Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, August 15, 2016

Iran & Syiah di Malaysia

Iran & Syiah di Malaysia.

1 February 1979 Khomeini pulang ke Iran selepas rajanya Shah Iran Reza Pahlavi lari meninggalkan Tehran. Khomeini melabelkan perjuangannya sebagai sebuah Revolusi Islam dan menjadikan Iran sebagai negara Islam pasca dunia moden. Saya yang ketika itu belajar di tingkatan enam dan mengikuti usrah ABIM di Muar, Johor begitu bersemangat dengan kejayaan revolusi islam Iran. Gambar Khomeni turut saya simpan sebagai tanda sokongan.

Namun selepas kejayaan revolusi Iran, Khomeini disibukkan dengan krisis tahanan Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran pada 1982 yang berlarutan selama  444 hari. Sekumpulan para pelajar universiti Tehran yang pro revolusi telah menawan seramai 52 orang kakitangan kedutaan Amerika di Tehran. Ianya bermula pada 4 November 1979 dan berakhir pada 20 January 1981. Namun pada  24 April 1980 Presiden Amerika ketika , Jimmy Carter telah menghantar pasukan elite tenteranya dengan menggunakan lapan helikopter untuk operasi menyelamat tebusan di kedutaan mereka di Tehran. Namun tragedi menimpa pasukan khas ini apabila diserang ribut pasir hingga menyebabkan helikopter-helikopter yang digunakan pasukan khas ini bertembung sesama sendiri dan akhirnya operasi penyelemat ini gagal dengan menyaksikan beberapa orang anggota pasukan elit ini terbunuh. Mayat anggota tentera elite ini kemudiannya telah di arak dan dipamerkan pada rakyat Iran di Tehran.

Tamat sahaja krisis tebusan kedutaan Amerika ini, Khomeini mula mengeksport semangat revolusi islam Iran ke seluruh dunia Islam. 1982 Khomeini telah mengadakan Persidangan Ulama Islam Sedunia di Tehran. Dan antara yang dijemput dalam persidangan tersebut adalah pemimpin-pemimpin gerakan islam dari seluruh Asia tenggara termasuklah dari Malaysia. Salah seorang dari Malaysia yang dijemput ialah Ustaz Asaari Muhammad dari pertubuhan Al Arqam. Sekembalinya wakil-wakil gerakan islam dari Malaysia ini dari Persidangan Ulama islam sedunia di Tehran ini, maka bermulalah era baru dalam gerakan-gerakan Islam di seluruh nusantara apabila mereka juga mengambil semangat revolusi islam iran ini sebagai alat untuk menaikkan semangat perjuangan pergerakan di negera masing-masing.

Namun sebaliknya berlaku pada Arqam apabila Asaari sekembalinya dari Persidangan Ulama Islam Sedunia di Tehran itu telah menulis buku bertajuk ‘Bahaya Syiah’ dan kemudiannya mengadakan road show di seluruh negara untuk mendedahkan penyelewengan aqidah syiah dan bahaya revolusi Iran terhadap masa depan umat islam seluruh dunia. Usaha ini walau bagaimanapun diperlekehkan oleh ramai pemimpin-pemimpin gerakan islam di Malaysia.

1983 saya yang ketika itu merupakan salah seorang pemimpin pelajar di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya telah dijemput untuk hadir dalam satu taklimat mengenai krisis tebusan kedutaan Iran (1979-1980) di International Hotel Kuala Lumpur yang turut dihadiri sekitar 80 orang pemimpin pelajar dari sekitar KL. Yang saya ingat ketika itu ada juga beberapa pelajar Malaysia dari UK yang kebetulan pulang bercuti hadir dalam program tersebut. Dalam program itu tiga orang pemimpin pelajar Universiti Tehran yang turut terlibat dalam peristiwa rampasan dan tebusan kedutaan Amerika di Tehran hadir untuk memberi taklimat dan menanamkan semangat kebencian terhadap Amerika.

Malah kesemua peserta yang hadir dalam program tersebut akan masuk ke dewan yang telah diletakkan bendera Amerika di atas lantai untuk dipijak-pijak oleh para peserta semasa memasuki dewan seminar. Beberapa gambar peristiwa penahanan tebusan di kedutaan Amerika di Tehran juga d gantung di dinding sebagai bahan pameran dan propaganda mereka. Namun ketika sesi soal jawab diadakan pihak pengurusan hotel memaklumkan terdapat dua buah trak FRU sudah berada di luar hotel dengan beberapa kereta peronda polis untuk menyerbu program tersebut. Saya antara yang paling awal lari lintang pukang ikut pintu belakang hotel untuk menggelakan diri dari ditangkap dan ditahan polis atas tuduhan menghadiri satu perhimpunan haram. Esoknya berita mengenai program anjuran pelajar Universiti Tehran ini telah tersiar di dada akhbar dan tiga pelajar yang mengendalikan program tersebut telah diarah keluar segera dari Malaysia.

Beberapa bulan kemudian ada seorang senior saya di fakulti undang-undang tidak hadir kuliah dan tutorial untuk beberapa minggu. Saya pelik kenapa dia tidak hadir kuliah saperti biasa. Pada hari pertama dia muncul semula di fakulti, saya mendapat tahu dia telah dipanggil oleh pihak Special Branch (SB) dari Bukit Aman untuk disoal siasat. Dia kemudian mengaku pada saya telah pergi ke Tehran bersama dengan beberapa pelajar di Universiti Malaya ketika itu untuk hadir satu Persidangan Pemimpin Pelajar Islam Sedunia yang dianjurkan oleh Khomeini. Semua kos tiket dan penginapan mereka ditanggung oleh kerajaan Iran katanya.

Maka sejak itu bermulalah era menyebarkan semangat revolusi Iran di kampus Universiti Malaya yang juga di ketuai oleh seorang ustaz yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Fakulti Sastera ketika itu. 1995 Ustaz ini bersama-sama dengan beberapa pejuang syiah tanahair telah di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (I.S.A)

Salah seorang pelajar di fakulti sastera Universiti Malaya yang menyokong syiah dan revolusi iran ini pernah berhujah pada saya “Pasukan elit tentera Amerika diserang dengan debu pasir hingga helikopter mereka bertembung sesama sendiri. Itu tentunya datang dari kekuasaan Allah juga. Kalau Syiah sesat takkan Allah nak tolong Iran”. Hanya dengan hujah itu sahaja ramai yang menyokong syiah dan Iran. Selepas Persidangan Ulama Islam Sedunia yang dianjurkan oleh Khomeini pada 1982 ramai pengikut-pengikut gerakan islam di Malaysia menghantar anak-anak mereka untuk belajar agama di Qom, Iran yang dianggap kota suci pada pengikut syiah.

Anak-anak inilah yang sekarang telah kembali dan sedang mengembangkan fahaman dan aqidah sesat syiah di Malaysia hari ini.

Artikle ini adalah sebahagian dari petikan dari buku yang sedang saya tulis MEMOIR SEORANG PENGIKUT ‘The Leap Of Faith’ yang merupakan sambungan kepada buku saya ARQAM, TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA.

Keterangan gambar:

Kiri – krisis tebusan kedutaan Amerika di Tehran.
Tengah – helikopter pasukan elit Amerika yang musnah dan rosak di padang pasir.
Kanan – Asaari Muhammad duduk atas pentas utama dalam Persidangan Ulama Islam Sedunia anjuran Khomeini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej