Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, January 6, 2019

Fatawa2 ibnu taimiyah cetuskan keganasan


Pemikiran Ibn Taymiyyah (661-728/1263-1328) walaupun ada aslinya, banyak menimbulkan isu-isu kontroversi dalam masyarakat dan dunia Islam sejak dahulu sehingga sekarang. Dari segi asas perjuangan, beliau ingin mengembalikan masyarakat dan dunia Islam kepada tafsiran asal yang bersumber teks al-Quran dan al-Sunnah dan amalan generasi awal Islam (salaf). Dengan kata lain, perjuangan untuk mengembalikan umat Islam kepada amalan golongan salaf dan menolak pendekatan lain termasuk pendekatan bermazhab yang nampak berpecah, pendekatan falsafah yang melebihkan akal, pendekatan sufi yang membawa penyelewengan dan pendekatan Syiah yang melampau. Pendekatan Ibn Taymiyyah membawa kepada penggunaan nama-nama seperti aliran Salafiyyah, gerakan Salafi, Salafisme dan sebagainya.
Pendekatan Ibn Taymiyyah mendapat dokongan gerakan Islam yang baru seperti di Najd, Saudi dengan kelahiran tokoh reformisaliran Wahabi, iaitu Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115-1206/1703-1792) dan mempengaruhi gerakan modenisasi di Mesir bermula dengan Muhammad Abduh (1849-1905) dan muridnya Muhammad Rashid Rida (1865-1935) dan seterusnya. Apa yang membezakan antara aliran-aliran ini ialah pendekatan keagamaan ini ada yang digabungkan dengan pendekatan politik seperti aliran Wahabi dan ada yang bersifat hanya teoris dan akademik tanpa politik seperti aliran Abduh di Mesir.Aliran Abduh juga melahirkan aliran pendekatan sekularis di samping aliran agama sebagaimana yang dipelopori Rida.
Pada umumnya slogan dan metod pendekatan kepada ‘kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah’ mendapat dokongan ramai. Ini berdasarkan beberapa faktor antaranya keperluan untuk kembalinya kepada ajaran Islam yang asli, kemunduran yang berlaku kepada umat dan dunia Islam semasa, berlaku konflik dan perbalahan sesama sendiri, adanya keperluan kepada elemen penyatu dalam masyarakat dan kesatuan pimpinan dan fikrah. Bagaimanapun, pendekatan tersebut membawa kepada kontroversi apabila timbul isu-isu sampingan yang menyebabkan ketegangan dalam masyarakat seperti tuduhan bidahkepada amalan semasa masyarakat, umpamanya bacaan qunut dalam solat Subuh, tahlil, talqin, tawassul, tarikat, ziarah kubur dan sebagainya. Ia tidak berhenti setakat itu apabila berlaku fitnah dan tuduhan kafir-mengkafirkan (takfir)sesama Muslim dalam isu-isu ini kerana ada sikap keras dalam pendekatan tersebut.
Akibatnya masyarakat dan dunia Islam banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk berbahas sesama sendiri dalam isu-isu sampingan. Sebenarnya kalau ia dikaji ia hanya melibatkan isu furu’ (kecil-kecilan) dan bukan usul (asas-asas agama). Pendekatan berbentuk kepercayaan (ideologi) seperti ini dilihat boleh menyebabkan perbahasan menjadi lebihtegang sehingga membawa pertelingkahan yang lebih besar apabila asas kepercayaan digunakan dalam menilai sesuatu perkara sehingga membawa kepada pembunuhan, peperangan dan sebagainya sesama sendiri.Boleh dikatakan sekarang ini tiada lagi titik temu antara dua kumpulan yang berbalah dalam isu ini.Lebih-lebih apabila ada kepimpinan semasa menyokong aliran minority sama ada secara langsung atau tidak. Kekuatan politik tersebut digunakan untuk memaksa aliran tersebut dalam masyarakat.
Sebagai contohnya, di Malaysia pernah berlaku konflik antara Kaum Muda dan Kaum Tua (yang mewakili penganut mazhab Shafie). Pada permulaannya ia berlaku di sekitar tahun 1920 dan 1930-an. Ia bermula apabila Kaum Muda mengemukakan idea-idea baru berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu. Umumnya konflik menjadi reda seketika dan muncul kembali dalam tahun 1940 dan 1960-anapabila masalah khilafiyyah didebatkan seperti isu “usalli” dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah, bacaan Yasin dan sebagainya. Berkat kerjasama dan semangat perpaduan akhirnya masyarakat Islam bersepakat untuk dalam memilih khilafiyyah sebagai amalan yang diterima negara ini. Bagaimanapun, berbanding dengan negeri-negeri lain Perlis nampaknya cenderung untuk menerima aliran Kaum Muda. Ini dapat dilihat dengan adanya Undang-Undang Pentadbiran Agama Negeri Perlis pada tahun 1959.
Seterusnya konflik antara Kaum Muda dan Kaum Tua muncul kembali  bermula 1970-an apabila ramai pelajar pulang selepas menamat pengajian di Saudi dan juga Indonesia. Semenjak kepulangan mereka ke tanah air, mereka mula berjuang untuk membebaskan masyarakat dari pengaruh mazhab semasa, iaitu dalam konteks di Malaysia pegangan mazhab Shafie. Mereka juga melihat banyak amalan bidah dalam masyarakat yang tidak menurut ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Menurut mereka lagi masyarakat Islam tidak sepatutnya terikat dengan satu mazhab sahaja. Ini menyebabkan berlaku pergolakan dalaman masyarakat Islam.
Sehingga kini konflik dalaman umat Islam masih berterusan sama ada di kalangan Kaum Muda dan Kaum Tua di Malaysia. Ini  ditambah dengan pengikut-pengikut yang taksub kepada pemimpin masing-masing. Ini boleh dilihat dengan adanya cabar mencabar antara NGO ASWAJA dan Mufti Perlis dan pengikut masing-masing sejak kebelakangan ini. Keadaan semasa juga bertambah getir dengan berlakunya konflik antara golongan Sunni dan Syiah yang juga berlaku bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara Islam yang lain di Timur Tengah. Di Syria, Iraq dan Yaman jelas menampakkan konflik sektarian yang mendalam antara golongan yang dikatakan mewakili pihak Sunni dan Syiah.
Seruan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah supaya “umat Islam memperkukuhkan permuafakatan dan memantapkan ukhuwah Islamiah bagi menghindari daripada perpecahan disebabkan perbezaan yang berlaku” perlu diambil perhatian sewajarnya. Islam kata Baginda “melarang perbezaan pendapat dalam perkara pokok iaitu usul dan segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan sesama umat Islam.” (http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mantapkan-ukhuwah-hindari-perpecahan-1.390056#sthash.sVeFu8sZ.dpuf).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Ancaman Daesh dan Istilah Kafir Harbi baru-baru ini pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama memantau mana-mana ahli akademik dan agamawan yang menggunakan petikan atau fatwa dari Ibn Taymiyyah apabila ia banyak diselewengkan untuk kepentingan penganas Daesh. Antaranya, fatwa Ibn Taymiyyah tentang aliran Asha’irah sebagai sesat, syirik dan kafir digunakan untuk menghalalkan tindakan membunuh sesama sendiri termasuk rakyat Malaysia (“Polis gesa pantau agamawan guna petikan, fatwa Ibnu Taimiyyah,” http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/polis-gesa-pantau-agamawan-guna-petikan-fatwa-ibnu-taimiyyah#sthash.6dLNJ4r3.dpufwww).
Ini termasuk dalam ancaman keselamatan kerana majoriti masyarakat Islam mengikut aliran akidahSunni dari Imam Abu ’l-Hasan al-Ash‘ari (874-936)dan Abu ’l-Mansur al-Maturidi(853-944).Pihak berkuasa agama perlu mengambil perhatian sebaik dalam menyelesaikan isu ini. Ia perlu diselesaikan sebaik mungkin sebelum berlaku pergaduhan yang lebih besar dalam masyarakat. Dengan kata lain, kenyataan polis sedemikian perlu diambil perhatian agar masyarakat tidak terpengaruh dengan metod pendekatan pemikiran Ibn Taymiyyah yang diselewengkan demi kepentigan masing-masing.
Pendekatan Ibn Taymiyyah boleh dilihat sebagai kritikan dan seruan untuk meninggalkan pegangan ajaran tradisi dan adat setempat juga mendapat sokongan yang mereka yang berfikiran liberal atau berfahaman bebas berikutan wujudnya pengaruh barat dalam masyarakat Islam semasa. Boleh dikatakan bahawa aliran Kaum Muda memudahkan pengaruh aliran liberalismedalam masyarakat. Berikutan itu kelahiran kelompok-kelompok liberal yang memperjuangkan Islam reformis seperti Kumpulan G25, Islamic Renaissance Front (IRF) (http://irfront.net/about-irf/vision-and-mission-statement/)danSisters in Islam (SIS) dan sebagainya. Mereka ini nampaknya tidak mengikat diri mereka dengan asas epistemologi Islam. Dalam memahami teks al-Quran dan al-Sunnah mereka juga meninggalkan kaedah asas sehingga membawa ajaran yang bercelaru dan tersasar dari ajaran Islam.Mereka juga terpengaruh dengan fahaman dan tafsiran yang individualistik mirip kepada ideologi liberal barat.Mereka ini melihat fahaman barat lebih baik dari amalan masyarakat Islam semasa.
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, sebaiknya kita mengenali sejarah ringkas Ibn Taymiyyah termasuk pemikiran dan perjuangannya.
Ibn Taymiyyah: Pemikiran dan Perjuangannya
Nama penuh Ibn Taymiyyah ialah Taqi al-Din Abu ‘l-Abbas Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam Ibn Taymiyyah al-Harrani. Beliau dilahirkan pada 10 Rabi’ al-Awwal tahun 661H/22 Januari 1263 di Harran, Syria. Keluarga beliau berpindah ke Damsyik selepas kejatuhan Harran kepada pihak Monggol. Beliau bermazhab Hanbali dan merupakan tokoh mazhab yang penting dalam mazhab tersebutselepas Ibn Qudamah (541-620/1147-1223) dan Ahmad bin Hanbal (164-241/780-855).
Shams al-Din al-Dhahabi (1274-1348),juga merupakan murid kepada Ibn Taymiyyah mengatakan bahawa Ibn Taymiyyahseorang tokoh yang mahir dan cekap dalam mengemukakan dalil al-Quran dan hadis dalam semua isu. Namun begitu ada yang menyifatkan Ibn Taymiyyah ada kelemahan yang radikal dalam pemikirannya walau pun cekap dalam pendalilanberdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Beliau bukan tokoh yang diiktiraf autoriti dalam bidang akidah dan syariah di kalangan ulama semasa. Dengan sebab itu banyak kelemahan timbul dalam pemikiran akidah dan fatwanya kerana bertentangan dengan persetujuan ramai ketika itu.Dengan sebab itu ada pandangan yang nampak berlebihan sehingga menyifatkan Ibn Taymiyyah sebagai seorang “mubtadi’” dan pembuat khurafah (heretic) dalam banyak pandangannya. Ada pula yang menuduhnya bersalah sehingga boleh membawa kepada kekafiran (kufr) disebabkan kelancangan mulut menuduh orang lain sebagai syirik, kufur dan sebagainya.
Ibn Taymiyyah mengatur hidupnya secara sederhana dengan menumpukan kepada pelajaran, penulisan dan pengajaran. Beliau tidak pernah berkahwin dan tidak berjawatan dalam kerajaan. Beliau merasa cukup hanya untuk bertindak sebagai ulama dan aktivis masyarakat. Akibat perjuangan yang dirintas beliau banyak kali dipenjara. Ada yang menyatakan beliau dipenjara sebanyak enam kali dalam suasana yang berbeza dengan tempoh tahanan,ada yang menyatakan melebihi 6 tahun atau ada pula 12 tahun sekiranya dijumlahkan. Yahya Michot (2012) pernah menyatakan antara sebab ditahan ialah beliau banyak mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan aliran semasa, peribadinya yang terlalu lantang, timbul kedengkian di kalangan rakan-rakan sendiri, beliaumembawa keburukan kepada ketenteraman awam dan permainan politik penguasa. Ada pula yang menyatakan pihak berkepentingan berjaya memujuk pihak berkuasa untuk melakukan sekatan politik dan memenjarakan Ibn Taymiyyah.
Untuk lebih memahami corak pemikiran Ibn Taymiyyah ini, beberapa contoh dan kes boleh dibuat. Antaranya dalam kes fatwa tentang seorang Kristian yang mencerca Nabi (s.a.w.). Ia berlaku semasa Ibn Taymiyyah berusia awal 30-an. Apabila beliau diminta mengeluarkan fatwa seorang Kristian yang bernama Assaf al-Nasrani yang mencerca nabi tersebut, beliau menfatwakan supaya dibunuh dan mendapat sokong awam. Gabenor Syria merasa ia perlu diselesaikan secara baik dan meminta pemuda itu memeluk Islam sebagai ganti hukuman tersebut. Ibn Taymiyyah secara tegas meminta pemuda tersebut dihukum bunuh dan tidak dapat sekali-kali menerima pemelukan Islam sebagai ganti di sebalik hukuman bunuh tersebut. Beliau bersama-sama orang ramai mendesak kerajaan membunuh pemuda tersebut.
Dalam kes-kes lain, Ibn Taymiyyah dan para pengikutnya berjuang menentang mana-mana amalan yang mengikut pendapat mereka bertentangan dengan ajaran Islam.Asas perjuangan mereka ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran. Antaranya beliau menyuruh kanak-kanak mencukur rambut, menggalakkan kempen anti pelacuran, memukul golongan aties terlebih dahulu sebelum hukuman yang sah dijalankan, memusnahkan mana-mana batu suci dalam masjid, menyerang tukang ramal dan memaksa ahli sufi yang menyeleweng bertaubat di hadapan ramai dan memaksanya mengikut Sunnah. Ibn Taymiyyah dan pengikutnya juga menyerang kedai-kedai arak, memecahkan botol-botol dan menyempahkan arak-arak di lantai-lantai.
Dalam beberapa isu-isu utama, Ibn Taymiyyah lebih mempercayai bahawa Allah menyerupai manusia kerana meletakkan kepercayaankepada zahir ayat-ayat al-Quran seperti tangan (yadd Allah), wajah (wajh Allah), pergerakan dan sebagainya. Fahaman tashbih mendapat tentangan aliran Asha’irah yang mendalami faham tawhid yang sebenar. Akibatnya beliau dipenjara kerana menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menggangu keharmonian masyarakat. Ibn Taymiyyah juga tidak mempercayai syafaat di hari Akhirat. Beliau juga berpendapat sesiapa yang tidak menerima versi Islam yang sebenar perlu ditentang dan dibunuh. Beliau percaya mereka yang meziarahi kubur wali dan juga Nabi sendiri melakukan bidah dan perlu ditentang sehebat mungkin. (“Ibn Taymiyyah: The Founder of ISIS,” Islamic Philosophy, http://islam.hilmi.eu/ibn-taymiyyah-the-founder-of-isis/)
Ibn Taymiyyah meninggal dunia ketika berusia agak lanjut iaitu 65 tahun semasa berada dalam penjara. Jenazah beliau dikebumikan di Damsyik di perkuburan para Sufi dengan lebih 200 ribu berhimpun menyaksikan pengebumian jenazah beliau. Adik beliau Sharafuddin juga dikebumikan di perkuburan yang sama. Walaupun Ibn Taymiyyah berjuang menentang perbuatan menziarahi kubur para wali, ramai pengikut dan orang ramai mengunjungi kubur. Ada juga di kalangan orang ramai yang berebut-rebut untuk memilik mana-mana barangan peribadinya termasuk kopiah yang dipakai dan rantai yang dibuat dari kapor untuk membunuh kutu semasa diadakan jualan lelong. Ada berita menyatakan ramai yang berebut meminum air mandian mayat beliau. Nampaknya perlakuan melampau sebegini masih kuat dan Ibn Taymiyyah mungkin juga dianggap sebagai orang suci sebagaimana para Sufi terdahulu.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, IIUM

Rujukan
Abdull Rahman Mahmood, Dr. & Engku Ibrahim Engku Wok Zin,
Pemikiran Imam Ibn Taymiyyah dan Muhammad Abdul Wahab: Satu Analisis Pebandingan,” Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan II (PEMIKIR II)
20-22 Julai 2010, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur, http://saidaneffendi-darussalam.blogspot.my/2012/02/pemikiran-imam-ibn-taymiyyah-dan.html (akses 27/9/16)
Hassan, Hassan “The Sectarianism of the Islamic State: Ideological Roots and Political Context”, http://carnegieendowment.org/2016/06/13/sectarianism-of-islamic-state-ideological-roots-and-political-context-pub-63746
Ibn Naqib, Ahmad al-Misri, Tradition Sunni Manual of Shari’ah Reliance of the Traveller (‘Umdat al-Salik), trj, Noah Ha Min Keller, Sunnah Books, 1991
“Ibn Taymiyyah: The Founder of ISIS,” Islamic Philosophy, http://islam.hilmi.eu/ibn-taymiyyah-the-founder-of-isis/
Al-Khateeb,Motaz,Dr. “Daesh’s Intellectual Origins: From Jurisprudence to Reality,” AlJazeera, Sunday, 18 January 2015 http://studies.aljazeera.net/en/dossiers/decipheringdaeshoriginsimpactandfuture/2014/12/2014123981882756.html
Maisarah Sheikh Rahim dan Azrul Hakimi Anuer,  “Mantapkan ukhuwah, hindari perpecahan”03 Oktober 2016, http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mantapkan-ukhuwah-hindari-perpecahan-1.390056#sthash.sVeFu8sZ.dpuf
Usaid Subki,“Benarkah ideologi Ibn Taimiyyah punca keganasan?,” The Malay Mail, 14 Ogos 2016 http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/pendapat/article/benarkah-ideologi-ibn-taimiyyah-punca-keganasan-usaid-subki#sthash.7DtxniVF.dpuf

http://tanwir.my/isu-isu-kontroversi-di-sebalik-pemikiran-ibn-taymiyyah/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej