'Life and Style' NST pada 20 dan 21 Febuari 2006 yang menggambarkan mesej sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Nuh A.S.

Akan tetapi, NST cuba membela tindakan mereka dengan menyatakan, "The issue we have to decide here is whether the cartoon has transgressed the limits, whether it has crossed the boundaries, and whether it has insulted Islam and the Prophet" (Isu yang perlu kita putuskan ialah, apakah kartun tersebut telah melampaui batas-batas yang ditetapkan oleh - hak kebebasan bersuara - dan apakah ia menghina Islam dan Nabinya?)

Nampaknya NST tidak mengakui kesalahan mereka dalam melakarkan kartun yang mengejek Rasulullah S.A.W, bahkan mempertahankan bahawa perkara tersebut tidak sedikit pun mencemarkan keagungan Nabi S.A.W. Sikap biadap dan kurang ajar peneraju NST ketika itu berkemungkinan besar kerana mereka memiliki pengaruh penaung-penaung politik di negara ini.

Zaman kini tidak merasa pelik jika media sentiasa digunakan menyerang Islam dan umatnya, namun tiada pula tindakan diambil terhadap penghina Islam. Contohnya beberapa petikan akhbar yang diperturunkan di bawah ini untuk ditatap oleh pembaca betapa kotornya pemikiran mereka terhadap Undang-undang Islam, ulama dan penyokongnya :

"...Islam is a discourse and all discourses are open, contested and plastic..." (Islam adalah suatu wacana dan semua wacana adalah terbuka, boleh dicabar dan plastis) - Lihat dalam The Edge, 3 Disember 2001, Farish Noor: Intelellectual Provocateur.

"Perhaps the turbans of the mufti are too tightand therefore not enough oxygen is getting into the brains. They are not thinking straight."(Mungkin kerana serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka, mereka tidak berfikiran waras) -Lihat dalam The Sun bertarikh 21 Februari 2001, Akhbar Ali "Now The Mufti Blame Hindi Films".

"The Quran allows a person to become apostate twice and then to persist in his disbelief...

"...No punishment of any sort at all is prescribed for such a person other than the promise that god will never forgive him not guide him to the right path.This is God's promise. It is his law." (Al Quran membenarkan seseorang menjadi murtad dua kali dan kekal sebagai kafir. Tiada hukuman dinyatakan ke atas seseorang yang murtad selain dari janji Tuhan yang tidak akan mengampuninya mahupun memberinya petunjuk yang lurus.ini adalah janji Tuhan. Ini adalah undang-undangNya) - Lihat tulisan Akhbar Ali dalam the Sun bertarikh 14 Julai 1999 "Death For Apostates Unjust".

"Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa mereka sebagai ulama. Oleh itu sebarang pentafsiran terhadap sumber-sumber Islam seperti Al Quran bukanlah milik para ulama semata-mata" - Lihat Zainah Anwar dalam Utusan Malaysia bertarikh 26 September 2000.

Semua kenyataan biadap terhadap Islam dan ulama ini boleh ditatap daripada akhbar di dalam tanah air kita sendiri dan kemuncaknya ialah perkara inilah yang akan melahirkan mereka yang berani mempersendakan maruah Nabi S.A.W. Sedarkah kita semua dengan fenomena anti agama ini? Jangan kita nampak kuman di seberang laut, buta dengan gajah dihadapan mata!

Sebenarnya, sebelum dari terbit karikatur yang mencemarkan dan menghina Nabi Muhammad S.A.W, telah terbit unsur-unsur penghinaan dengan olahan tulisan dan tayangan video. Antara siri-siri kekufuran tersebut ialah :

Di Negara kita sendiri sebagai contoh, telah berlaku beberapa kali penghinaan terhadap Nabi S.A.W. Pada 4 November tahun 2000 sebuah artikel yang bertajuk "Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality" dalam akhbar NST yang ditulis oleh Farish Noor menyebut, "The fact that Prophet had several wives and was known to have had sexual relation with 15 women, with included the concubine Rayhana who remained non Muslim all her life is proof of the humanity of the prophet". (Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat kemanusiaan Nabi).

Akhbar yang sama melalui penulis yang sama telah memuatkan artikel bertajuk "The Myth Surrounding the Islamic State" (NST 1 Disember 2001) :

"The Prophet himself, in his specific historical context, was a tribal leader, and so the early oath of a allegiance given to him were given as atribal leader than just a religious leader" (Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku liar - tidak bertamadun - dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada Nabi diberi kerana Nabi adalah pemimpin suku lebih daripada pemimpin agama)

Pada tahun 1997, seorang wanita Yahudi Israel, Tatyana Suskin (26) telah membuat dan menyebarkan dua puluh poster yang menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. Di antaranya ialah poster seekor babi yang tertulis kalimah 'Muhammad' dengan pensil di kakinya yang menulis di atas Al-Quran. Lakaran biadab wanita Yahudi ini juga telah diterbitkan dalam beberapa akhbar di Barat.

Pada tahun 2002, dimuat tulisan jurnalis Nigeria, Isioma Daniel tentang Rasul dan Miss World. Pertandingan ratu cantik ini juga bertujuan untuk memperlekehkan pelaksanaan Syariah Islam di Nigeria.

Pada tahun 2004, dirilis filem dibawah garapan produser Theo Van Gogh yang menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. Dokumentari ini yang kononnya sebagai ekspresi kebebasan berkarya dengan memasukkan penghinaan terhadap Islam dan Nabi S.A.W. Golongan liberal kapitalisme ini sentiasa menunjukkan kebencian mereka kepada orang yang beriman.

Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News yang berjudul ‘What Would You Do?’. Dengan berbekalkan kefahaman tekstual terhadap zahir ayat-ayat al Quran, Wilders telah meletak video-video terrorist untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Ketika ditemuramah, Geert Wilders mendakwa al Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia menyerupai buku Hitler, Mein Kampf.

Antara babak yang diputar-tayang ialah petikan video pesawat kapal terbang menghentam World Trade Center pada tanggal 11 September 2001. Setelah itu ditampilkan bacaan ayat al Quran, seolah-olah ayat tersebut memaknai kejadian 11/9. Episod-episod simpati 11 September itu beralun-alun dengan suara mangsa, menjadikan filemnya itu mewakili perasaan rakyat Amerika pada 11/9. Sedangkan, masyarakat Barat sendiri semakin ghairah ingin mengenali dan memeluk Islam selepas peristiwa 11/9.

Apa yang dilakukan oleh Wilders telah memahat reaksi bekas setiausaha utama OIC, Prof. Ekmeleddin Ihsanoglu terhadap fenomena 'kebebasan bersuara' :

"We must not allow freedom of speech to be used as a cover to insult religion." (Kita tidak harus membenarkan kebebasan bercakap untuk digunakan sebagai permulaan untuk menghina agama)


Begitupun sikap yang sejalan dengan al Quran sebagaimana yang ditunjukkan apabila menghadapi orang-orang jahil, ialah :

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini" - Surah Al Furqan:63

Kata Dr. Yusuf al Qardhawi berhubung perbuatan Wilders, "Kami bukanlah (umat yang gemar) memulakan provokasi dan juga tentangan, sebaliknya kami adalah umat yang sejahtera (Salam) dan perkataan 'Salam' merupakan antara nama-nama Allah yang suci dan ditinggikan."

Namun, hari ini umat Islam dikejutkan lagi dengan satu trailer pendek oleh musuh-musuh Islam yang menghina batang tubuh mulia Baginda S.A.W. Trailer ini telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu, dan kemudian syarikat google menegaskan untuk tidak membuang video tersebut untuk terus menjadi paparan bagi sesiapapun yang melayari internet.

Selaku seorang Muslim, isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam. Video ini sekali lagi telah menghina Baginda Nabi S.A.W dengan perwatakan sebagai seorang lelaki yang womanizer - 'gila perempuan'. Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan Para Sahabat R.A.H. Antara skrip yang digunakan di dalam video ini adalah ;

“My age has exceeded 120 years and the all my young life, I have not seen such a murderers against Muhammad. He kills men, captures women and children…”

Kemudiannya wanita tua itu diseksa dengan cara yang sungguh mengaibkan dan sangat bertentangan dengan syariat Islam dan juga peribadi Nabi S.A.W. Sebagai umat Islam kita wajib cakna dan rasa marah dengan isu yang dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu ini. Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dengan paparan Islam sebagai agama kebencian. Menurutnya dia mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.

Filem yang melabel Baginda S.A.W sebagai ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah seperti Mesir dan Libya. Rakyat Mesir dilaporkan telah mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.

Justeru untuk kesekian kalinya, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) turut meminta seluruh pemuda untuk berhimpun aman pada 21 September 2012, bersamaan hari Jumaat ini di hadapan Kedutaan Amerika untuk menyatakan bantahan kita. Pihak DPPM berharap agar setiap Muslim di pelusuk tanah airdapat turun untuk meramaikan himpunan ini, kerana ia menjadi kewajiban untuk kita mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan video seperti ini di hadapan mereka.

- Tarbawi my

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej