Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, August 25, 2014

SETIAP ZAMAN PUNYA FITNAH TERSENDIRI

SETIAP ZAMAN PUNYA FITNAH TERSENDIRI

Ya, setiap zaman punya fitnahnya tersendiri. Zaman Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu menghadapi golongan murtad serta golongan yang tidak mahu membayar zakat. Berat terpaksa untuk berhadapan dengan seseorang yang pernah berjuang bersama-sama pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam masih hidup namun segalanya ketentuan Allah taala jua. Akhirnya Khalifah Rasulullah yang mulia ini wafat diracun oleh golongan yang tidak senangkan kebaikan.

Saidina Umar al-Faruq, Khalifah yang penuh dengan kebaikan dan keadilan. Sehingga Baginda sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa “ jika ada lagi Nabi selepasku maka Umarlah yang layak untuk menjadi Nabi. Namun, Allah taala telah menetapkan bahawa tiada lagi Nabi selepas kewafatanku”. Juga dibunuh dengan kejam sekali oleh Abu Lu’luah al-Majusi laknatullah. Tujuh belas tikaman dibelakang Saidina Umar al-Faruq radhiyallahu anhu dengan menggunakan serampang dua mata bukanlah sesuatu yang ringan.

Saidina Uthman Zunnurain radhiyallahu anhu, Khalifah yang ketiga. Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sangat lemah lembut. Rupanya kelembutan di dalam berdakwah juga tetap tidak disenangi oleh sekelompok manusia yang busuk hatinya. Beliau yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa para Malaikat Allah juga malu dengannya. Namun tangan-tangan kotor yang memancungnya ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran lansung tidak malu untuk berbuat sedemikian. Malah mereka tidak malu untuk berhadapan dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam kelak.

Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam, seorang sahabat yang sanggup susah senang dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam juga turut dibenci malah dimusuhi sehingga akhirnya berakhir dengan pembunuhan keatasnya dengan kepala Saidina Ali ditetak sehingga tetakan tersebut menghampiri otaknya yang menyebabkan kewafatan beliau.

Ini pada zaman sahabat. Saidina Hassan al-Basri rahimahullah terpaksa berhadapan dengan seorang gabenor kejam , Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Dikejar, diburu untuk dipancung. Namun Allah taala menyelamatkan ulama besar ini. Diburu hanya kerana ingin mempertahankan kebenaran.

Saidina Said bin Jubair rahimahullah , seorang ulama besat Tabi’en, juga pernah dicaci maki oleh Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Malah dicaci maki ibu Saidina Said bin Jubair dihadapan mata kepalannya sendiri. Ini berlaku sebelum beliau disembelih oleh Hajjaj Yusuf. Malah Hajjaj meminta untuk Saidina Said bin Jubair rahimahullah memilih cara bagaimana untuk beliau mahu mati. Maka dijawab oleh beliau :

“Bunuhlah dengan apa cara sekalipun yang engkau suka wahai Hajjaj, Allah taala akan membalas kembali kepadamu sepertimana cara yang engkau gunakan kepadaku ketika membunuhku di akhirat kelak.”

Ketika diberikan arahan untuk dibunuh maka Saidina Said tertawa. Hajjaj pelik melihat keadaan sedemikian. Lalu bertanya : “ Bukankah kamu tidak pernah tertawa selama 40 tahun, tetapi mengapa sekarang engaku tertawa?”

Saidina Said menjawab : “ Ya benar aku tidak pernah tertawa selama 40 tahun, namun hari ini aku tertawa kerana lucu dengan sikap angkuhmu dengan hukum Allah namun Allah taala masih berlembut denganmu”

*******

Betapa ramai yang mulutnya lancang memaki hamun, mencerca namun terkadang diri tidak sedar betapa Allah taala masih menyayanginya, memberikan peluang hidup untuk bertaubat memohon keampunan. Namun berapa ramai yang sedar perkara ini?? Ramai yang lalai.

Al-Imam Ahmad rahimahullah disebat hanya semata-mata kerana mempertahankan bahawa al-Quran bukanlah makhluk tetapi kalam Allah yang Qadim. Mulianya sikap beliau sehinggakan al-Imam Syafie yang pada ketika itu berada di Iraq, bermimpi bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam . Malah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyuruh untuk al-Imam Syafie rahimahullah menyampaikan salam kepada al-Imam Ahmad di atas pengorbanan yang dilakukan dan khabar gembira bahawa al-Imam Ahmad akan masuk syurga Allah taala dengan ujian yang menimpanya. Al-Imam Ahmad rahimahullah yang gembira dengan berita tersebut memberikan jubahnya kepada al-Imam Syafie , yang mana jubah itu direndam oleh Imam Syafie dan diberi minum air rendaman tersebut kepada sesiapa yang datang meminta ubat kepada al-Imam Syafie rahimahullah.

Al-Imam Isa bin Dinar rahimahullah yang wafat pada tahun 212 H, dipenjara 20 tahun hanya semata-mata mempertahankan sepertimana apa yang dipertahankan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.

*****

Ini contoh-contoh kesusahan dan keperitan yang dihadapi oleh para ulama terdahulu. Jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi sekarang oleh kita, terlalu jauh malah tidak layak untuk dibandingkan.

FITNAH SEKARANG FITNAH KEJAHILAN

Ubat jahil adalah ilmu. Ilmu yang benar akan diperoleh oleh hati yang benar-benar inginkan kebenaran dan ikhlas.

Zaman ini, zaman ayat-ayat Mutasyabihat digunakan kembali untuk mengelirukan masyarakat.
Malah al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah sendiri telah bertaubat diatas apa yang ditimbulkannya satu ketika dahulu berkenaan perkara ini. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Allamah Salamah al-Qudhoi’e di dalam kitabnya yang berjudul “ al-Barahin al-Saati’ah” yang mana beliau sendiri menukilkan kisah taubat ini daripada kitab Tarikh karangan al-Imam Salahuddin al-Kutubi rahimahullah pada juzuk 20.

Ini juga disebutkan oleh al-Imam Zahid al-Kauthari rahimahullah yang mana beliau sendiri melihat tanda tangan Sultan Nasir al-Qalawun serta tulisan tangan Ibn Thulun rahimahumullah berkenaan perkara tersebut.

Ini diantara isi surat al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah :

“ Segala puji bagi Allah taala… Apa yang aku telah pegangi selama ini iaitu dengan mengatakan bahawa Allah taala duduk di atas Arasy , bukanlah seperti mana apa yang difahami dengan zahirnya, pegangan aku yang mengatakan bahawa Allah taala turun ke langit dunia juga bukanlah seperti zahirnya, Segala pegangan yang bertentangan dengan apa yang aku lafazkan sekarang adalah batil , dan setiap tulisanku dan perkataanku yang bertentangan dengan pengakuanku sekarang adalah batil ataupun apa-apa perkara yang aku sandarkan perkara yang tidak layak kepada Allah maka aku berlepas diri daripadanya. Mulai sekarang aku bertaubat dan berlepas diri daripada apa yang aku pegangi selama ini yang mana bertentangan dengan pengakuanku sekarang”

Surat ini ditulis oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah pada hari Khamis ,16 Rabi’ul Akhir tahun 707 H.

Malah beliau mengakui bahawa segala yang ditulis di atas adalah dengan kehendaknya sendiri serta tidak dipaksa oleh sesiapa pun.

Di atas surat tersebut, terdapat pengiktirafan daripada al-Qadhi Qudhah al-Imam Badruddin Ibn Jamaah rahimahullah . al-Imam Abdul Ghani bin Muhammad al-Hanbali rahimahullah juga mengiktiraf pengakuan tersebut.

Antara ulama lain yang menyaksikan perkara tersebut malah terdapat tandatangan mereka ialah al-Imam Abdul Aziz al-Namrawi rahimahullah, al-Imam Ali bin Muhammad bin Khattab al-Baji al-Syafie rahimahullah, al-Imam Al-Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Husaini rahimahullah , al-Imam Abdullah Ibn Jamaah rahimahullah dan al-Imam Muhammad bin Uthman al-Buriji rahimahullah. Sila Rujuk al-Barahin al-Saati’ah oleh al-Imam Salamah al-Qudho’ie mukasurat 194-199.

******

Ulama salaf dan khalaf tiada masalah pada ayat-ayat Mutasyabihat ini. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah taala. Tanpa mengatakan bahawa “ Allah taala bertangan , namun tanganNya tidak seperti makhluk”. Tiada seorang pun ulama salaf yang mengatakan sedemikian. Malah para ulama salaf mengatakan bahawa “ Kami beriman dengan ayat-ayat Mutasyabihat tersebut, namun maksudnya kami serahkan kepada Allah taala tanpa sesekali menyamakan Allah taala dengan makhluk”

Para ulama Khalaf mentakwilkan , mengapa??? Kerana fitnah pada zaman tersebut berleluasa. Golongan awam yang tiada kelayakan malah berani mengatakan bahawa Allah taala berjisim dan punya tangan dan kaki dan lain-lain. Maka takwilan yang dilakukan hanya untuk menyelamatkan aqidah umat Islam.

Tidak terlintas dihati para ulama Islam ketika tersebut untuk mengkafirkan sesiapa sahaja sesuka hati. Malah mereka lebih untuk menyelamatkan daripada memusnahkan. Berbeza dengan zaman sekarang, zaman menghujum. Malah mencaci maki bilamana kekeringan hujah dan ilmu.

****

NASIHAT SAHABAT YANG PRIHATIN

Sahabat saya ada yang memberikan cadangan kepada saya agar tidak lagi menulis berkenaan isu-isu sebegini. Beliau malah bimbang saya akan dicaci maki lagi. Beliau menyarankan agar saya mengambil jalan Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhuma ketikamana peperangan Siffin yang mana mereka berdua tidak menyertai bimbang fitnah semakin berleluasa. Saya terharu dengan perhatiannya kepada saya, namun jawapan yang saya berikan kepada sahabat saya ini ialah :

“ Mungkin saya tidak memilih jalan seperti Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhu yang bersikap mendiamkan diri, namun saya memilih jalan Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam yang tidak mahu melihat akan berlaku lebih banyak salah faham jika mengambil sikap berdiam diri.”

NASIHAT SAYA KEPADA SEMUA PEMBACA

Jika tidak suka dengan apa yang kami pelajari di al-Azhar al-Syarif, maka jangan lagi menjenguk ke laman saya ini. Lawatilah laman-laman lain yang menyokong pendapat kalian. Malah , kami juga tidak berkeinginan untuk menjengah masuk ke laman-laman milik kamu untuk membuat kekacauan sepertimana yang kamu lakukan di laman-laman orang yang tidak sependapat dengan kamu. Saya menulis adalah untuk sahabat yang inginkan kefahaman dan kebaikan.

Saya hanya melayan sahabat-sahabat yang inginkan kebenaran dan kebaikan serta yang memberikan nasihat atas dasar kebaikan bukan untuk memaksa-maksa mengikuti mereka. Kamu mencanangkan bahawa perbezaan pendapat itu baik, namun kamu sebenarnya bukan meraikan perbezaan malah ingin memaksa orang lain megikuti pendapat kamu, kononnya orang lain sesat hanya kamu yang benar.

Saya harapkan sangat-sangat, golongan-golongan sebegini tidak lagi menjengah ke laman saya jika kekacauan yang kamu semua inginkan. Saya hanya menjemput sahabat-sahabat yang punya pandangan luas dan berlapang dada di dalam perbincangan untuk bersama-sama mempertahankan kebaikan dan bertolong menolong melakukan kebajikan.

Beradab sopanlah. Baca dan fahami dengan baik. Adakah saya mencaci maki dan mencerca kamu di dalam perkataan saya??

Semoga Allah taala memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.amin.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
PENUNTUT MASJID AL-AZHAR AL-SYARIF DAN MASJID AL-ASYRAFF,CAFE KUALA LUMPUR,
KAHERAH, MESIR

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej