Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, August 22, 2018

Hukum asal melantik kafir sebagai pemimpin

Hukum asal melantik kafir sebagai pemimpin


https://www.ismaweb.net/2018/05/04/hukum-asal-melantik-kafir-sebagai-pemimpin/


1. Berikut ialah maksud tajuk nota ini:

– Hukum asal bermaksud hukum terakhir yang telah tetap selepas sempurnanya penurunan ajaran Islam tanpa berkait dengan situasi-situasi mendatang ( عوارض ). Ia juga biasa disebut sebagai ‘Azimah’ oleh para fuqaha’, tanpa berkait dengan situasi-situasi yang menuntut ‘rukhsah’ atau hukum-hukum pengecualian.
– Perkataan melantik bermaksud pemilihan melalui proses pengundian yang memungkinkan seseorang calon itu menang lalu layak dilantik sebagai anggota dewan.
– Kafir bermaksud orang yang tidak beriman tanpa berkait sama ada ia memusuhi Islam atau pun tidak.
– Pemimpin bermaksud sesiapa sahaja yang berkuasa menggubal dasar dan peraturan negara yang boleh dikuatkuasakan ke atas rakyat jelata.
2. Berdasarkan maksud tajuk di atas, skop perbahasan nota ini dihadkan pada:
– Perbincangan di sekitar hukum asal sahaja, tanpa membincangkan hukum dalam situasi mendatang dan semasa, yang menuntut perbincangan terperinci dan teliti mengenai realiti.
– Pemimpin negara, maka ia tidak termasuk pemimpin dalam konteks penyelia di tempat kerja, ketua kelas di sekolah dan sebagainya.
3. Istilah fekah bagi perbuatan mengambil kafir sebagai pemimpin ialah موالاة , yang membawa maksud berjanji setia, berteman rapat, bertolong bantu mengalahkan musuh, berkasih sayang. Beberapa istilah yang berkaitan ialah والي yang bermaksud penguasa atau pemerintah, ولاية yang bermaksud penguasaan atau pemerintahan, dan أولياء ialah kata jamak bagi والي .
4. Ayat-ayat al-Quran yang menyentuh secara langsung tentang perbuatan موالاة orang kafir ialah seperti berikut:
– Pertama ialah Surah Ali Imran ayat 28: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat ( أولياء ) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti daripada pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”
Ibnu Asyur, dalam kitab tafsirnya التحرير والتنوير , ketika menafsirkan ayat di atas, menyenaraikan lapan situasi bagi larangan موالاة orang kafir yang mempunyai hukumnya yang berbeza-beza. Beliau menyatakan bahawa situasi yang ketiga ialah موالاة   orang kafir dalam keadaan orang kafir itu tidak terang-terangan membenci orang Islam dan tidak menyakiti mereka. Dalam hal ini, Ibnu Asyur mengatakan hukumnya tidak jatuh kufur, tetapi tetap dilarang, dengan ungkapannya, ( لَا تُوجِبُ الْكُفْرَ، إِلَّا أَنَّهُ مَنْهِيٌّ عَنْهُ ). Jelas sekali Ibnu Asyur tetap mengatakan haram موالاة orang kafir walaupun mereka tidak terang-terangan memusuhi orang Islam. Sudah tentu hukum haram itu lebih kuat jika mereka terang-terangan membenci orang Islam.
Imam al-Tabari, bapa ahli tafsir, dalam kitabnya Jamiul Bayan, mengatakan maksud ayat ini sebagai “janganlah kamu, wahai orang-orang beriman, mengambil orang-orang kafir itu penolong dan pembantu (أولياء), yang kamu beri wala’ kepada mereka atas agama mereka, dan kamu menangkan mereka ke atas kaum muslimin dengan membelakangkan orang-orang beriman, dan kamu mendedahkan kepada mereka rahsia orang-orang Islam”.
– Kedua ialah Surah an-Nisa’ ayat 144: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat (أولياء ) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”
Ibnu Asyur, dalam kitab tafsirnya التحرير والتنوير , ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan, “dan ini adalah ayat yang menghimpunkan amaran tentang perbuatan موالاة orang-orang kafir dan munafik, juga sebagai amaran daripada terjatuh ke dalam perbuatan nifaq, kerana orang-orang munafik itu berpura-pura beriman sedangkan mereka melakukan موالاة   orang-orang kafir. Ayat ini adalah satu amaran agar tidak mengambil simbol nifaq (موالاة   orang-orang kafir ). Satu amaran agar tidak موالاة   orang-orang munafiq kerana mereka (orang-orang munafik) itu adalah teman rapat orang-orang kafir. Ayat ini adalah satu pengisytiharan akan kemunafikan orang-orang munafik, juga satu rakaman hujah ke atas mereka agar mereka tidak berkata nanti bahawa kami tidak tahu bahawa Allah Taala tidak suka perbuatan موالاة orang-orang kafir.
Imam al-Tabari menyatakan, “ini adalah larangan daripada Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak berakhlak dengan akhlak orang-orang munafik yang mengambil orang-orang kafir sebagai teman rapat ( أولياء ) dengan membelakangkan orang-orang beriman.
– Ketiga ialah Surah Ali Imran ayat 118: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” ( بطانة ) (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.”
Imam al-Tabari menyatakan, dalam menafsirkan ayat di atas, “janganlah kamu mengambil sebagai teman rapat ( أولياء ), orang-orang selain daripada seagama denganmu, iaitu selain orang-orang beriman. Hanyasanya Allah menggunakan perkataan بطانة sebagai perumpamaan bagi sesuatu yang menyelimuti perut seseorang, dari sudut mengetahui rahsia-rahsianya”.
Ibnu Asyur pula menafsirkan بطانة itu sebagai baju dalam. Ini membayangkan hubungan intim dan rapat begitu sekali.
– Keempat ialah Surah al-Maidah ayat 51: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat ( أولياء ), kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya ( أولياء  ), maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”
Imam al-Qurtubi, dalam tafsirnya, menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan hukum memutuskan موالاة orang-orang Yahudi dan Nasrani secara syarak dan ia kekal hingga ke hari kiamat.
4. Jelas sekali, secara mantuq, terdapat perkataan larangan dalam keempat-empat ayat di atas. Hukum asal bagi setiap larangan ialah haram. Ini adalah pendapat jumhur ulama. Imam Syafie menyatakan perkara ini dengan begitu jelas dalam kitab al-Umm, bahawa setiap yang Allah larang itu menunjukkan haram, sehingga datang dalil yang menunjukkan bahawa Allah menghendaki selain haram.
5. Menurut Dr Wahbah Zuhaili, dalam kitabnya Usul Fiqh Islami, bahawa pendapat yang masyhur daripada mazhab-mazhab ulama, seperti al-Amidi, as-Syafie, Ibnul Hajib dan al-Qarafi, bahawa setiap larangan yang menunjukkan hukum haram itu menuntut pemberhentian daripada perbuatan haram tersebut secara serta merta dan berterusan.
6. Selain empat ayat di atas, terdapat banyak lagi ayat-ayat yang membawa maksud larangan terhadap perbuatan موالاة orang kafir, secara mafhum. Ayat-ayat itu seperti berikut, sebagai contoh:
– Surah al-Maidah ayat 80 dan 81: “Engkau melihat banyak daripada kalangan mereka menjadikan orang-orang kafir teman rapat ( أولياء ) mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka). Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang kafir itu sebagai teman rapat ( أولياء  ), akan tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang fasik.”
– Surah al-Taubah ayat 71: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi auliyak bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
– Surah al-Mujadilah ayat 22: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah golongan Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang yang berjaya.”
– Surah an-Nisa’ ayat 138-139: “Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya).”
– Surah al-Mumtahanah ayat 1: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.”
– Surah al-Anfal ayat 73: “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi auliyak (penyokong dan pembela) bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak melakukan (perkara yang sama iaitu saling menjadi auliyak sesama kamu) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
– Surah al-Maidah ayat 55 dan 56: “Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang.”
7. Menurut az-Zinjani, dalam kitabnya تخريج الفروع على الأصول , Mazhab Syafie menjadikan situasi tergabungnya banyak dalil bagi sesuatu hukum itu sebagai pentarjih ke atas dalil yang bertentangan. Jelas sekali, dengan tergabungnya sekian banyak dalil, daripada nas al-Quran, maka pengharaman موالاة orang kafir sebagai pemimpin adalah hukum yang kuat dan rajih, jikalau ada di sana sebarang dalil yang bertentangan.
8. Jumhur para ulama bersepakat atas kaedah yang bermaksud, “Pengajaran itu berdasarkan lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus”, terutama sekali apabila tiada sebarang dalil yang bertentangan. Ini disebut dengan jelas oleh as-Subki, rahimahullah, dalam kitabnya الأشباه والنظائر , “Apabila kamu sudah mengetahui bahawa yang lebih rajih di sisi kami ialah mengiktiraf pengajaran daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus, maka kami tidak beriktikad yang umum itu bagi semua yang datang dan terbit, sebaliknya kami hanya mengumumkan apabila tiada (dalil) penentang”. Jelas sekali dalil-dalil pengharaman perbuatan melantik kafir sebagai pemimpin ini tidak mempunyai dalil penentang (yang bertentangan) yang setara, sehingga perlu dikhususkan dalil-dalil itu dengan sebab yang khusus seperti Sebab Nuzul yang dibawakan oleh pihak yang mengatakan hukum asal perbuatan موالاة orang kafir sebagai pemimpin itu harus.
9. as-Subki juga menambah, bahawa lafaz yang umum tidak dikhususkan dengan hanya sekadar adanya Sebab Nuzul yang khusus ke atas lafaz yang umum itu, malah ia memerlukan penelitian yang lebih lanjut dari sudut tema kontekstual ayat itu serta bukti-bukti lain ( السياق والقرائن ) yang mampu menjelaskan kehendak Allah Taala daripada ayat itu.
10. Surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”, tidak boleh menjadi dalil yang bertentangan dengan dalil-dalil di atas, kerana ia menyentuh perbuatan berbuat baik dan berlaku adil atau disebut sebagai مبرة , bukan persoalan موالاة . Konteksnya amat berbeza.
11. Dari sudut Sunnah pula, menurut Dr Abdul Karim Zaidan, dalam kitabnya أحكام الذميين والمستأمنين في دار الإسلام , Imam al-Kasani menyebut dalam kitabnya بدائع الصنائع , sebuah hadith yang bermaksud, “Apabila mereka menerima akad zimmah, maka beritahulah mereka bahawa bagi mereka apa yang diperoleh orang Islam dan ke atas mereka apa yang ditanggung oleh orang Islam”.
12. Bagaimanapun, Dr Abdul Karim Zaidan tidak melihat jawatan sebagai pemimpin yang menentukan dasar dan peraturan negara itu sebagai hak bagi rakyat beragama Islam, lebih-lebih lagilah rakyat yang tidak beragama Islam. Jawatan pemimpin adalah pertanggungjawaban, bukan hak. Maka penggunaan hadith ini sebagai dalil menunjukkan hak sama rata kafir untuk menjawat jawatan pemimpin tidak terpakai.
13. Selain itu, Rasulullah S.A.W. tidak pernah mengangkat seorang kafir sebagai pemimpin ke atas para sahabat, dalam konteks kepimpinan yang menentukan dasar dan peraturan ke atas para sahabat. Adapun bantuan yang diperoleh Rasulullah S.A.W. menerusi beberapa individu kafir dalam beberapa peristiwa seperti kemasukan Baginda ke Mekah dari Taif dengan perlindungan Mut’im bin Adiy, bantuan Abdullah bin Uraiqit semasa peristiwa hijrah dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan sebagai pemimpin yang dibincangkan dalam skop perbahasan nota ini.
14. Ibnu Kathir membawakan satu riwayat, dalam kitab tafsirnya ketika menafsirkan Surah Ali Imran ayat 118, bahawa dikatakan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, bahawa di sini ada seorang budak daripada penduduk Hirah (bukan Islam), dia kuat hafazan dan pandai menulis, apakah kalau kamu mengambilnya sebagai penulis (urusan pentadbiran Khilafah). Maka berkatalah Umar, “Jika begitu bermakna aku mengambil بطانة (orang dalam) selain mukminin”. Maksudnya Umar menafsirkan perbuatan mengambil budak kafir sebagai penulis sebagai melanggar larangan Allah Taala dalam ayat 118 Surah Ali Imran, maka sudah tentu mengambil mereka sebagai pemimpin lagilah ditolak Umar.
15. Dr Surahman Hidayat dalam tesis kedoktorannya yang bertajuk التعايش السلمي بين المسلمين وغيرهم داخل دولة واحدة ( Kehidupan Bersama Di Antara Muslimin dan Selain Mereka Dalam Satu Negara) menegaskan, “Sebagaimana telah tetap prinsip kesamarataan dalam kalangan warganegara ( المواطنين ) dalam kerangka undang-undang menurut hadith “… bagi mereka apa yang diperoleh muslimin, dan ke atas mereka apa yang dipertanggungjawab ke atas muslimin”, begitulah juga telah tetap prinsip bahawa pemerintahan ( الولاية ) dan keketuaan ( الإمرة ) adalah milik khusus orang Islam menurut nas-nas al-Quran..”. Beliau lalu membawakan ayat 59 Surah an-Nisa’, ayat 28 Surah Ali Imran, ayat 141 Surah an-Nisa’. Menurut beliau lagi bahawa jawatan kepimpinan negara adalah jawatan keagamaan, untuk menjaga agama dan mentadbir dunia. Penyerahan jawatan kepimpinan negara kepada orang bukan Islam bermakna pemberian kekuasaan kepada bukan Islam ke atas orang Islam dan pemberian kepimpinan hala tuju politik Islam kepada mereka yang tidak beriman dengannya, yang nescaya akan memudaratkan akidah negara dan maslahat rakyat akibat daripada penalaan yang tidak menepati ideologi negara.
16. Kesimpulan daripada perbahasan di atas ialah hukum asal melantik orang kafir sebagai pemimpin adalah haram, kecuali dalam keadaan tertentu dengan ‘dhawabit’ tertentu. Bukan sebaliknya iaitu harus, kecuali dalam keadaan tertentu dengan syarat tertentu.
17. Berdasarkan situasi-situasi tertentu, menurut ‘dhawabit’ tertentu, hukum haram ini tidak dinafikan boleh berubah kepada harus. Bagaimanapun, perubahan itu tidak berlaku secara mudah-mudah. Terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian.
– Di dalam kitab al-Furuq, al-Imam al-Qarafi menyatakan bahawa syariat lebih berhati-hati ( الإحتياط ) dalam konteks perubahan hukum daripada pengharaman kepada pengharusan, mengatasi hati-hati dalam konteks perubahan hukum daripada pengharusan kepada pengharaman. Berdasarkan kaedah ini, adalah suatu yang janggal untuk merubah hukum pengharaman perbuatan melantik kafir sebagai pemimpin, yang sabit dengan banyak nas (dalil), kepada hukum pengharusan tanpa dalil yang bertentangan yang setara dengan dalil pengharaman, atau tanpa ‘dhawabit’ yang jelas.
– Salah satu alasan yang digunakan untuk mengharuskan pelantikan pemimpin kafir ialah mengatakan bahawa wakil rakyat tidak berfungsi sebagai pemimpin atau ‘wilayah ammah’, kerana mereka hanya mewakili kawasan Parlimen mereka sahaja, bukan keseluruhan rakyat. Alasan ini sebenarnya tidak tepat. Menurut laman sesawang Parlimen Malaysia, Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Selain itu, wakil rakyat bukan sahaja mewakili rakyat dalam kawasan Parlimennya, malah mewakili partinya. Maka persoalan dasar dan hala tuju parti tersebut juga perlu diambil kira dalam menentukan fungsi dan kuasa yang dimainkan oleh setiap wakil rakyat. Noktah yang paling penting ialah anggota Parlimen mempunyai kuasa secara kolektif dalam memilih seorang Perdana Menteri yang merupakan ‘Wilayah Ammah’ yang disyaratkan beragama Islam.
– Persoalan dominasi suara dalam Parlimen juga perlu diambil kira. Dari sudut realiti, suara wakil rakyat Islam di Parlimen sudah pun terbukti terpecah ke dalam beberapa buah parti yang gagal untuk bersepakat dalam perkara-perkara menyentuh kedaulatan dan kesucian agama Islam. Oleh itu, hukum melantik wakil rakyat kafir perlu mengambil kira dominasi suara mereka yang sudah terbukti mampu bersepakat merentas parti, seperti dalam isu Kalimah Allah dan pindaan penambahbaikan Undang-undang Syariah. Persoalan dominasi dalam Siyasah Syariyah disebut oleh para ulama dengan beberapa istilah seperti Syaukah, Sultan Qohir, Asobiyah Gholibah dan sebagainya. Perkara ini termasuk dalam skop melihat implikasi fatwa ( النظر إلى المآلات ).
– Persoalan seterusnya ialah hal keadaan mustafti (orang yang meminta fatwa), iaitu tahap komitmen umat Islam dengan agamanya. Dalam keadaan terdapat sesetengah pendukung politik kepartian yang begitu ghairah mempromosikan calon kafir yang terkenal dengan agenda sekular, liberal, LGBT, menentang Undang-undang Syariah dan seumpamanya, tindakan meninggalkan hukum asal pengharaman akan membuka pintu ke arah ( الذرائع ) kemudaratan yang lebih besar ke atas kedudukan agama Islam di negara ini.
18. Sebagai penutup, Syeikh Asyraf Abdul Mun’im dalam artikelnya bertajuk مبادئ في السياسة الشرعية menegaskan, “Walaupun macam mana sekalipun hukum dharurat, sesungguhnya hukum asal hendaklah tidak diabaikan selama-lamanya”. Ini terbukti apabila hukum dharurat itu sendiri mempunyai kaedah yang amat menjaga paksi hukum asal kekal mempunyai pengaruh dan kekal sebagai paksi. Sebagai contoh walaupun jarak antara haram memakan bangkai dan wajib memakannya begitu jauh, kaedah menetapkan tidak dimakan bangkai itu kecuali sekadarnya, sebagai menjaga hukum asal sebagai paksi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej