Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, March 1, 2017

BAGAIMANA SAUDI MENJADI PENJAGA DUA KOTA SUCI


BAGAIMANA SAUDI MENJADI PENJAGA DUA KOTA SUCI
Raja Salman melawat Malaysia. Mungkin ada yang tertanya-tanya dari mana datangnya gelaran Raja Saudi yang berbunyi "Penjaga Dua Kota Suci" (Khadim Al-Haramayn Al-Sharifatayn, خادم الحرمين الشريفين). Siapa yang beri? Sejak bila ia diguna pakai?
Raja Saudi pertama yang memakai gelaran tersebut ialah Raja Fahd (1982-2005), dan diteruskan oleh Raja Abdullah (2005-2015) dan Raja Salman (2015-kini). Walaupun keluarga Banu Al-Saud telah menguasai dua kota suci (Makkah dan Madinah) sejak tahun 1924, namun hanya sehingga tahun 1986 baru Raja Fahd memakai gelaran tersebut, menggantikan gelaran Yang Mulia (Shahib al-Jalalah, صاحب الجلالة).
Tujuannya adalah untuk menonjolkan imej Raja Saudi sebagai pembela Islam, demi memperkukuhkan kedudukannya yang semakin terancam dengan pelbagai peristiwa. Antaranya peristiwa Rampasan Masjidil Haram pada tahun 1979 di mana golongan radikal mencabar keabsahan kuasa raja, pemberontakan Syiah pada tahun 1980 di wilayah Al-Hasa timur Arab Saudi, dan juga kemunculan pemimpin karismatik seperti Ruhollah Khomeini dan Saddam Hussein yang mencabar pengaruh geopolitik Saudi. Pada masa yang sama, golongan agamawan konservatif Saudi juga kurang berpuas hati dengan Raja Fahd yang dilihat “liberal” dan pro-Barat.
Gelaran Penjaga Dua Kota Suci ini sebenarnya muncul pada abad ke-12. Ia merupakan gelaran yang dipakai oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (atau Saladin) yang berjaya mempertahankan dua kota suci daripada serangan Tentera Salib di bawah pimpinan Raynald semasa tahun 1183. Namun pada tahun 1201, Qatada ibn Idris dari golongan “sharif” (keturunan Sayyidina Hasan ibn Ali) telah menguasai dua kota suci. Keturunan Qatada (Banu Qatada) menjadi pemerintah dua kota suci sehingga tahun 1925. Setelah kejatuhan Khilafah Abbasiyyah di Baghdad pada tahun 1258, gelaran Penjaga Dua Kota Suci turut dipakai oleh Sultan Mamluk di Mesir yang menjadi penaung Banu Qatada,.
Selepas Sultan Salim dari Turki Uthmaniyyah mengalahkan tentera Mamluk pada tahun 1517, Sharif Abu Numayy ibn Barakat telah mengunjungi Salim dan bai'ah kepadanya yang kini menjadi Khalifah Islam yang baru. Sharif cuba mengambil hati Salim dengan menamakan beliau “Pemilik Dua Kota Suci” (Hakimul Haramayn), namun Salim menolak dan mengekalkan gelaran “Khadimul Haramayn”. Maka gelaran itu lekat pada Khulafa' Uthmaniyyah. Keluarga Sharif dibenarkan terus memerintah Hijaz di bawah Uthmaniyyah.
Kerajaan Uthmaniyyah menjadi semakin lemah semasa Sharif Hussein ibn Ali Al-Hashimi menjadi pemerintah Hijaz (1908-1924). Disebabkan penguasaan dua kota suci dilihat sebagai simbol malah syarat Khilafah, maka hati Sharif Hussein mula berjinak-jinak ingin menggantikan kedudukan Uthmaniyyah. Pada tahun 1915, ketika Perang Dunia Pertama berlangsung, Sharif Hussein telah memeterai kerjasama dengan British untuk menjatuhkan Uthmaniyyah. Sebagai balasan, British berjanji akan menyokong Sharif menjadi Khalifah baru. (kisah lanjut boleh baca di post lama saya di sini: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10205535619429474&set=a.1494100212092.57754.1821685114&type=3&permPage=1)
Namun pada masa yang sama, British juga memeterai Perjanjian Darin dengan ketua kabilah Banu Al-Saud yang bernama Abdul Aziz ibn Abdul Rahman Al-Saud. Keluarga Banu Al-Saud ini berasal dari padang pasir Najd berpusat di Riyadh, dan mereka membawa satu misi yang luar biasa. Pada tahun 1744, moyang Abdul Aziz iaitu Muhammad ibn Saud telah membentuk satu pakatan dengan Muhammad ibn Abdul Wahhab untuk sama-sama memajukan dan menyebarkan fahaman yang dikenali sebagai Wahhabiyyah. Muhammad ibn Abdul Wahhab melihat Makkah dan Madinah ketika itu penuh dengan syirik dan bid'ah pemujaan kubur (katanya), jadi hasratnya adalah untuk “membersihkan” dua kota suci daripada “kemungkaran”.
Banu Al-Saud pernah menyerang Hijaz dan menguasai dua kota suci dari tahun 1803 hingga 1814, namun mereka telah dikalahkan oleh Uthmaniyyah. Abdullah, amir Banu Al-Saud, telah dihukum bunuh oleh Uthmaniyyah pada tahun 1818. Kebencian Banu Al-Saud terhadap Uthmaniyyah menjadikan mereka sekutu idaman British. British memberi bantuan kepada Banu Al-Saud untuk mengalahkan Banu Rashid yang merupakan sekutu Uthmaniyyah. Banu Al-Saud berjaya menguasai Najd dan Abdul Aziz mengisytiharkan diri sebagai Sultan pada tahun 1921.
Selepas Perang Dunia tamat pada 1918, baru Sharif Hussein sedar beliau telah ditipu oleh British. British sebenarnya cuma mahu menjatuhkan Uthmaniyyah untuk memudahkan pembinaan Israel dan memperkukuhkan lagi kedudukan Empayar British. Janji terhadap Sharif Hussein dicapati. Namun Sharif Hussein masih mahu menjadi Khalifah. Seminggu selepas Turki membubarkan Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, Sharif Hussein mengisytiharkan diri sebagai Khalifah dan mencabar kedudukan British di Tanah Arab. British “fed up” dengan Sharif Hussein, maka ia memberi sokongan penuh kepada Abdul Aziz untuk memerangi Sharif Hussein.
Tanggal 13 Oktober 1924, Abdul Aziz berjaya menawan Makkah. Madinah turut jatuh ke tangan Banu Al-Saud pada 12 Disember 1925. Tentera Banu Al-Saud mengganas di Ta'if, menyembelih penduduk tempatan. Dikatakan Mufti Mazhab Syafi'i di Mekah, Syeikh Abdullah Az-Zawawi turut ditembak mati oleh tentera Banu Al-Saud. Pada 8 Januari 1926, Abdul Aziz mengisytiharkan diri sebagai Raja Hijaz. Pada 21 April 1926, kompleks makam Jannatul Mu'alla (Makkah) dan Jannatul Baqi' (Madinah) yang mengandungi makam-makam ahli keluarga dan para sahabat Rasulullah diratakan, atas nama membanteras syirik dan bid'ah. Kekacauan yang luar biasa menyebabkan urusan haji tergendala. Pengutusan Haji Abdul Majid bin Zainuddin, Pesuruhjaya Haji Negeri-Negeri Selat ke Haramayn turut ditangguhkan.
Pada tahun 1927, Abdul Aziz dan British menandatangani Perjanjian Jeddah bahawa kerajaannya tidak akan kacau sempadan Yaman, Oman dan emiriah-emiriah Teluk yang merupakan jajahan British. Ya, sekutu macam inilah British mahu, bukan jenis degil seperti Sharif Hussein. Pada 23 September 1932, Abdul Aziz menamakan wilayah taklukannya, yang merangkumi Hijaz dan Najd, sebagai “Saudi Arabia”. Keturunan Muhammad ibn Abdul Wahhab dikenali sebagai Aal Al-Sheikh (آل الشيخ‎‎) dan masih menjawat jawatan penting seperti Mufti Besar Arab Saudi.
Itulah cara Saudi menjadi Penjaga Dua Kota Suci.
Bacaan lanjut:
Clive Leatherdale (1983), Britain and Saudi Arabia, 1925-1939: The Imperial Oasis.
Haifa Alangari (1998), The Struggle for Power in Arabia: Ibn Saud, Hussein and Great Britain 1914-1924.
James Wynbrandt (2014), A Brief History of Saudi Arabia.
LikeShow more reactions
Comment

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej