RUU 355: IKTIBAR DARIPADA IBLIS
Para ulama tafsir meriwayatkan makhluk yang bergelar Iblis pada asalnya sangat dihormati oleh para malaikat yang sangat taat kepada Allah, kerana iblis itu kuat beribadat, berada di dalam syurga, pernah melihat neraka dengan seksaannya dan diberi kelebihan berdialog di hadapan Allah.
Para malaikat hanya melihat sifat zahirnya sahaja tanpa mengetahui sifat buruk yang tersirat di dalam hati iblis, iaitu perangai takabur yang merasa dirinya mengetahui segala-galanya dan dirinya melebihi daripada yang lain. Maka terserlah kebodohan iblis kerana mengangkat diri sendiri yang dimuatkan dalam bakul sendiri.
Sifat buruk ini dizahirkan apabila Allah SWT yang mencipta makhluk manusia bermula dengan Adam A.S. Allah SWT berfirman:
﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾ [البقرة: 30]
(Dan ingatlah apabila Allah berkata kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak ciptakan makhluk yang menjadi Khalifah di atas muka bumi”. Para malaikat berkata: “Adakah Engkau ciptakan makhluk yang akan melakukan keburukan di atasnya dan menumpahkan darah, pada hal kami ini sentiasa bertasbih, memuji dan memujaMu (wahai Tuhan kami)”. Allah menjawab: “Aku lebih tahu di samping adanya apa-apa yang kamu tidak tahu”). (Surah al-Baqarah: 30)
Manusia yang dijadikan Allah mempunyai ciri-ciri naluri, jasad, roh, sifat kendiri dan bermasyarakat yang menjadikan mereka mempunyai kelebihan yang tidak ada pada makhluk yang lain.
Namun kelemahan mereka dibantu dengan hidayah daripada Allah, bukan sahaja hidayah sifat naluri, perasaan dan akal yang berbeza dengan makhluk yang lain. Allah mengurniakan hidayah al-Din (hidayah agama) melalui kitab yang diwahyukan kepada para rasul yang dilantik daripada kalangan manusia. Allah SWT berfirman:
﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾ [الإسراء: 70]
(Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak Adam (manusia) dan kami tanggungkan mereka berada di darat dan laut, serta kami berikan rezeki kepada mereka daripada segala yang terbaik dan kami berikan kelebihan kepada mereka mengatasi kalangan makhluk yang kami ciptakan dengan kelebihan yang dijadikan keistemewaannya). (Surah al-Isra’: 70)
Allah SWT telah menamatkan syariatNya dengan diwahyukan Al-Quran dan diutuskan Nabi Muhammad S.A.W berkonsepkan penerimaan untuk beriman secara anjal (fleksibel) sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya:
﴿وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ هُوَ ٱلۡحَقُّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِعِبَادِهِۦ لَخَبِيرُۢ بَصِيرٞ٣١ ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ٣٢﴾ [فاطر: 31-32]
(Dan ajaran yang telah kami wahyukan (Al Quran) kepadamu (wahai Muhammad S.A.W) ialah yang benar, lagi membenarkan kitab lain yang sebelumnya yang ada dihadapanmu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui (berkenaan kamu) lagi Maha Melihat. Kemudian kami warisi kitab yang kami pilih kepada orang-orang yang kami pilih dikalangan hamba-hamba kami (mereka ialah umat Islam). Maka kalangan mereka ada orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri (kerana mengerjakan maksiat), ada kalangan yang sederhana (amalannya) dan ada yang sangat maju mengerjakan kebajikan dengan izin Allah. Demikian itulah kelebihan yang sangat besar fadilatnya). (Surah Fatir: 31-32)
Dalam ayat ini, Allah SWT meletakkan konsep beriman kepada kitab-kitab Allah secara umum sama ada golongan yang beramal atau tidak beramal dengan kitab-kitabNya atau golongan yang tenggelam di dalam maksiat, mereka semua telah dijanjikan oleh Allah akan mendapat kelebihan sehingga selepas kematiannya. Namun, mereka yang menolak ajaran kitab-kitab Allah secara ingkar tidak termasuk di dalam orang-orang yang mendapat kelebihan ini.
Iblis yang ingkar kerana sifat takabur yang ada di dalam dirinya tidak mengikut perintah Allah supaya hanya sujud menghormati ciptaan Allah iaitu Adam A.S. (makhluk manusia). Perintah yang lebih mudah daripada RUU 355. Oleh kerana sifat takabur dalam diri iblis itu, dia merasa dirinya melebihi daripada semua orang lain, seolah-olah tahu semuanya sehingga mencabar ilmu Allah. Firman Allah:
﴿وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ٣٤﴾ [البقرة: 34]
(Dan ingatlah apabila Tuhan Mu berkata kepada para malikat: “Sujudlah kamu semua kepada Adam”. Lalu mereka semua sujud melainkan iblis. Dia enggan dan takabur, lalu dia termasuk dikalangan mereka yang ingkar). (Surah al-Baqarah: 34)
Allah menyebut pula dalam surah yang lain:
﴿قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ١٢﴾ [الأعراف: 12]
(Allah bekata: “Apakah yang menghalang kamu daripada sujud?”. Dia (iblis) berkata: “Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah “). (Surah al-A’araf: 12)
Iblis telah menggunakan kaedah Qias dan Maqasid Syariatnya sendiri menyebabkan pertimbangan yang salah kerana perbezaan unsur api dan tanah. Adapun para malaikat yang mulia menunjukkan sifat tawaduknya di hadapan Allah:
﴿قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ٣٢﴾ [البقرة: 32]
(Mereka berkata: “Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami! Kami tidak ada ilmu melainkan sekadar yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau sahaja sebenarnya Tuhan kami Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana). (Surah al-Baqarah: 32)
Perbincangan sifat tawaduk dan takabur dibahaskan dalam lapangan ilmu akhlak yang dinamakan juga ilmu tasawuf. Dalam kitab,إيقاظ الهمم disebut kata-kata Imam Malik R.A.:
من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق. ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق.
(Sesiapa yang bertasawuf sahaja tanpa feqahnya, dia menjadi zandiq dan sesiapa yang berfeqah sahaja tanpa taswufnya dia menjadi fasiq).
Ilmu Islam itu mencakupi tiga bahagian mengikut soalan Malaikat Jibril kepada Rasulullah S.A.W. dihadapan para sahabat R.A. iaitu Islam (rukun syariat), Iman (rukun aqidah) dan Ihsan (rukun sifat mulia daripada hati) terhadap Allah, sifat yang menggerakkan hati dan yang memerintah kepada akhlak mulia kepada akal dan jasad.
Sesiapa yang memisahkan ketiga-tiga perkara ini atau mana-mana yang kecil sahaja sudah cukup akan menjadi pengikut syaitan.
Firman Allah SWT yang menegaskan tentang konsep beriman kepada ajaran Islam secara menyeluruh:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨﴾ [البقرة: 208]
(Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam itu semuanya, dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu). (Surah al-Baqarah: 208)
Konsep beriman kepada semua ajaran Islam dan bercita-cita menegakkannya wajib berada dalam diri setiap muslim. Walaupun kemampuan adalah ukuran pelaksanaan, namun tidak harus menafikan beriman kepada hukum Islam dalam perkara yang tidak menjadi kemampuannya dari segi pelaksanaan.
Contohnya seseorang yang tidak ada kemampuan untuk menunaikan haji menjadikan haji tidak diwajibkan ke atas dirinya pada masa ini, tetapi haram dia menegaskan hukum haji tidak wajib secara dasarnya.
Begitulah juga ketidakmampuan untuk melaksanakan undang-undang jenayah yang dinaskan di dalam Al Quran kerana tiada kuasa politik, tidak menasakhkan hukum wajib beriman kepadanya, bahkan ianya menjadi kewajipan untuk diperjuangkan, menjadi cita-cita dan keazaman yang diberi pahala walaupun tidak melaksanakannya.
Inilah yang diamalkan oleh Amirul Mukminin Saidina Umar bin Al Khattab R.A. yang tidak menjatuhkan hukuman terhadap orang miskin yang mencuri kerana kedudukan ekonomi di zaman kemelesetan, namun suasana ini tidak boleh menjadi nas untuk membatalkan hukuman terhadap orang kaya yang melakukan kesalahan jenayah mencuri.
RUU 355 adalah permulaan bagi melaksanakan sebahagian daripada syariat Islam yang adil kerana dapat menghapuskan halangannya, walaupun ianya dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan Hadis. Para ulama Usul Fiqh menetapkan kaedah:
مالا يتم الواجب إلا به فهو واجب
(Apa-apa yang tidak disempurnakan yang wajib melainkan dengannya maka ia menjadi wajib).
Sebagai contoh di zaman terkini yang menetapkan pasport haji dan visa, maka pasport dan visa menjadi syarat wajib yang berikutnya walaupun tidak disebut dalam nas kitab Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Beginilah betapa syariat Allah dapat menjadi hidayah di sepanjang zaman dan semua tempat.
Sistem kehakiman menjadi sebahagian daripada jalan menegakkan keadilan syariat Islam yang mewajibkan pindaan Akta 355 untuk meninggikan kedudukan Mahkamah Syariah yang dipenjarakan oleh penjajah dahulu. Mereka yang menghalangnya adalah menjadi wakil kepada penjajah terhadap umat Islam.
Orang bukan Islam tidak boleh menentang, kerana ini bukan urusan mereka. Adapun penganut Islam yang jahil adalah berdosa kerana tidak belajar. Manakala orang yang tahu tetapi menentang juga, bacalah firman Allah SWT:
﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِيۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ١٧٨﴾ [الأعراف: 175-178]
(Bacalah kepada mereka (kumpulan ahli kitab) cerita orang yang kami kurniakan kepadanya ilmu berkenaan ayat-ayat kami, tiba-tiba dia melapahkan dirinya daripada kitab itu, lalu syaitan menggoda dibelakangnya (berlagak laksana pengikut), maka jadilah dia dikalangan orang-orang yang sesat. Kalau kami kehendaki nescaya kami tinggikan kedudukannya, tetapi dia mahu kekal di dunia ini, lalu dia mengikut hawa nafsunya. Maka bandingannya seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya sama ada engkau membawa sesuatu kepadanya atau tidak. Begitulah bandingan puak yang mendustakan ayat-ayat Kami. Bacalah kepada mereka cerita-cerita (yang menjadi pengajaran) supaya mereka berfikir. Alangkah buruknya contoh mereka yang mendustakan ayat-ayat kami, sebenarnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sesiapa yang Allah memberi hidayah kepadanya nescaya dia mendapat petunjuk (ke jalan yang benar) dan sesiapa yang Allah jadikan dia sesat, maka mereka menjadi orang-orang yang rugi). (Surah al-A’araf: 175-178)
Di antara sifat yang tidak layak mendapat hidayah itu adalah takabur. Sifat inilah yang ada pada iblis yang sangat berilmu, mampu menyaksikan kebesaran Allah dan melihat syurga dan neraka. Sifat inilah yang meletakkan diri sendiri sangat bijak, seolah-olah orang lain semuanya bodoh.
Peristiwa memperjuangkan RUU 355 menempa sejarah kerana melibatkan semua kalangan umat Islam, semua wajah yang berada di medan para ulama, ahli politik, NGO, para pengamal undang-undang, ilmuan, para mahasisiwa, media, seniman, pasukan keselamatan, jentera kerajaan dan rakyat di semua lapisan. Maka yang terpisah daripadanya laksana kambing yang terpisah daripada kawanannya yang mudah menjadi mangsa serigala liar yang berkeliaran.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Jamadil Awal 1438H / 21 Februari 2017M
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej