FAHAMI KONSEP NASIHAT.
APABILA saya menegaskan bahawa PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat, sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata, atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi. Maka, yang lemah imannya menjadi tidak Istiqamah. Di sini saya kemukakan huraian Al-Quran dan Sunnah yang menjadi perkara dasar yang tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh PAS.
PAS menetapkan supaya setiap majlisnya, usrah, perjumpaan besar dan kecil ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr, di dalamnya ayat yang menegaskan betapa konsep nasihat sangat penting kepada Jamaah Islam dan ummatnya dengan makna yang luas bagi diri dan terhadap semua pihak temasuk musuh yang paling zalim. Ini kerana mesejnya kepada seluruh manusia, firman Allah:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
"Dan berpesan-pesan (Nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." [Surah Al-Asr : ayat 03]
Ayat ini menegaskan gabungan konsep nasihat dan sifat sabar.
Hadis Rasulullah SAW pula menegaskan:
الدِّينُ النَّصِيحةُ قلنا : لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
“Agama itu nasihat.
Kami (Para sahabat) bertanya: Untuk siapa?
Sabdanya: Kepunyaan Allah, Rasulnya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh mereka.” [Riwayat Muslim]
Hadis ini menegaskan nasihat dengan rukun Iman yang asasi dan hubungannya secara bermasyarakat madani yang menjadikan manusia bersaudara. Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa Al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta Al-Quran.
Allah juga mengesah dan menafsirkan dalam Al-Quran bahawa konsep nasihat dilakukan oleh semua Para Rasul AS terhadap manusia di zamannya, termasuk terhadap penentangnya yang paling zalim. Nabi Nuh AS menegaskan kepada kaumnya:
وَأنْصَحُ لَكُمْ
"Dan aku memberi nasihat kepada kamu." [Surah Al-A'raf : ayat 62]
Nabi Hud AS menegaskan kepada Kaum Aad:
وَأنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أمِينٌ
"Dan aku juga adalah penasihat yang amanah kepada kamu." [Surah Al-A'raf : ayat 68]
Apabila seorang hamba Allah datang menasihati Khalifah Abbasiyyah Al-Makmun kerana ketelanjurannya, tiba-tiba menggunakan kata-kata yang kesat, kasar dan keras. Maka Al-Makmun menjawab ; "Sesungguhnya orang yang lebih baik daripadamu, diperintah Allah supaya menasihati orang yang lebih jahat daripadaku, dengan bahasa yang baik". Allah menegaskan kepada Nabi Musa AS dan Harun AS yang lebih baik daripadamu, ditugaskan menghadapi Fir’aun yang lebih zalim daripadaku supaya mengunakan bahasa yang lebih baik. Allah berfirman :
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى * فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى *
"Wahai Musa dan Harun !, pergilah kamu berdua kepada Fir’aun. Sesungguhnya Dia toghut (terlalu melampau). Katakanlah kepadanya dengan ucapan yang lembut, mudah-mudahan dia menerima pengajaran atau merasa takut (kepada Allah)." [Surah Toha : ayat 43 - 44]
Hikmatnya ialah kerana Islam adalah rahmat Allah yang menyelamatkan manusia dengan memberi petunjuk ke jalan yang benar, adil dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mesej para Rasul AS yang membawa Islam adalah menyelamatkan manusia bukannya menghalau atau mencari musuh seramai-ramainya. Allah menegaskan kepada Rasulullah SAW supaya menjadi contoh kepada umatnya sehingga hari kiamat:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ *
"Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berdakwah kepada petunjuk Allah (Islam) serta dia mengerjakan amal soleh dan menegaskan ; Bahawa saya termasuk dikalangan orang-orang Islam. Tidak sama kebaikan dibandingkan dengan kejahatan. Maka balaskan yang terbaik terhadap orang yang berlaku jahat terhadapmu. Maka tiba-tiba orang yang bermusuh antaramu dan dia bertukar menjadi teman yang saling mengasihi. Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang-orang yang sabar dan tidaklah boleh menerimanya malainkan oleh orang-orang yang berhak mendapat ganjaran yang besar (daripada Allah). Dan apabila syaitan cuba memesongkan kamu dengan sesuatu caranya, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah Fussilat: ayat 33-36]
Apabila Rasulullah SAW menyerahkan bendera perang Khaibar kepada menantunya Ali bin Abi Talib, yang terlalu tinggi semangatnya untuk memerangi kaum Yahudi pengkhianat perjanjian, ditegaskan dengan sabdanya:
انفذ على رسلك حتى تنزل بساحتهم، ثم ادعهم إلى الإسلام، وأخبرهم بما يجب عليهم من حق الله تعالى فيه، فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم
"Laksanakan tugas sehingga apabila kamu tiba dilapangan mereka, kemudian ajak mereka kepada Islam dan beritahu kepada mereka apa-apa yang wajib keatas mereka terhadap Allah. Maka Demi Allah! Kejayaanmu menjadikan seseorang mendapat petunjuk Allah lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya." [Muttafaqun Alaih]
Apabila berjaya membebaskan Mekah daripada jahiliyah maka jumlah yang dimaaf berlipat kali ganda daripada yang dihukum. Kita jangan berlagak lebih kuat Islam dan taqwa sehingga merasa lebih daripada Rasulullah SAW.
PAS memilih pendekatan semokrasi barat kerana perubahannya daripada demokrasi purba kepada demokrasi moden hasil kajian para orentalis mereka daripada penulisan para ulama Islam. Ini menunjukkan pengaruh Islam memilih pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dalam perubahan politik barat, dan Islam lebih berhak daripada mereka.
Maka ahli politik PAS yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada Al-Quran dan Sunnah, bukannya pembangkang daripada England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya.
Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat. Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.
Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan. Allah juga berfirman:
وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
"Dan jangan kamu berdebat dengan ahli kitab malainkan dengan cara yang terbaik, malainkan terhadap orang-orang zalim di kalangan mereka." [Surah Al-Ankabut : ayat 46]
Walaupun terhadap yang zalim sabda Rasulullah SAW:
انصر أخاك ظالما أو مظلوما
"Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi."
قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما ؟
"Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! yang ini kami menolongnya kerana dizalimi, maka bagaimana pula menolong orang yang zalim."
Sabdanya:
تأخذ فوق يديه
"Kamu pegang tangannya (mencegahnya daripada berlaku zalim)."
Kita berdepan penganut Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajahan pemikiran, namun dalam hati mereka masih wujud kemanisan Iman dan kalangan bukan Islam pula sudah berilmu dan mencari kebenaran.
Rasulullah SAW mengajar kebijaksanaannya bukan marah dan semangat tanpa kawalan yang istiqamah mengikut pasang dan surut. Sabda Rasulullah SAW lagi :
ليس الشديد بالصرعة، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب
"Bukanlah orang yang gagah perkasa itu dengan bertindak keras melulu. Sesungguhnya orang yang sebenarnya gagah perkasa itu ialah yang dapat mengawal diri ketika marah." [Muttafaqun Alaih]
Di atas konsep ini, Rasulullah SAW berhijrah setelah diwujudkan masyarakat Madinah yang menerima Islam dengan bai’ah ikatan perjuangan yang tidak ditukar dengan isteri, kawan, harta, pangkat serta menggabungkan Tahaluf (Persefahaman kerjasama dalam perkara yag baik), Ta’awun dan lain-lain, bersama kalangan bukan Islam yang berdamai tetapi menerima kedaulatan Islam.
Di atas konsep ini juga apabila Raja Masqat dan Oman, Raja Habasyah dan Bahrain yang menerima Islam dikekalkan memimpin kerajaan masing-masing, tanpa dirampas kuasa dan takhta mereka.
Di atas prinsip dan konsep Islam yang teguh juga para generasi awal bersedia menghadapi kuasa besar dunia Parsi, Rom dan lain-lain yang paling keras mengikut keadaan, tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang. Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliyah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliyah dengan jahiliyah.
Maka perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya. Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu meyebut Islamnya, lebih-lebih lagi yang pengecut menyebut Islamnya. Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan, atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi dengan seronok bersama kabinet bayangan.
Dalilnya apabila Rasulullah SAW tegas menolak semua tawaran, kemudahan dan kesenangan takhta, harta dan wanita yang menggadaikan prinsip. Konsep asas dan matlamat perjuangan Islam yang tidak disembunyikan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru dan terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh tanpa dilihat penghujungnya dengan mata kasar.
Rasulullah SAW tidak berbaiah dengan para pemimpin Bani Amir yang meminta jawatan sebelum menang. Hanya berbaiah dengan kalangan Ansar yang beriman dan budiman bersama perjuangan dengan ikhlas meletakkan wawasan Akhirat. Namun melihat dengan cahaya iman kepada kebenaran daripada Allah dan janji Allah di dunia yang dekat dan akhirat yang belum dilihat. Menempah pahala menyelamatkan manusia seramai-ramainya. Bukannya merosak dan membunuh seramai ramainya.
Allah SWT mengingatkan akan kita semua dengan Firman-Nya di dalam Al-Quran :
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ * وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
"Beristiqamah sebagaimana engkau diperintah (Wahai Muhammad SAW) bersama sesiapa yang bertaubat bersamamu, dan kamu jangan melampau, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim nanti kamu disambar api neraka, dan tiada wali (yang wajib diberi kesetiaan) bagi kamu selain Allah, nanti kamu tidak diberi pertolongan." [Surah Hud: ayat 113]
Dan Firman Allah kepada Rasul-Nya yang menjadi ikutan kita:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ * وَإِمَّا يَنزغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نزغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Ambillah sikap bermaafan dan suruh kepada yang baik. Jangan peduli terhadap orang-orang yang jahil. Jika kamu dirasuk syaitan oleh apa-apa cara rasakannya, mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah Al-A'raf: ayat 199-200]
Sebenarnya kini, kita tenggelam dengan bencana zaman orang-orang jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan. Perjuangan kita bukan akal tanpa sempadan dan hidayah, kita mengikut sempadan Allah menghadapi peganut Islam yang paling baik, sederhana dan menzalimi diri sendiri, menghadapi golongan munafik, kafir yang berdamai dan bermusuh, namun semuanya adalah hamba Allah dan ummat Dakwah Muhammad SAW.
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Rabiul Awwal 1437 / 25 Disember 2015
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej