Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, August 24, 2016

Salah Faham Konsep Bidaah Punca Ekstrem

Salah Faham Konsep Bidaah Punca Ekstrem
Oleh: Dr Abdullaah Jalil

Pernah pada satu sesi kaunseling pemulihan dengan seorang yang terbabit gerakan ekstremisme berasaskan ideologi takfiri (mudah mengkafirkan umat Islam lain), penulis mengajak tahanan berkenaan memulakan sesi perbincangan kami dengan membaca surah al-Fatihah.

Namun, dia menunjukkan bahasa badan bahawa dia tidak mahu membacanya, matanya memandang ke sekeliling dengan air muka yang kurang selesa sewaktu penulis membaca surah itu.

Tahanan itu mempunyai masalah berkenaan definisi dan konsep bidaah sehingga dia merasakan membaca al-Fatihah sebagai pembuka majlis itu bidaah yang haram.

Selepas itu, penulis berbincang dan berdebat panjang dengan tahanan berkenaan konsep bidaah menurut perspektif ulama Ahli Sunah Wal Jamaah. Daripada pengamatan, kebanyakan tahanan terbabit aktiviti ekstremisme mempunyai salah faham yang serius berkenaan konsep bidaah.

Khususnya berkenaan bidaah hasanah dalam perkara furu' atau perkara baharu dan baik menurut neraca syariah berasaskan tafsiran ulama muktabar empat mazhab. Pengalaman empirikal itu menjadi bukti bahawa konsep bidaah mempunyai kaitan rapat dengan pembentukan ideologi takfiri dan aktiviti keganasan.

Bahkan slogan atau tema Menghapuskan/Menentang/Membasmi Bidaah adalah antara tema penting yang sering dijaja oleh gerakan ekstrem seperti Boko Haram di Nigeria, Shabaab di Somalia, JI di Nusantara, ISIS dan seumpamanya.

Perangi kelompok bidaah

Bahkan, mereka juga menganggap masyarakat Islam yang diperangi adalah kelompok ahli bidaah yang sesat. Menurut maklumat dibentangkan oleh pihak polis dalam seminar berkaitan, pada peringkat awal kemasukan tokoh JI dari Indonesia ke Malaysia seperti Abu Bakar Ba'asyir dan Abdullah Sungkar, hanya membincangkan isu bidaah dan furu'.

Tetapi, selepas masa berlalu pihak berkuasa mula sedar golongan yang pada mulanya mereka anggap hanya membincangkan isu bidaah ini adalah sarang kelahiran fahaman dan aktiviti ekstremisme.

Lihat sahaja ISIS atau IS dan sikap mereka terhadap isu sering dijaja sebagai bidaah. Mereka mengharamkan sambutan Mawlid Nabi di kawasan jajahan dengan mengatakan ia sebagai bidaah dan kesesatan.

Pada 2015, selepas IS mengiklankan permulaan Ramadan pada hari Jumaat, berbeza dengan kebanyakan negara Arab yang mula berpuasa pada hari Khamis, IS membuat pengumuman solat tarawih dibatalkan kerana ia tidak dilakukan pada zaman Nabi SAW.

Ini dilaporkan oleh Sheikh Sa'dun al-Nu'aymi, salah seorang imam di bahagian Ninowi, Iraq. Beliau berkata, Dewan Hisbah IS mengeluarkan perintah larangan itu kepada semua imam dan masjid serta mengancam hukuman kepada mereka yang melakukannya.

Sebahagian berita pula melaporkan IS melarang melakukannya lebih daripada lapan rakaat kerana mendakwa bilangan yang melebihi lapan rakaat adalah bidaah.

Tidak hairanlah salah satu konsep ilmu yang perlu dibincangkan dengan mereka yang terbabit fahaman dan aktiviti esktremisme berasaskan ideolofi takfiri adalah konsep bidaah menurut perspektif Ahli Sunah Wal Jamaah.

Mudah Terpengaruh

Sebahagian masyarakat Islam yang terpengaruh dengan konsep bidaah berasaskan ideologi takfiri juga dilihat kurang berlapang dada dan bertolak ansur dalam isu khilafiah serta furu.'

Sebahagian mereka dilihat tidak menunjukkan sikap hormat dan adab terhadap pandangan ulama muktabar, keputusan fatwa Jabatan Mufti Negeri atau Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

Bahkan sebahagian mereka juga menunjukkan sikap kurang ajar dan berperwatakan kasar terhadap pihak lain yang tidak bersetuju dengan pandangan mereka.

Maka tidak hairanlah jika beberapa Jabatan Mufti Negeri di Malaysia seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor mengeluarkan fatwa khusus berkenaan larangan mempertikaikan isu khilafiah dan furu.'

Isu bidaah ini jika tidak difahami dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaaah ibarat api kecil yang boleh marak apabila disimbah ideologi takfiri. Pihak berkuasa agama di Malaysia patut memandang isu ini dengan serius kerana ia boleh menjadi sebab perpecahan masyarakat dan asas ektremisme bertopengkan agama.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/139044

Penulis adalah Ust. Dr. Abdullaah Jalil (USIM)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej