Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, August 15, 2016

ADAB-ADAB MUFTI

ADAB-ADAB MUFTI

1. Al hafiz al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya "Al Faqih wa al Mutafaqqih" dari Imam Syafi’i radiyallahu ‘anhu berkata "

Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif dengan Kitab Allah (al Quran), nasikh dan mansukh, muhkam dan mutasyabih, ta’wil dan tanzil, makkiyyah dan madaniyyahnya; apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan.

Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam; nasikh dan mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran.

Disamping itu, dia juga MESTI MENAHAN DIRI DARIPADA (SERONOK) BERCAKAP. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulamak, selain harus memliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbath).

Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram. Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi TIDAK dibenarkan untuk berfatwa"

2. Al-Qodhi ‘Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata:

"Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat."
Beliau ditanya: "Mengapa begitu?" Beliau menjawab: " Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: "Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)."

3. Sufian bin ‘Uyainah pernah berkata:

"Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha’ (ulama’ ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta’wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman)."

4. Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata: "

Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!" Beliau menjawab: "Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu’alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn ‘Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain.

Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi). Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja.

Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam.

Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin ‘Uyainah.

5. Kewarakan Salafussoleh Yang Pakar Takut Untuk Berfatwa

Dari Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas radiyallahu ‘anhu, mereka berdua berkata, "Barangsiapa yang berfatwa pada setiap masalah yang ditanyakan kepadanya, maka ia adalah orang gila"

Mus’ab berkata : "Imam Malik pernah ditanya tentang satu soalan,kemudian beliau menjawab : "Saya tidak tahu". Kemudian si penanya, salah seorang berpangkat berkata : "Itu soalan yang remeh dan mudah, yang aku kehendaki adalah untuk memberitahu Amir (Khalifah) bahawa engkau telah memberikan jawapannya".

Lalu Imam Malik menjadi marah seraya bertanya : "Soalan remeh dan mudah katamu.. ? Ilmu pengetahuan (agama) tidak ada yang remeh, apakah kamu tidak mendengar firman Allah Ta’ala yang bermaksud "Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan (wahyu) yang berat". (Al Muzammil :5). Semua ilmu pengetahuan berat, tidak ada yang remeh, apatah lagi jika soalan yang ditanya orang".

Salah seorang murid Imam Malik berkata : "Perkataan yang paling banyak diucapkan oleh Imam Malik ialah : "Tiada daya dan upaya, melainkan dengan (pertolongan) Allah Subahanahu Wa Ta’ala".

Sumber rujukan :

1. Al Qadhi ‘Iyadh "Tartib Al-Madarik"
2. Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami’" m/s 118
3. Abu ‘Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi’yar Al-Mu’rab" jilid 12 m/s 314

Wallahua’lam bissowab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej