Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, December 28, 2016

KOMUNIS, WAHHABI, TAKFIRI, SYIAH, BIDAAH, *DAN PAS TERUS MENJADI REBUTAN.*

KOMUNIS, WAHHABI, TAKFIRI, SYIAH, BIDAAH, *DAN PAS TERUS MENJADI REBUTAN.*

Sewaktu para Ulama bersepakat menubuhkan PAS, semasa belum ada lagi kumpulan Islam yang berani dan mampu berperanan dalam setiap sektor masyarakat, PAS sudah menerima serangan pertamanya. PAS didakwa sebagai PEMECAH BELAH.

PAS menggesa kepada kemerdekaan. PAS menyeru supaya tidak tunduk kepada British. Pimpinan PAS tiupkan semangat mengusir penjajah kepada umat melayu. Lalu PAS dikaitkan dengan KOMUNIS.

PAS ambil pendekatan lawan nasionalisme kerana berunsur asobiyyah. PAS juga mendidik masyarakat dari awal tentang bahaya sekularisme. Malangnya PAS dituduh membawa AJARAN SESAT.

PAS membimbing masyarakat kearah kefahaman Islam berteraskan nas dan syarak yang sebenar. PAS bawa pembaharuan dalam kepercayaan dan amalan umat Islam. PAS secara jelas dan berhemah menerangkan kesesatan sebahagian amalan tradisi orang melayu. Hasilnya, PAS dituduh WAHHABI.

PAS turut memperkenalkan dakwah yang lebih berhikmah. PAS menyusun aulawiyat dalam menangani permasalahan umat, bermula dari perkara usul kemudiannya furu'. Lalu PAS dilabel AHLI BIDAAH.

PAS pernah membawa misi memperkenalkan Islam ke dalam sektor kerajaan, dengan menerima pelawaan membentuk kerajaan campuran. PAS juga kini mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera, dengan membantu kerajaan dalam perkara baik tetapi tetap sebagai pembangkang. Padahnya, PAS dituding jari sebagai PENYOKONG KEZALIMAN dan ULAMA SU'.

PAS pernah berpihak kepada Iran dalam pertembungan negara tersebut dengan proksi Amerika, Iraq. PAS juga membawa konflik Timur Tengah ke meja rundingan antara penyokong pemerintah dan pendokong revolusi. Balasannya, PAS digelar SYIAH.

PAS sedaya upaya mengekalkan agama Islam dari diresapi pemikiran Liberalisme, Sosialisme dan seumpanya. PAS senantiasa menganjurkan usrah, liqa dan berbagai program tarbiyah bagi mengelakkan ahli dan masyarakat terjebak ke dalam kancah ideologi sesat. Walhasil, PAS dituduh JUMUD dan KONSERVATIF.

PAS mengembalikan slogan jihad yang hilang dari kamus umat Islam. PAS mengajak menegakkan khilafah melalui jalan damai. PAS menyeru untuk menentang sebarang unsur yang merosakkan Islam. Pulangannya, PAS mendapat nama sebagai EKSTREMIS dan TERRORIS.

PAS menerangkan batas-batas iman dan kufur. PAS menyedarkan ummah bahawa hidayah iman dan Islam perlu dijaga dengan rapi, bimbang tergelincir lalu membatalkan syahadah. Apa yang PAS terima adalah tuduhan TAKFIRI.

Hanya kerana PAS mahu mengamalkan Islam secara SYUMUL, maka semua peluru dihalakan kepada PAS. Hanya kerana PAS memilih islah mengatasi populariti, PAS dikritik setiap sudut.

PAS sudah diserang seawal penubuhannya lagi. Kalau ikutkan keadaan ini, PAS sudah dibenci oleh semua pihak. Atas bawah depan belakang kiri kanan, sepatutnya PAS sudah lama hancur dibelasah.

Tapi kerana berpegang kepada makna ISTIQAMAH, PAS masih bertahan, bahkan semakin berkilauan sinarnya menyilaukan mata-mata yang merenung. Hari ke hari, bilangan ahli PAS bertambah. Anak-anak muda menjadikan keahlian PAS sebagai trend semasa. Nama PAS sentiasa meniti dibibir kawan dan lawan. Cerita pasal PAS menjadi pelaris kepada media dan akhbar.

Benarlah seruan Presiden PAS, istiqamahlah mencari keredhaan Allah, kelak keredhaan manusia pasti akan bersama. Tiada guna berjaya mendapat sokongan manusia, tapi Allah pula yang murka.

Ujar Imam Ibnu Qayyim:
"رضا الناس غاية لا تدرك ورضا الله غاية لا تترك ، فاترك ما لا يدرك ، وأدرك ما لا يترك"
(Redha manusia adalah matlamat yang tidak mungkin dicapai, dan redha Allah adalah matlamat yang tidak mungkin ditinggalkan. Maka tinggalkan yang tidak dapat dicapai, dan capailah yang tidak dapat ditinggalkan.)

Nabi kita sendiri berpesan:
"مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ ، رَضِيَ الله عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عليه الناس"
(Barangsiapa mencari redha Allah dengan menanggung kemurkaan manusia, maka Allah meredhainya dan manusia akhirnya akan redha kepadanya.
Barangsiapa pula yang mencari keredhaan manusia dengan menanggung kemurkaan Allah, maka Allah memurkainya, dan manusia kelak akan memurkainya jua.)
[HR Ibn Hibban]

_(Alang Ibn Shukrimun)_

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej