PINDAAN AKTA 355: PAS BENTANG!
Oleh: Nasrudin bin Hassan
30 Mac 2017 | 02 Rejab 1438H
30 Mac 2017 | 02 Rejab 1438H
1. PAS telah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 pada 26 Mei 2016 buat kali yang pertama pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke 13 dan perbahasannya ditangguhkan ke persidangan berikutnya.
2. Kali kedua PAS membentangkannya dengan sedikit pindaan terhadap draf asal pada 24 November 2016 di Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke 13. Sekali lagi PAS memilih untuk menangguhkan perbahasan ke persidangan berikutnya bagi memberi ruang secukupnya kepada ahli parlimen membuat kajian terhadap pindaan yang dicadang serta persediaan perbahasan.
3. Pada 17 Mac 2017 yang lalu, YAB TPM Dato' Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasional lah yang akan membentangkan Pindaan Akta 355 di mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke 13 ini. Sementara PAS tidak pula pernah berunding dan mengumumkan untuk tidak membentangkan pindaan akta tersebut.
4. Ekoran pengisytiharan tersebut, meskipun PAS belum menyatakan sikap rasminya kepada umum, kenyataan YAB TPM itu dilihat sebagai satu option yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format Pindaan Akta 355 bagi kali ini.
5. Namun pihak musuh politik PAS segera mencetus propaganda kononnya PAS telah ditipu oleh BN. Setelah sekian lama PAS berusaha membawa Pindaan Akta 355 ke parlimen dan mengorbankan segalanya, maka sepantas kilat BN pula "take over".
6. Semalam 29 Mac 2017, YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Abd Razak pula mengisytiharkan bahawa kerajaan BN tidak akan membentangkan Pindaan Akta 355 tersebut ke parlimen, sebaliknya kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian. Ertinya ia akan dibentangkan oleh PAS sebagaimana sebelumnya.
7. Pengisytiharan itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS. Situasinya adalah "kekal pada format asal". Sememangnya, Ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di parlimen.
8. Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan.
9. Sekali lagi musuh politik PAS pantas mencaras kononnya PAS menjadi mangsa "game" UMNO dan BN. Entahlah, mana satu yang betul?
i- Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh UMNO dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke parlimen? Bukankah UMNO menyokong?, maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.
ii- Apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga "meloncat tidak ketahuan punca" kononnya PAS kena kencing oleh UMNO. Pada mereka, serba tidak kena.
10. Sikap PAS tidak berubah. Persediaan PAS tidak terjejas. Kedua-dua menjadi option yang boleh dipertimbangkan. PAS sejak awal memperjuangkannya.
i- Pertengahan jalan pihak kerajaan mahu mengambil alih, pihak PAS tidak bermasalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda.
ii- Kemudiannya mereka tidak jadi mengambil alih. Ianya mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu. Insyaallah PAS akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkahan bergaya tanpa tempang.
iii- Maka PAS sedia untuk bentang Pindaan Akta 355 dan terus bersedia untuk membentang dan membahaskannya pada bila-bila masa.
"Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera"
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej