Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, May 1, 2019

Hj Mat Lela Pahlawan Pahang


Tukang Rumah Mahir Temerloh
Hj Mat Lela
Pahlawan Pahang
Besi berat dikuis dengan kaki;
“Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!” Tercalar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Hj. Mat Lela lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki kanannya, ”Boooom!!!burrrrr……” besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai.
DALAM lipatan sejarah, Mat Lela memainkan peranan yang amat besar dalam menentang campurtangan Inggeris di negeri Pahang. Mat Lela adalah anak kepada Datuk Bahaman Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Mat Lela turut berjuang bersama Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mamat Kelubi, Panglima Hitam Hj Othman @ Radin Damabulan dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain dari tahun 1891 hingga 1895. Nama beliau turut terpahat dalam Sejarah Pahang sebagai pahlawan Melayu terbilang.
Nama Mat Lela banyak digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu. Di negeri Pahang hanya ada dua orang yang mempunyai nama serupa yang memiliki ilmu kepahlawanan yang cukup tinggi. Sudah semestinya salah seorang itu adalah Mat Lela anak Datuk Bahaman sendiri dan seorang lagi yang ramai belum mengenalinya ialah Hj. Mat Lela bin Buang.
Hj. Mat Lela bin Buang yang ingin penulis kisahkan kali ini merupakan sahabat baik kepada Mat Kilau Pahlawan Pahang. Beliau mempunyai ilmu setanding dengan ilmu kepahlawanan Mat Kilau. Jika Mat Kilau memiliki buntat embun, gagah dan boleh menghilangkan diri, Hj. Mat Lela pun begitu juga. Mungkin mereka sama-sama berguru tetapi disebabkan Mat Kilau menjadi buruan pihak Inggeris maka sahabat-sahabat beliau terpaksa merahsiakan perhubungan antara mereka.
Hj. Mat Lela atau dikenali dengan panggilan Tok Janggut berasal dari Kg. Luit, Maran, Pahang. Ketika Sultan Ahmad Al Muazzam Shah (Sultan Pahang pertama) bersemayam di Pekan, Hj Mat Lela sudah tinggal di Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lima orang Sultan iaitu daripada Sultan Ahmad Al Muazzam Shah, Sultan Mahmud, Sultan Abdullah Al Mu’tasim Bi’llah, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah dan Sultan Hj. Ahmad Shah.
Tidak diketahui sama ada Hj. Mat Lela pernah mengangkat senjata menentang Inggeris di Pahang. Beliau terlalu banyak menyimpan rahsia. Para pemberita pernah datang untuk mengcungkil rahsia tentang hubungan baik beliau dengan Mat Kilau. Apabila diajukan soalan, beliau hanya berkata pernah mendengar nama Mat Kilau sahaja. Sedangkan Mat Kilau kerap datang bertandang ke rumah beliau. Itulah akrabnya seorang sahabat, rahsia sekali-kali tidak akan dibocorkan kerana sumpah telah dilafazkan bagi merahsiakan identiti masing-masing.
Sewaktu Mat Kilau tinggal di Kg. Aur, Rompin beliau seringkali menziarahi Hj. Mat Lela. Pak Andak Aman (allahyarham) anak kepada Hj. Mat Lela pernah melihat seorang tua seringkali datang bertemu ayahnya. Melihatkan kemesraan mereka, beliau ingin mendapatkan kepastian siapakah gerangan sahabat ayahnya itu. Pada peringkat awal, ayahnya tidak mendedahkan identiti sahabatnya itu. Tetapi akhirnya beliau mengakui sahabatnya itu adalah Mat Kilau. Tetapi ayahnya tidak mahu rahsia itu dipecahkan kerana Mat Kilau sendiri menyamar dengan memakai gelaran Mat Din dan Mat Dahan.
Mat Kilau juga pernah menyarankan kepada kaum keluarganya untuk menziarahi Hj. Mat Lela. Jika tiada apa- apa ikatan, masakan Mat Kilau begitu menghormati Hj. Mat Lela. Hj. Abu Bakar bin Awang (allahyarham), anak murid dan menantu kesayangan Mat Kilau juga tidak melepaskan peluang bertemu Hj. Mat Lela.
Mat Kilau pernah bercerita kepada anak muridnya Ishak bin Awang (allahyarham), abang kepada Hj. Abu Bakar bahawa di daerah Pekan terdapat seorang tua yang gagah bernama Hj. Mat Lela. Ketika itu sebuah jambatan besar sedang dibina bagi kemudahan penduduk kampung. Setelah kerja-kerja hampir siap, besi penghentak bagi kerja- kerja tersebut dibiarkan berada di atas jambatan. Ia menjadi penghalang laluan penduduk kampung. Apabila disuarakan kepada kontraktor, kontraktor itu tidak menghiraukannya dan menyuruh penduduk kampung mengalihkannya sendiri. Masakan boleh diangkat begitu saja kerana beratnya hanya layak diangkat dengan kren sahaja.
Penduduk kampung sudah tidak dapat bersabar lagi. Itulah saja jalan penghubung buat mereka mencari rezeki. Macam mana kenderaan hendak lalu jika laluannya terhalang. Akhirnya mereka menemui Hj. Mat Lela bagi meminta bantuan. Hj. Mat Lela mencari kontraktor itu dan akhirnya bertemu di atas jambatan tersebut. Beliau meminta jasa baik kontraktor itu untuk mengalih halangan di atas jambatan itu.
Kontraktor itu dengan angkuhnya berkata, “Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!”
Tercalar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Hj. Mat Lela lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki kanannya,”Boooom!!!burrrrr……” besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai. Kontraktor cina itu terpinga- pinga. Beliau dalam keadaan terketar- ketar terus menghulurkan tangan untuk memohon maaf daripada Hj. Mat Lela.
Guru Zol, guru utama Perguruan Seni Silat Gayang Lian juga adalah anak kepada Hj. Mat Lela. Beliau masih mengingati saat-saat manis ketika bersama ayah beliau. Beliau juga adalah Dewan Pendekar Persatuan Silat Negeri Pahang dan Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.
Beliau bukannya hendak menceritakan kehebatan ayah beliau, hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman. Orang- orang Melayu dahulu penuh ilmu di dada. Ilmu-ilmu yang tuntut digunakan untuk membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah. Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Datuk Maharaja Lela, Dol Said dan beberapa nama lagi menggunakan kehebatan ilmu mereka untuk kepentingan masyarakat Melayu itu sendiri.
“Semasa kecil saya sering mengikut ayah ke dalam hutan mencari akar-akar kayu. Saya diajar mengenal berbagai jenis akar kayu seperti rempah gunung, sekecut, tongkat ali hitam, serapat, jenjulung, akar meroyan, kacip fatimah dan sebagainya lagi. Ada tumbuhan boleh dijadikan penawar dan ada yang beracun. Ayah sentiasa mengamal meminum akar-akar kayu untuk kekal sihat hingga ke usia tua,” cerita Guru Zol.
Hj. Mat Lela memakai buntat embun. Pemakai buntat embun jarang tidur pada waktu subuh. Sewaktu embun turun mereka bertambah segar dan tidak merasa mengantuk. Di waktu inilah mereka melakukan kerja-kerja ringan di dalam rumah.
“Setiap pagi ayah tadah air embun dalam satu bekas. Dia beritahu air embun banyak khasiatnya. Ia diminum untuk menyihatkan badan dan dititis bagi mencerahkan mata. Di usia tua pun ayah masih boleh membaca Al-Quran tanpa memakai cermin mata, ” jelas Guru Zol.
Hj. Mat Lela juga boleh mengubati orang sakit. Rumah beliau sentiasa dikunjungi orang bertujuan untuk berubat dan mendapatkan air penawar. Beliau juga boleh mengetahui siapa yang akan bertandang ke rumahnya walaupun tidak membuat temujanji terlebih dahulu.
“Kalau ada orang nak datang, ayah akan berpesan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku. Dia beritahu sekejap lagi akan sampai tiga orang lelaki, seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India untuk berubat. Betul! Tidak beberapa lama tibalah orang-orang yang beliau maksudkan. Memang hairan kerana orang itu tidak pernah buat temujanji sebelum ini,” ujar Guru Zol.
Hj. Mat Lela turut menurunkan ilmu- ilmu perubatan kepada anak-anaknya. Dengan izin Allah, Guru Zol boleh berikhtiar untuk merawat demam campak, kembung, gatal kulit, kayap, sawan, sakit raja, bisul, lekat uri, lekat tulang, selusuh, mengesan punca penyakit sama ada sakit dalam badan sendiri atau angkara sihir dan mengesan orang-orang yang hilang. Khidmat beliau sentiasa diperlukan bagi menangani masalah ini.
Pada 8 Disember 1941, kerajaan Jepun telah mengisytiharkan perang terhadap kerajaan British dan Amerika Syarikat. Pada hari yang sama, mereka telah mendarat di Kota Bharu, Kelantan dan Patani lalu menyerang tentera pihak British dan sekutu-sekutunya di sana. Dua hari selepas peristiwa itu tentera Jepun telah dapat menenggelamkan dua buah armada besar angkatan perang tentera British bernama Prince Of Wales dan Repulse yang dalam pelayaran di Laut Cina Selatan menuju ke Teluk Siam.
Sewaktu pendudukan Jepun, kehidupan aman damai yang dikecapi bertukar menjadi porak peranda. Tentera Jepun mula memasuki daerah Pekan dan seterusnya menuju ke Kg. Merchong. Orang-orang kampung lari ke hutan belantara bagi menyelamatkan diri masing-masing. Tinggallah Hj. Mat Lela keseorangan bagi menjaga kampung tersebut. Kemasukan tentera Jepun tidak sekali-kali menggentarkan beliau.
Tentera Jepun tidak dapat menyelongkar rumah-rumah dan kedai-kedai yang ditinggalkan kerana pergerakan mereka sentiasa dihalang oleh Hj. Mat Lela. Hendak ditangkap, Hj. Mat Lela tidak nampak oleh pandangan mata kasar sehinggakan ramai askar Jepun dicederakan oleh beliau. Tentera Jepun merasa cukup ganjil dan akhirnya meninggalkan kampung tersebut.
Anak-anak Hj. Mat Lela dididik sepenuhnya dengan ilmu agama. Solat lima waktu wajib ditunaikan, jika tidak, rotan sudah tersedia di tangan untuk menghukum.
“Sebelum masuk waktu maghrib, tugas saya membakar sabut kelapa di bawah rumah. Asapnya boleh menghalau nyamuk. Ayah tidak mahu seekor nyamuk pun menganggu ketika dia sedang bersolat.
Kami juga dididik dengan sifat berani. Untuk ke sekolah kami terpaksa melalui hutan tebal. Di situ terdapat kesan-kesan tapak kaki harimau dan beruang. Bila kami beritahu ayah, dia kata binatang pun nak makan dan nak hidup macam kita juga. Kalau belum sampai ajal kita tak akan mati disebabkan haiwan-haiwan itu,” beritahu Guru Zol.
Di hutan yang sama Hj. Mat Lela pernah diterkam dari belakang oleh seekor beruang yang amat besar. Beruang itu mencakar dan mengigit tetapi ilmu orang dahulu, kulit sedikit pun tidak terjejas. Akhirnya beruang itu dapat beliau tewaskan dan diserahkan kepada pihak mergastua.
Batang nibung adalah sumber rezeki Hj. Mat Lela. Permintaannya amat tinggi untuk dijadikan kelong di laut. Pokok nibung yang ditebang diikat dengan tali, dipintal dan ditarik sedikit demi sedikit oleh beliau untuk dikumpul pada satu tempat. Memang kerja itu merumitkan kerana batang nibung itu panjang dan berduri. Pernah orang-orang kampung mengintai, apabila tiada orang berhampiran, Hj. Mat Lela memikul batang-batang nibung itu. Mereka berasa amat terkejut. Memang betullah cakap- cakap orang bahawa Hj. Mat Lela itu memiliki ilmu gagah.
Seorang tauke cina di kampung itu pernah menempah kepala payang untuk perahu besar beliau daripada Hj. Mat Lela. Setelah menunggu beberapa bulan, kepala payang itu masih belum disiapkan. Beliau menemui Hj. Mat Lela dan mahukan kepala payang itu disiapkan segera. Sedangkan perjanjian untuk disiapkan masih ada beberapa minggu lagi.
Keesokkan paginya tauke itu membuka pintu rumahnya. Aiyaaa…..! Beliau amat terkejut. Kepala payang berada di depan mata. Bagaimana ia boleh berada di situ? Untuk mengangkatnya saja memerlukan tenaga sepuluh orang perkasa. Ini memang kerja Hj. Mat Lela. Kepala payang itu diangkatnya seorang pada waktu malam. Tauke itu mencari Hj. Mat Lela untuk memohon maaf. Beliau tahu orang tua ini tidak boleh buat sembarangan.
Sewaktu majlis perkahwinan anaknya, Hj. Mat Lela sendiri bersilat pulut berpasangan dengan Tok Putih. Tok Putih juga adalah pawang besar di kampung itu. Tari pulut yang dipersembahkan amat cantik dan menarik sekali.
“Saya tanya ayah silat apa yang dibawanya. Dia kata itu Silat Laksamana. Bila saya kata nak belajar dia kata tak pandai. Memang saya tak percaya. Dia suruh saya cari guru silat lain kalau nak belajar,” jelas Guru Zol.
Di atas saranan ayahnya, Guru Zol mencari guru dan belajar daripada Pak Atan Hussin dari Perguruan Silat Lian Buah Pukul dan Anjang Adam dari Perguruan Seni Pencak Silat Sangkar Rewana.
Pada 26 Disember 1969, Mat Siam telah mengisytiharkan dirinya bahawa beliau adalah Mat Kilau anak Tok Gajah yang menentang campurtangan Inggeris di Pahang dahulu. Daripada perisytiharan itu, orang ramai datang dari merata tempat menziarahi Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut dan di rumahnya di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan.
Hj. Mat Lela hanya mengeleng kepala. Beliau berkata, “Mat Kilau nak matilah tu. Sebab itulah dia mengaku diri dia.”
Hj. Mat Lela sebenarnya adalah seorang tokoh yang tidak mahu ditonjolkan. Beliau berpegang kepada sumpah dan janji. Beliau meninggal dunia pada tahun 1995 diusia 118 tahun akibat sakit tua dan dikebumikan di pusara Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Alfatihah buat tokoh-tokoh yang pernah berjasa.
*Catatan majalah Seni Beladiri
Che'gu Rosman

dap pkr jangan paksa pas ikut telunjuk - nik aziz

Hadam betui betui !
dap pkr jangan paksa pas ikut telunjuk - nik aziz

Sejarah aku dan Ustaz Ahmad Awang (syiah?)

Sejarah aku dan Ustaz Ahmad Awang
Ahmad Awang memang terkenal dengan kelantangan di satu masa dahulu, semasa menjawat jawatan di Pusat Islam. Dia tidak pernah naik, hanya menjadi Pengarah Indah, balik Pengarah PPI JPM(U) dek kerana kelantangannya.
Aku pula memasuki Pusat Islam pada 1984 sebagai Penolong Pengarah Pusat Islam. Pada mulanya Mat Awang menjadi pengarah INDAH (ILIM) sementara aku di Ma'had Tahfiz al-Quran dan di PPI.
Suatu malam abang aku, Ustaz Ismail membawa aku pergi usrah di rumah habibullah di hadapan
HUM Lembah Pantai. Rupa-rupanya usrah syiah. Mereka berusrah membincangkan tentang Nur
Muhammad. Abang aku bukan syiah dan tidak setuju dengan maki hamun mereka kepada sahabat dan istihzak dengan Sahih Bukhari. Beliau adalah Imam Masjid Bulat ketika itu. Aku tidak dipedulikan kerana memakai jubah dan tarbus al-Azhar.
Keesokan harinya aku pergi mengadu kepada Ustaz Ahmad Awang mengenai syiah yang sudah
bertapak di Malaysia. Maka Ustaz Ahmad Awang pun bertanyakan aku, adakah terdapat buku-buku yang menentang syiah? Aku berjanji akan membawa kepadanya. Aku bawa Tuhfah Ithna'asyariyyah.
Dia kata besok anta mai ambik balik buku ini. Bila aku pergi berjumpa dengannya rupa-rupanya ada 3 jilid buku syiah bagi menjawab kepada buku itu. Aku masuk maktabah cari al-Sorimul Maslul 3 jilid Ibnu Taimiyyah, kemudian diberinya aku 6 jilid jawapan syiah. Aku duduk dan berdebat dengan Mat Awang. Benarlah seperti kata TGH Din bahawa kali ketiga rombongan ulama Malaysia pergi ke Iran dan beliau tidak pergi, yang mana balik semua jadi syiah belaka termasuk gurunya Hasan Saleh timbalan Mat Awang dalam PUM (Persatuan Ulama Malaysia).
Hasan Shukri meminta aku pelawa Mat Awang masuk PAS setelah pencen. Ada juga kebaikan Mat Awang semasa BPR kacau hasil ceramahku mengenai wang RM7juta derma Kerajaan Libya yang dipergunakan oleh Timbalan Menteri buat biliknya ketika itu. Satu mesyuarat tergempar dibuat di maktabah Masjid Negara. Ahmad Awang membela aku dengan katanya: Betullah ustaz itu
cakap, saya nak tahu mana wang RM7juta itu pergi? Maka keharuanlah timbalan menteri masa
itu.
Apabila syiah mula merebak di Wilayah Persekutuan, Ustaz Zakaria Ansori ay meminta aku dan Dr Abdul Azizi Hanafi membuat penjelasan di pondoknya kat Batang Berjuntai. Aku pergi dan menyampaikan ceramah. Generator tiba-tiba terpadam oleh perbuatan khianat sehingga aku terpaksa berceramah dalam gelap. Orang Syiah itu ialah Abdullah Hasan ayatollah dari Pendang, yang sebelum itu datang ke rumahku dengan menjijak tahi anjing masuk sampai
ke dalam rumah.
Perkembangan Syiah semakin parah, Hasan Saleh NTP PUM menjadi naqib kami dalam PAS Wilayah Persekutuan menyatakan ada sebuah buku yang sangat baik di dunia, tidak Ahkam Sutaniyyah Mawardi wal Farra' ialah buku syiah yang diolah boleh melaknat sahabat. Aku memminta Khalid, nazir Masjid Alam Shah supaya mengumpulkan manusia dari seluruh Wilayah Persekutuan untuk diberi penerangan mengenai syiah. Bahagian dalam masjid itu melimpah ruah.
Aku membawa 200 buah kitab yang siap bertanda mengenai syiah. Tengah-tengah sedap berceramah seorang ustaz dari Padang Balang, Mat Noor bangun dan bertempek:
"Ustaz Syaitan! Dia ingat dia saja yang ada banyak kitab."
Maka belakulah perjumpaan ulama Wilayah Persekutuan, JK WP, Pemuda WP di Taman Melewar, di mana pada malam itu ustaz Nakha'ei jadi pengerusi.
Hasan Saleh bercakap memuji dan memuja Khomeini dengan disertai oleh takbir. Dr Aziz
Hanafi menhentam Hasan Saleh. Ustaz Nakha'ei kata, "Diam!".
Tidak lama kemudian datanglah Ahmad Awang, dan ceramah itu dipenuhi dengan pujian Khomeini, dan imam-imam Iran. Aku balik dan berjanji akan menjawab kesemuanya itu. Selang beberapa hari TGHH berpesan melalui Ustaz Hasan Mahmud supaya aku berjumpa dengannya. Aku tidak pergi, aku tahu pengaruh syiah sangat kuat pada masa itu.
Segala masjid telah memecat aku daripada berkuliah.
Ustaz Nasoha ay menjemput aku berkuliah di Masjid Subang. Apabila aku menjelaskan tentang
syiah, maka pada minggu depannya Ustaz Ahmad Awang akan basuh aku balik dengan memperlekeh aku dengan ungkapan "ustaz kecik tu". Kali berikutnya aku berkuliah, pada minggu berikutnya Ahmad Awang kata, "Ustaz kecik tu kata syiah tak boleh! Cuba tengok ni kerajaan Malaysia sendiri memperakukan syiah ni, tengok ni."
Kitab al-Fiqh wa Adilltuh cetakan DBP ada sebut tentang mazhab Jaa'fari, dikira sebagai mazhab kelima dalam Islam!
Kali berikutnya aku tidak sempat berkuliah apabila diberikan surat suruh berhenti dan jangan berkuliah lagi.
Zalim. Pada Hari raya Qurban 1998 aku pergi ke rumah Ahmad Abdullah The Best Farm, dan berjumpa di situ Ahmad Awang, Ismail Kamus, Prof Mujahid Kurdi, dan dua orang pelajar syiah.
Bila sampai saja terus menyapa Ahmad Awang, "Ha.. syeikh Abdul Hamid!"
Aku jawab: "Naam ya syeikh Syi'iy."
Dia naik berang, "Bila ana syiah?"
"Anta toksah dok taqiyyah, ana tahu, ana tak akan solat di belakang anta!"
Masuk saja waktu maghrib, Ismail Kamus awal-awal lagi sudah cabut. Ahmad Awang jadi imam, di mana Prof Mujahid dan dua orang syiah berimamkannya.
Aku solat seorang diri di belakang. Sebaik selesai solat Prof Mujahid menyerang aku dengan katanya, "Anta buat macam ini merosakkan nama ulama.... Akulah orang yang paling alim di Malaysia ini!"
Aku menjawab, "Kamu alim di Iraq, tetapi di sini kamu yang paling jahil".
Beliau diam.
Aku kata kepada Ahmad Awang, "Ustaz Mat Awang, apa pun anta sudah mensyiahkan 40 ribu orang di Malaysia. Anta bertanggungjawab di hadapan Allah di akhirat besok."
Dia diam tidak terkata apa-apa. Ada ramai saksi yang meriwayatkan bahawa Mat Awang sentiasa bersama jemaah Iran di Mekah.
Tahfiz al-Quran yang dibuka Mat Awang di Perak itu juga turut menerapkan mazhab Jaa'fari, di mana mereka tidak bersolat Jumaat disebabkan imam ke-12 belum muncul. Dua orang anak orang Abim terpaksa dikeluarkan dari situ kerana syiahnya.
Xpuas ht boleh kritik penulisan blog tu..tuju pd penulisnya.
Comments