Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, December 1, 2017

GELARAN KUMPULAN SUCI

GELARAN KUMPULAN SUCI
Inilah bahasa yang baru diistilahkan dan digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang dengan ajaran Islam yang berdasarkan nas yang qati’e dan thabit di dalam Al-Quran dan Hadis seperti PAS, yang tidak mahu dihanyutkan atau menerima perubahan mengikut selera kumpulan yang dinamakan Islam Liberal dan yang bersekongkol dengannya atau totok bukan Islamnya. Mereka mahu menjadikan Islam seperti agama yang ada ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pilihanraya.
Setelah mereka gagal meminda Undang-undang Tubuh PAS (Perlembagaan) dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulama sekadar menjadi penasihat yang tidak wajib dipatuhi, khususnya dalam perkara hukum yang thabit bercanggah dengan kemahuan akal fikiran manusia, demikian juga mereka termasuk yang menganggap dirinya sangat bijak.
Setelah mereka gagal dalam usaha meminda asas tersebut dan juga gagal mempengaruhi Muktamar PAS dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya, lalu bertindak keluar daripada PAS dengan dukungan dan sokongan dalang-dalang di belakangnya.
Mereka juga gagal menolak PAS dari belakang supaya menyertai BN, di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan PAS menjadi tangganya, kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan. BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka.
Sebenarnya PAS hendak dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu mereka dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini. Daripada gerakan BERSIH pada namanya dan PAS berundur kerana jenamanya yang diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan berbagai pendekatan dan jenama.
Setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan PAS yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka. Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris, kerana ditolak BN, ditolak PAS dan ada tanda-tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang, Insya Allah.
Apabila mereka merasakan PAS menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan PAS menjadi kapak atau tukulnya, maka PAS tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan, khususnya media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya, walaupun PAS bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka PAS sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan.
Apabila peluru fitnah PAS mendapat duit Perdana Menteri sebanyak 90 juta, yang mereka anggap boleh menembusi pengaruh PAS yang terus mara, Insya Allah. Kini mereka menggunakan bahasa yang zahirnya pujian, tetapi hakikatnya perlian, tanpa mereka sedari betapa mereka buta Al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf.
Bahasa Al-Quran menamakan perkataan kumpulan suci terhadap para Anbiya A.S.W. dan pengikutnya yang berbaiah dengan setia. Allah mengisahkan Nabi Lut A.S. dan pengikutnya yang menentang jahiliah aqidah dan keruntuhan akhlak melalui Firman-Nya:
وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوهُم مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٨٢ الأعراف
“Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” (Surah Al-Aaraf: 82)
Firman Allah:
۞فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوٓاْ ءَالَ لُوطٖ مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٥٦ النمل
“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.” (Surah An-Naml: 56)
Kami sangat gembira apabila mereka mengambil perkataan yang dipakai oleh kaum Lut yang terkenal dengan jenis keruntuhan akhlak, sama ada sengaja atau tidak yang terserah kepada Allah.
Kalangan yang memahami Islam yang sebenar tidak meletakkan diri mereka suci, kerana mengetahui bahawa makhluk yang suci ialah para malaikat, para Rasul dan Anbiya A.S.
Adapun yang lain termasuk para sahabat R.A, para ulama, para wali dan orang-orang yang beriman tidak boleh melepaskan diri daripada ujian maksiat dan dosa, lalu mereka sentiasa bermuhasabah, membetulkan aqidah, memperbaiki amalan mengikut syariat dan akhlak yang mulia. Mereka sentiasa melakukan muhasabah diri, bertaubat, mengikuti setiap dosa dengan istighfar dan menambahkan amal yang soleh dengan sentiasa beristiqamah. Bagi menguatkan istiqamah, diadakan bai’ah.
Apabila seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah R.A bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan dengan Islam yang terang dan nyata sehingga tidak keliru dan tidak bertanya lagi orang lain, khususnya setelah ketiadaan Rasulullah S.A.W, maka Baginda bersabda:
قل آمنت بالله ثم استقم
“Katakanlah aku beriman kepada Allah dan terus beristiqamah” (Hadis Sahih)
Terus bersama Islam, dengan beramal apa yang boleh diamalkan dan bercita-cita serta berjuang dengan apa yang tidak boleh diamalkan. Islam yang diambil secara yang sebenar daripada guru yang mursyid, walaupun menghadapi berbagai cabaran dan memakan masa yang panjang dan tidak diketahui penghujungnya.
Percayakan kepada janji Allah di dunia dan di akhirat. Kepercayaan kepada Allah ini tidak cukup dengan pengajian, usrah dan kata-kata, bahkan diikat lagi dengan bai’ah di hadapan Allah, bukannya di hadapan manusia yang menjadi pemimpin, berpandukan firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠ الفتح
“Sesungguhnya orang-orang yang memberi baiah (pengakuan taat setia) kepadamu (wahai Muhammad S.A.W. untuk berjuang menegakkan Islam), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya).” (Surah Al-Fath: 10)
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah (janji setianya), maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
Mereka yang berbaiah di hadapan Nabi Muhammad S.A.W ada yang mengerjakan maksiat dan dosa, bukannya suci. Lalu mereka bertaubat dan fadilat berbaiah itu diharapkan menghilangkan dosa dengan meneruskan amal yang soleh dan perjuangan. Menyerah kepada Allah dengan harapan disucikan mereka daripada dosa yang menjadi kepunyaan Allah.
Ada yang menyelewang menganggap bai’ah hanya cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya, maka hiduplah mereka dengan akibat di dunia sebelum menerima akibat di akhirat.
Amalan bai’ah dilakukan oleh para sahabat, tabi’en dan generasi yang menyambung perjuangan Islam yang bertali arus sehingga kini. Mereka yang berbaiah itu sangat takut di hadapan Allah, hanya dibatalkan baiah apabila ternyata pemimpinnya menentang hukum Allah yang nyata nasnya daripada Allah dan Rasul, bukan kerana berlainan pendapat dan pendekatannya sahaja kerana konsep ketaatan kepada berjamaah adalah wajib dengan syarat-syaratnya.
Mereka bersama Islam di sepanjang zaman tidaklah menganggap diri mereka suci murni daripada dosa dan maksiat kerana Allah berfirman:
فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ ٣٢ النجم
“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (Surah An-Najm: 32)
Mungkin mereka itu terpengaruh dengan konsep para sami yang menentukan kesucian kepada manusia. Konsep yang asing daripada Islam.
Kumpulan Islam itu mengikat diri dengan baiah, apabila mereka merasa tidak cukup dengan sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jamaahnya dan bertawadu’ mengadap Allah bagi mencari keredaannya sahaja, tanpa mengikat diri dengan baiah. Bukan tujuan bai’ah untuk mencari keredaan manusia termasuk menipu, jauh sekali mencari keredaan sesiapa sahaja termasuk yang tidak beriman dan bertujuan semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi kerana mahu menang pilihanraya sahaja.
Sabda Rasulullah S.A.W.
من التمس رضا الله بسخط الناس رضي الله عنه وأرضاه الناس ومن التمس رضا الناس بسخط الله سخط الله عليه وأسخط عنه الناس
“Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi manusia tetap mendapat reda Allah dan Allah jadikan manusia meredainya dan barangsiapa yang mencari keredaan manusia dengan menempah murka Allah, nescaya dimurkai Allah dan Allah jadikan manusia memarahinya pada akhirnya” (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Hibban)
PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihanraya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat. Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan Allah apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayah-Nya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini.
Maka PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat.
Kita mengharapkan kelebihan yang diberi kepada Nabi Lut A.S dan pengikutnya yang diperlikan dengan jenama kaum yang mendakwa dirinya suci. Maka alangkah gembiranya ahli PAS yang membaca cerita perjuangan Nabi Lut A.S bersama kaumnya yang beriman yang diberi nama oleh musuhnya dengan kaum yang menganggap diri mereka suci murni.
Golongan Al-Sabiqun yang awal menyertai PAS lebih yakin, apabila melihat sendiri nasib mereka yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon dan pemimpin, telah menerima akibat di dunia. Adapun akibatnya di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Rabiul Awal 1439 / 2 Disember 2017

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej