HARAM PARTI ISLAM BAHARU : MENILAI FATWA QARADHAWI SECARA TEPAT
Dalam seminggu ini, saya membaca beberapa kenyataan daripada penyokong dan pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) yang tidak senang dengan fatwa pengharaman parti Islam baharu di Malaysia daripada Syeikh Qaradhawi yang dimaklumkan melalui naib beliau, TG Haji Abdul Hadi Awang.
Lantas, keluar kenyataan-kenyataan daripada PAN yang memetik pandangan dan kenyataan Syeikh Qaradhawi dalam soal ini secara tidak menyeluruh dan tidak tepat. Ada yang mempertikaikan fatwa Syeikh Qaradhawi itu sebagai palsu, jauh dari pemikiran wasatiyyah yang ditekankan oleh beliau dan sebagainya.
Sedangkan, pandangan syeikh Qaradhawi ini perlu diteliti secara jujur dan menyeluruh agar ia tidak menzalimi pandangan dan kenyataan tokoh Ulamak dunia ini. Kalau dibelek kitab karangan beliau 'Min Fiqh Daulah fil Islam' sendiri, beliau mendatangkan satu bab yang membincangkan secara khusus berkenaan perkara ini.
Di dalam buku tersebut (mukasurat 154 m/s, terbitan Dar Syuruq), secara asasnya disebut bahawa kepelbagaian kelompok Islam itu adalah diharuskan. Tetapi ia merujuk kepada ta’adud ta’awun atau takhassus (saling membantu) bukannya ta’adud yang tudhod (bertentangan).
على أن يكون هذا التعدد تعدد تنوع وتخصص، لا تعدد تعارض وتناقض، وأن يقف الجميع صفا واحدا في كل القضايا المصيرية التي تتعلق بالوجود الإسلامى، وبالعقيدة الإسلامية، وبالشريعة الإسلامية، وبالأمة الإسلامية
“Justeru yang (harusnya) berlaku berbilang-bilang ini adalah yang saling membantu dan bukan yang bersifat berlawan dan bertembung dan hendaklah semua pihak bersatu di dalam barisan yang satu di dalam (menghadapi) isu-isu yang berkaitan dengan akidah, syariah dan umat Islam.”
Ini asas penting yang perlu difahami. Kepelbagaian parti mahupun jemaah Islam itu diharuskan selagi mana masih dalam kerangka ta'awun bukannya tudhod. Kerana apabila ia membawa kepada ta'adud yang bersifat tudhod maka hukum harus tadi ia berubah menjadi haram. Hal ini kerana ia bertengangan dengan firman Allah S.W.T:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”
Realiti yang berlaku di Malaysia hari ini pasca penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) terbukti memberi mudharat kepada kemenangan Islam terutamanya dalam konteks demokrasi yang ada sekarang. Kebarangkalian berlakunya pertembungan tiga penjuru di dalam PRU dan sebagainya merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan PAN sebelum ini membuktikan segala-galanya.
Begitu juga dilihat sejak mutakhir ini tindakan PAN yang mensabotaj aset-aset milik PAS di beberapa buah negeri terutamanya di Selatan membuktikan bahawa penubuhan PAN ini adalah bersifat tudhod bukannya ta'awun sebagaimana dibincangkan sebelum daripada ini.
Oleh yang demikian, sejarah di Indonesia terutamanya mengajar kepada kita semua bahawa penubuhan parti-parti Islam baharu yang bersifat tudhod ini bukannya memberi maslahah kepada kemenangan Islam bahkan mudharat kepada masa depan Islam di dalam negara kita khususnya.
Wan Muhammad Mizan W. Abd Latiff
10 Muharram 1437H / 23 Oktober 2015
10 Muharram 1437H / 23 Oktober 2015
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej