Orang Islam dulu tak potong basikal imam - Ustaz Azhar
ASLANI M | 29 Mei 2015.
KOTA BHARU: Mengenali seseorang Muslim itu munafik atau tidak boleh dicam apabila mereka meragui terhadap usaha Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (KJS), kata pendakwah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus.
Beliau berkata orang Islam sendiri mengeluarkan kenyataan dengan mencipta pelbagai alasan termasuk mengatakan KJS belum sesuai lagi dilaksanakan.
“Ini adalah satu ujian. Ramai orang Islam sendiri merungut dengan mengatakan sekarang masa belum sesuai pelaksanaan KJS kerana masyarakat berbilang kaum. Mereka mencipta pelbagai helah dan alasan.
“Sedangkan tanpa sedar membolehkan kita mengenali seseorang Muslim itu munafik atau tidak terhadap pelbagai alasan yang mereka sebut,” katanya pada program Bicara Murabi anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi. (Foto atas daripada Fb MB Kelantan)
Puluhan ribu rakyat Kelantan menyertai program malam tadi yang bermula solat Maghrib. Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Nassuruddin Daud dan YDP MPKB BRI, Zamri Ismail.
Turut bertindak sebagai panelis pada program itu Sheikh Nuruddin Mambu al-Banjari, manakala Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani bertindak sebagai moderator.
Sebelum itu kuliah Maghrib disampaikan pensyarah UKM, Dr Izhar Arif. Menteri Besar kemudian mengimamkan solat Isyak. Program berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 MKPB diisytiharkan sebagai BRI.
Ustaz Azhar juga berkata orang Islam sekarang tidak segan silu lagi mengkritik ulama yang jarang dilakukan masyarakat Melayu sebelum ini.
“Orang Islam zaman dahulu sangat menghormati ulama. Ketika menaiki basikal mereka tidak akan memotong kalau imam mengayuh basikal di hadapan.
“Masyarakat Melayu zaman lampau tidak melanggar adat. Tetapi sekarang motosikal imam pun ada yang sanggup kebas,” katanya.
- HARAKAHDAILY 29/5/2015
https://www.facebook.com/ayob.hussin/posts/10204400005260837
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej