*BARAT SEDANG LAKSANA ‘PETA BERDARAH’*
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SHAH ALAM: Kuasa Barat kini sedang merangka pecahan baharu negara-negara umat Islam yang diistilahkan dengan ‘peta berdarah’ iaitu mengorbankan darah umat Islam melalui cetusan peperangan berdasarkan semangat perkauman dan mazhab
Demikian didedahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Syarahan Perdana “Asia Barat Yang Bergolak: Di Manakah Kita?” di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini 7 Januari lalu.
Rangka itu jelasnya, adalah terbaharu setelah peta Negara-negara Arab dilakar secara pecahan oleh Barat sebagaimana ada pada hari ini yang terhasil oleh gerakan menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah Turki.
Menurutnya, Amerika telah mengapi-apikan pertembungan mazhab dengan menyatakan kesediaan menolong Sunni melawan Syiah dan memomokkan Iran akan menubuhkan Negara Syiah sebagai ancaman, sekali gus melupakan Israel.
“Ini peta yang diatur oleh mereka untuk menimbulkan krisis Asia Barat, tanpa dinafikan adanya kelemahan-kelemahan pemerintah, ada kezaliman berlaku. Kezaliman ada. Malangnya, negara Barat menentukan sikap melalui apa yang diatur Arab Spring, Ar-Rabi' Al-Arabi, Arab Spring yang mula tahun 2010 di Tunisia,” imbas beliau.
Jelas Tuan Guru, antara Negara Arab itu dibezakan mengikut negara penerima Perjanjian Madrid dan Oslo dari negara yang tidak bersetuju dengan di mana perjanjian dimeteraikan melalui tajaan oleh Amerika dan Eropah bagi mewujudkan dua negara di Palestin iaitu satu negara untuk orang Arab dan satu negara untuk orang Yahudi.
Katanya, manakala kepada negara yang menolak perjanjian tersebut dicetuskan Arab Spring supaya diwujudkan demokrasi yang kononnya untuk menentang kediktatoran kejam dalam negara berkenaan.
Hakikatnya dedah beliau, perang sanggup diletuskan demi kepentingan ekonomi Barat iaitu melibatkan sumber tenaga yang banyak seperti petroleum di Negara Arab dan Negara Teluk juga negeri-negeri Islam di Asia Tengah turut mempunyai banyak sumber tenaga meliputi uranium, petroleum dan lain-lain lagi.
“Demi menguasai kawasan sumber tenaga dan ekonomi ini, Barat bertindak menguasai laluan dunia Selat Gibraltar, Babul Mandab pintu Laut Merah, Selat Hormuz, termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kerana kawasan-kawasan itu adalah laluan ekonomi yang mesti dikuasai. Maka Barat sengaja mencetuskan dan menimbulkan kekacauan di negeri-negeri tersebut,” terangnya.
Sedang Syria katanya, diperangi kerana dijadikan pangkalan kepada Hamas, Tanzim Jihad dan kumpulan-kumpulan Palestin yakni bantuan hadapan untuk menghadapi Israel.
Oleh itu terang beliau, Barat bertindak mendanai kumpulan seperti ISIS dan Daesh dengan sumber minyak, kenderaan dan bekalan senjata bagi meneruskan kekacauan.
Maka unjurnya, perlu percaturan tersebut difahami bahawa ianya bukan masalah kaum atau mazhab yang hanya dijadikan sumbu untuk menyalakan api bagi mempraktikkan peta dilakar oleh mereka.
Pun begitu bentang Tuan Guru, disebalik perancangan musuh itu, Allah S.W.T menunjukkan perancangn-Nya apabila kerakusan Barat memakan diri akibat dari kebangkitan blok kuasa baharu iaitu Russia, Turki dan Iran.
“Namun, ada kalangan pengamat politik Islam mengatakan, Allah Taala jadikan perempuan yang mengandung sebelum melahirkan anak mengeluarkan darah, begitulah kebangkitan Islam yang menang, akan berlaku selepas ini dengan aliran darah macam perempuan mengandung yang mengalirkan darah sebelum melahirkan bayi yang segar selepas itu. Ini harapan kita,” ujarnya optimis terhadap kebangkitan Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej