Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, April 5, 2020

Coronavirus dan Keruntuhan Tatacara Dunia

Coronavirus dan Keruntuhan Tatacara Dunia

Setelah tamatnya Perang Dunia Pertama, muncul sebuah tatacara dunia baru yang berbahaya, tatkala negara-negara yang menang dalam perang ini mengambil pelbagai langkah untuk memastikan dunia di bawah kekuasaan mereka. Imperialisme dan kolonialisme menunjukkan wajah hodohnya, yang melebarkan lagi pengaruh negara Britain dan Perancis serta beberapa buah negara Eropah lain, terhadap negara-negara yang berada di benua Afrika dan juga Asia. Mereka mengawal koloni-koloni tersebut dengan kekerasan dan merampas segala kekayaan milik negara yang mereka jajah, mengubah dan menghancurkan segala budaya, nilai, pegangan dan prinsip-prinsip dalam masyarakat yang mereka kuasai.

Pengaruh Kesatuan Soviet pula yang diperluaskan ke negara-negara Asia Tengah seperti Azerbaijan, Armenia, Georgia dan negara-negara Baltik telah membawa bencana yang besar melalui sistem sosialis komunis yang dipaksakan ke atas negara-negara tersebut. Kesatuan Soviet juga memaksa masyarakat di bawah jajahan mereka dengan mempelajari bahasa, kepercayaan dan nilai-nilai yang mereka anuti, dan menjadikan mereka sebahagian daripada sistem komunis yang rosak ini.

Demi menghalang kemunculan dari mana-mana sistem pemerintahan kuat yang mampu menghapuskan kejahatan kolonialisme Britain dan Perancis serta dominasi Soviet Rusia, negara-negara berpengaruh dalam tatacara dunia ini mengambil pelbagai langkah untuk menghapuskan sebarang usaha atau jejak dalam mengembalikan sistem Khilafah Islamiyyah, iaitu satu-satunya sistem yang menawarkan kepada dunia sebuah lagi model alternatif pemerintahan, ekonomi, politik, nilai-nilai, keadilan, dan perlindungan yang lebih baik kepada rakyatnya, sebagaimana yang telah disaksikan dunia sebelum ini.

Para kolonialis dengan sengaja telah memisahkan dan memecah-belahkan dunia Islam menjadi negara-negara kecil. Mereka melantik agen-agen yang telah dipilih khusus, yang bersungguh-sungguh menjaga kepentingan negara-negara kolonialis. Agen-agen ini bekerja sepenuh tenaga mereka untuk memerangi Islam dari sudut politik dengan menindas dan menghalang sepenuhnya sesiapa sahaja yang ingin mengembalikan Khilafah Islamiyyah. Selain itu, Britain, Perancis, Rusia dan sekutu mereka menubuhkan sebuah negeri Yahudi di Palestin untuk menjadi titik tumpuan dalam mengalihkan perhatian umat Islam daripada menubuhkan Khilafah Islamiyyah, yang memikul tanggungjawab menghapuskan tatacara dunia yang tidak adil ini.

Tercetusnya Perang Dunia Kedua tidak mengubah tatacara dunia secara drastik, akan tetapi telah menjadikan Amerika sebagai pengganti Eropah dalam penguasaan dunia, kolonisasi dan penjarahan kekayaan dunia pada ketika ini. Sementara itu, Soviet Union (Rusia) pula telah meluaskan pengaruhnya di Eropah Timur.

Kegusaran sistem antarabangsa moden ini tetap terfokus kepada usaha menyekat kemunculan mana-mana negara yang ingin bersaing, mencabar, atau campur tangan dalam menentukan nasib tatacara dunia, atau menyaingi dominasi Amerika dan Soviet Union. Dalam masa yang sama, Amerika dan Rusia telah mencapai sebuah persefahaman untuk bekerjasama dalam menghalang kebangkitan kuasa-kuasa lain seperti Britain dan China. Namun apa yang paling mustahak sekali bagi mereka ialah menghalang kebangkitan kekuasaan Islam, sebuah kuasa yang membawa prinsip, peraturan dan nilai-nilai yang bertentangan dengan kapitalis dan juga sosialis.

Sejak tahun 1991 (setelah keruntuhan Kesatuan Soviet), sistem kapitalis yang berada di bawah kekuasaan Amerika telah mengambil alih tatacara dunia dan memperketatkan lagi cengkamannya dengan kuku besi. Peta politik dunia telah dirombak dengan kemunculan beberapa negara baru di Eropah Timur, iaitu bekas Soviet Union dan juga di Afrika. Namun yang masih menjadi ancaman utama kepada tatacara dunia ialah kebangkitan sebuah negara yang mempunyai prinsip, tatacara, dan nilai-nilai yang bercanggah sepenuhnya dengan sistem kapitalis global. Satu-satunya ancaman kepada mereka adalah yang datang daripada Daulah Khilafah Islamiyyah.

Apabila masyarakat di negara-negara Arab memberontak serta bangkit setelah krisis kewangan yang membawa bencana terhadap dunia kapitalis pada tahun 2008-2010, dan muncul dengan jelas tanda-tanda aspirasi umat di dunia Islam ke arah mengembalikan sistem pemerintahan Islam untuk menghapuskan ketidakadilan yang bersandarkan kepada nilai material dan sistem kapitalis itu, lalu tatacara dunia yang dikuasai Amerika telah bertindak memperkuatkan lagi cengkaman ke atas dunia Islam.

Amerika dan sekutunya bekerja keras untuk menggagalkan revolusi Islam dengan mengalihkan perhatian dunia dan menfitnah imej Islam dengan pelbagai cara supaya umat tidak berharap akan kembalinya sistem Islam. Amerika bertindak balas terhadap revolusi Arab dengan penuh dendam sehingga membawa kepada pembunuhan dan perpindahan penduduk secara terpaksa di Syria, Libya dan Yaman, di samping keganasan dan penindasan di Mesir dan Saudi Arabia.

Namun, perlu diperhatikan bahawa revolusi Arab mula tercetus tatkala tatacara dunia sedang berada dalam keadaan lemah semasa fasa interim susulan daripada krisis kewangan yang melanda dunia antara tahun 2008 – 2010 yang mencetuskan kegoncangan ke atasnya. Setelah krisis kewangan sedikit pulih, Amerika dan sekutunya kembali menindas dan membalas dendam terhadap mereka yang memberontak, dan mereka (Amerika dan sekutunya) berusaha menghalang revolusi tersebut. Mereka menggunakan pelbagai cara termasuk menggunakan kekuatan persenjataan dan mengerahkan ejen-ejen yang kejam.

Sistem global Amerika yang tidak adil ini telah memberikan isyarat kepada dunia, bahawa selagi sistem ini mempunyai kekuatan dan daya tenaga, ia tidak akan membenarkan mana-mana negara, sistem atau orang untuk tampil menjadi pesaing, penentang, atau mempunyai lebih pengaruh. Mata, telinga dan agen-agennya dikerahkan agar sentiasa mengawasi dunia Islam yang mempunyai benih yang ampuh untuk perubahan, dan juga idea yang kuat serta hidup. Waktunya juga telah tiba untuk perubahan tersebut menjadi realiti, sebagaimana yang disebut para pemikir dan juga ahli politik.

Hari ini, dengan tersebarnya wabak virus Corona di seluruh penjuru dunia sebagai pandemik, tidak kira bagaimanapun ia bermula, dan bagaimana dunia sedang dieksploitasi kerana isu ini, ia telah menjadi salah satu faktor yang akan mempercepatkan lagi keruntuhan sistem ekonomi (kapitalis) global. Sesungguhnya sistem ini secara tabie mempunyai krisis dalaman ekoran kewujudan wang maya yang jumlahnya berkali ganda banyak berbanding wang yang sebenar. Tambahan pula, pertumbuhan ekonomi dalam sistem ini adalah bersandarkan kepada pertumbuhan kewangan yang tidak dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi yang sebenar.

Manakala (dengan adanya) hutang-hutang yang ditanggung oleh negara, individu dan institusi, maka dengan satu sahaja krisis yang kuat seperti pandemik Coronavirus ini, sudah cukup untuk membawa kepada siri kejatuhan bertimpa-timpa, yang disusuli pula dengan disintegrasi (perpecahan) tatacara dunia.

Dalam masa yang terdekat ini, banyak syarikat dan institusi kewangan yang akan gagal memenuhi permintaan dan membayar hutang-hutang mereka kepada bank yang disuburkan dengan amalan pembayaran ansuran ribawi.

Syarikat penerbangan, perkapalan, perhotelan, restoran, industri berasaskan minyak, industri kenderaan, dan pelbagai industri lain akan hilang kemampuan untuk membayar faedah hutang mereka, yang juga akan mengakibatkan keruntuhan sektor perbankan. Kadar pengangguran yang semakin ramai akan mengurangkan kutipan cukai secara mendadak, dan dengan ini kerajaan tidak akan dapat membayar hutang mereka.

Oleh itu, krisis Coronavirus akan mendedahkan kelemahan dan kepincangan yang tersembunyi dalam sistem ekonomi kewangan yang bersandarkan kepada pembohongan, penipuan dan ilusi semata-mata. Seterusnya, ikatan yang selama ini mengukuhkan tatacara dunia, yang diterajui oleh Amerika, tidak akan lagi dapat mengekalkan keutuhan sistem, yang akan menuju kepada disintegrasi ekoran kelemahannya, seterusnya disusuli keruntuhan yang menjurus kepada ketidakupayaannya untuk melanjutkan dominasi, cengkaman dan kolonialisme.

Maka peluang untuk menegakkan Khilafah menjadi sangat tinggi dalam suasana hari ini, dengan bermulanya keruntuhan sistem global yang dikuasai oleh Amerika yang mengawalnya dengan pelbagai bentuk ancaman, ugutan dan tekanan, yang disertai dengan keruntuhan dominasi tunggal sistem kapitalisme di persada antarabangsa.

Sungguhpun demikian, kejatuhan tatacara dunia itu sukar untuk dijangka selagi Amerika dan sekutunya melakukan pelbagai bentuk tindakan terdesak untuk menunda dan menghalang keruntuhan sistem kewangan dengan segala pendekatan dan cara yang palsu.

Namun krisis semasa ini berkemungkinan besar akan menghapuskan kekuatan dan sumber Amerika dan sekutunya, serta menghalang mereka daripada mendukung ekonomi berasaskan wang maya yang penuh dengan penipuan. Keruntuhan dalam keadaan sedemikian sudah tidak dapat lagi dielakkan.

Keruntuhan ini akan menjadi lebih cepat lagi dengan berlatarbelakangkan krisis global Coronavirus, tidak kira siapa pun yang berada di belakangnya, bagaimana ia terhasil, dan bagaimana ia menyebar. Perkara yang paling penting sekali ialah keadaan global pada hari ini terdedah kepada angin perubahan, dan perkara ini mirip seperti keruntuhan yang berlaku pada tahun 2008 selepas Taufan Katrina dan peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Inilah perkara yang telah kami perkatakan berulang kali, bahawa kini adalah masa dan waktu yang sesuai untuk mengembalikan tatacara pemerintahan Khilafah yang mandiri dalam menguruskan dan mengekalkan kesejahteraan.

Perkara ini tertanggung di bahu sesiapa sahaja yang ingin melakukan perubahan, dengan kaedah (thariqah) dan alat (uslub & wasilah) perubahan yang benar untuk merealisasikan janji Allah (swt) menuju kemenangan dan kesejahteraan. Saya memohon kepada Allah (swt) agar perkara-perkara tersebut dipenuhi sehingga melayakkan kita untuk melaksanakan janji-Nya.

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur (24):55].

Artikel diterjemah dan diolah daripada tulisan asal berjudul “Corona and Collapse Wold Order” oleh Dr. Mohammad Malkawy.

(https://www.facebook.com/mohammad.malkawy/posts/2968672146587731)

Diterjemah oleh: Sdr. Alhan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej