Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, November 27, 2017

Bagaimana teguran akan sampai, kalau PAS menjauhi kerajaan ?

PEGUAM PAN SEKARANG HENTAM AGAMAWAN DENGAN HADIS MENEGUR PEMERINTAH ZALIM
1. Sesiapa yang mengamati peguam PAN sekarang berbahas di parlimen baru-baru ini, pastinya anda akan perasan beliau menggunakan hadis Nabi untuk berhujah menghentam institusi agama terutama ulamak. Beliau menghentam agamawan yang tidak menjalankan tugas menegur pemimpin yang zalim ataupun bersekongkol dengan kezaliman mereka.
2. Tidak dinafikan memang di akhir zaman ini akan muncul agamawan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai ulama suk. Mereka persis ahli kitab Bani Israel yang bertugas sebagai pengampu dan membenarkan semua tindakan pemimpin. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan mereka wujud di setiap belahan dunia. Di Indonesia, Rusia, Saudi, Qatar, Syria, bahkan Mesir atau secara lebih tepat sebahagian masyaikh Azhar turut berperangai sebegitu.
3. Jika kita membaca sejarah Bani Israel, pemerintah sememangnya hebat dalam membeli agamawan dengan mata dunia, supaya mereka tidak menentang pemerintah dan menjadi benteng untuk mempertahankan tindak-tanduk pemerintah dengan memutar belitkan nas agama. Akan ada agamawan yang tertewas dengan sogokan pemerintah.
Namun ia tidak boleh sama sekali meletakkan semua agamawan dalam satu bakul yang sama. Kerana bukan semua terpedaya dengan pemerintah. Tidak bersama dengan pihak lain yang turut menentang pemerintah tidak bermaksud bersekongkol dengan pemerintah. Dunia bukan cuma punya hitam dan putih.
4. Saya fikir peguam PAN sekarang menujukan perkara ini kepada PAS. Jika dilihat melalui mukabukunya, siang malam pagi petang postingnya hanya menujukan kepada PAS. Sementelah hari ini PAS menggunakan pendekatan BPMS yang berbeza dengan pendekatan politik konvensional, kerjasama PAS dengan kerajaan atas isu RUU355, Rohingya, G2G Kelantan-Pusat, diikuti kenyataan Presiden PAS yang bersedia menasihat kerajaan, makin galaklah tuduhan PAS sudah bersekongkol dengan kerajaan.
4. Sebelum pergi lebih jauh, mari sama-sama kita amati nas hadis yang dipetik oleh peguam PAN sekarang itu. Sabda Rasulullah SAW:
افضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim.
[HR Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Majah]
5. Daripada hadis ini, kita perlu memahami fiqh menghadapi pemerintah zalim. Ia tidak semudah membaca satu hadis dan terus menginterpretasikan mengikut kefahaman akal sendiri. Ia mesti dibaca bersekali dengan semua nas-nas lain yang berkaitan. Sebagai contoh, hadis Nabi SAW:
سيد الشهداء حمزة بن عبد المطلب ورجل قام أمام سلطان جائر فأمره ونهاه قتله
Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muttalib, dan lelaki yang berdiri di hadapan sultan yang zalim, lalu dia menyeru kebaikan dan menegah kemungkaran, maka dia dibunuh.
[HR Al-Hakim & At-Thabrani]
6. Kedua hadis ini menunjukkan kelebihan jihad menegur pemimpin yang zalim. Berkata benar disisi pemimpin adalah sebaik-baik jihad. Lebih baik dari jihad mengangkat senjata. Lebih baik dari jihad peperangan. Lebih baik dari segala bentuk jihad. Perkara yang harus difahami oleh mereka yang berminda radikal atau revolusioner.
Jangan terlajak menentang pemerintah zalim sehingga menghalalkan segala tindakan-tindakan yang boleh meletakkan negara dalam huru-hara. Hatta jika pemerintah mengambil tindakan keras terhadap kita, ia tidak bermakna kita boleh mengisytiharkan perang atau mengangkat senjata. Biar kita dibunuh kerana melaksanakan amar makruf terhadap mereka, itu adalah sebaik-baik syahid, daripada mengajak rakyat mencetuskan rusuhan.
7. Hadis yang dipetik di atas juga menunjukkan kedudukan pihak yang menegur pemerintah itu. Mereka mendatangi atau berada di sisi pemerintah. Bermakna mereka mendekati pemerintah untuk menyampaikan teguran dan amar makruf nahi mungkar. Mereka tidak menjauhkan diri dari pemerintah. Tidak memencilkan diri dari kerajaan. Jika tidak, bagaimana teguran akan sampai?
Di dalam syariat Islam digariskan secara terperinci adab-adab untuk menegur. Juga tentang tatacara amar maaruf nahi mungkar. Secara lebih khusus, dihuraikan juga tentang cara menasihati pemerintah yang berbeza dengan orang biasa. Semua ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan mu'tadil, tanpa ifrat dan tafrit.
8. Meniti di atas garisan syarak yang halus inilah, PAS memperkenalkan BPMS. Dasar PAS adalah Islam. PAS tidak mahu terikut dengan barat yang sering mempergunakan umat Islam untuk menjayakan agenda-agenda mereka. Wahana Color Revolution yang melanda dunia hari ini contohnya adalah pembawaan terbaru barat untuk terus mengekalkan pengaruh mereka di peringkat global. Umat Islam perlu berwaspada dengan perkara ini.
9. Atas dasar inilah PAS berani tegaskan, jika kedaulatan negara terancam, PAS akan bersama pemerintah berjuang untuk mempertahankan kedaulata negara. Pun begitu, BPMS tidak sekali-kali bermaksud PAS bersekongkol dengan pemerintah dari semua segi.
Sehingga ke hari ini, PAS menentang keras cukai GST. Setiap tahun muktamar Dewan Ulama PAS mempertegaskan GST adalah cukai yang haram. PAS juga menegur tentang amalan ekonomi riba. PAS membantah festival arak di ibukota sehingga akhirnya dibatalkan. Kini PAS bersama PPIM menentang kedajalan gangster yang dilindungi pihak berkuasa.
10. Namun, pendekatan Islam terhadap pemerintah sering dimanipulasi pihak berkepentingan demi mencapaikan matlamat masing-masing. Satu golongan memanipulasi nas berkaitan menentang kezaliman untuk menghalalkan segala bentuk penentangan dan tindakan terhadap pemerintah, sehingga sanggup menerima pertolongan dari musuh Islam dan kuasa asing.
Di pihak pemerintah pula, memanipulasi nas berkaitan taat dan wala', untuk terus mengekalkan sokongan umat Islam terhadap mereka. Sehingga Perdana Menteri yang dikenali bukan seorang agamawan, boleh mengeluarkan buku bertajuk Fiqh Wala' dan Taat.
11. Kesimpulannya, perlu ada wacana khusus tentang 'Fiqh Berhadapan Pemerintah'. Tidak cukup dengan 'Fiqh Jihad', 'Fiqh Siasah' dan 'Fiqh Dakwah' semata-mata. Alangkah baik jika Dewan Ulama mengadakan munaqasyah atau seminar berkait perkara-perkara ini, menjemput semua pihak tidak kira daripada anggota PAS mahupun pihak luar. Akhirnya segala hasil perbincangan didokumentasikan dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua pihak, terutama agamawan.
9 Safar 1439
29 Oktober 2017
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej