Jangan Najib dikata lebih baik dari Mahathir, Anwar
SUBKY LATIF 23 FEBRUARY 2019
PERHATIAN terhadap Dato’ Seri Najib meningkat kian hari. Sebaliknya Perdana Menteri Mahathir pula menurun dan menurun seolah-olah suasana pasaran saham di zaman pentadbiran pertamanya dulu, rendah dan tidak naik-naik.
Adapun Dato’ Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak ada. Tidak seperti masa dia dipenjara dulu. Dia dirasakan sentiasa ada dalam perhatian ramai. Setelah dibebaskan atas perintah Seri Paduka dan selepas Langkah Port Dicksonnya dia seolah-olah hilang bersama anaknya.
Keadaan nampaknya kini orang menunggu apa Najib kata dalam laman webnya dan ke mana dia pergi? Berduyun-duyun orang mengikuti dan menunggunya.
Pada hal tahun-tahun akhir menjelang PRU14 dulu orang-orang Umno tertentu saja yang menjunjungnya. Malah majoriti orang Umno diam tapi di benak masing-masing berasa laksana merayapnya api dalam sekam. Yang tidak diam Mahathir dan Muhyiddin Yassin hingga mereka campak Umno ke muara Sungai Pahang.
Ada pun orang ramai adalah seperti bendul lurus yang jika boleh bersuara nescaya kedengaran bisikan bila Najib hendak pergi?
Bolehlah dikira semuanya menaruh harapan yang melangit atas gencatan senjata Mahathir-Anwar, mengiranya satu rahmat mula bersinar.
Najib seolah-olah sudah habis setelah BN kalah dan dia melepaskan pimpinan Umno. Umno melarangnya turun ke PRK Sungai Kandis. Umno macam tidak menghendakinya lagi.
Negara seluruhnya menunggu rahmat datang bersama Mahathir dan Anwar. Dengan segala tohmah yang melanda Najib, orang mengagak ke mana dia akhirnya?
Ditakdirkan rahmat tidak datang seperti kilat, mungkin merayap seperti semut. Anwar diam demi mahu mereformasikan Parlimen sambil menunggu apa Mahathir hendak buat dan apa rahmat yang hendak dibawanya bersama Guan Eng. Langkah Port Dickson belum mengubah apa-apa di Parlimen.
Manifesto Mahathir-Anwar dan Guan Eng sudah jadi guruh yang hujan tak jadi turun. Rahmat nampaknya lambat dan banyak di lidah dan otak Guan Eng. Nikmat jika ada, dinampak oleh DAP yang selama-lamanya kenal nikmat yang disediakan Guan Eng sejak sebelum Najib digantikan. Adapun yang bukan DAP khususnya bekas soldadu Umno tidak nampak rahmat yang DAP nampak.
Selain dari Guan Eng yang nampak faham itu rakan-rakan si Moorty. Rahmat bergerak seperti semut, entah tiba, entah tidak tiba.
Sesudah lapan bulan Najib jadi macam Luncai dengan labu-labunya orang mulai merasa bala di zaman Najib dulu seolah-olah lebih ringan dari rahmat yang dimanifestokan oleh Mahathir-Anwar- Guan Eng. Semua setuju dulu yang bersama Najib dulu adalah racun, tetapi dengan penawar yang dibawa PH, tidak dirasa seperti penawar dirasakan lebih bisa dari racun dulu. GST dulu racun. Digantikan dengan SST. Ia macam racun juga.
Kejatuhan minyak dan pemulauan Eropah atas sawit menjatuh nilai ringgit. Malang atas ringgit Najib gandakan eksport. Dia sediakan pasaran atas sawit iaitu China. China pun bukanlah rakan yang lurus. Banyak belitnya juga.
Ringgit kian uzur, apa jadi dengan eksport kita? China macam Eropah tidak import sawit. Guruh rahmat bertambah perlahan.
Bila rahmat payah tiba, rakyat pula kurang sabarnya. Memburukkan Najib saja, tidak menjadikan Mahathir-Guan Eng lebih baik. Jika Mahathir-Guan Eng segerakan rahmat, kekallah buruk Najib. Mulailah persepsi orang Najib lebih elok dari Mahathir dan Anwar.
Najib tetap tidak jadi contoh, justeru Mahathir dan Anwar bergerak macam semut, orang kata Najib lagi elok. – HARAKAHDAILY 23/2/2019
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej