Iktibar untuk di fikirkan.
zaman dulu pun sudah ada fitnah memfitnah .... apatah lagi zaman fitnah ini ?
***
Peritnya berjuang di jalan Allah...
Fitnah di Naysabur
Apabila Imam al-Bukhari berada di Naysabur, salah seorang daripada gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhli menyeru warga Naysabur agar menuntut ilmu dengan Imam al-Bukhari. Maka ramailah yang menghadiri majlis – majlis ilmu Imam al-Bukhari sehingga lengang pula majlis ilmu Muhammad Yahya al-Zuhli. Ini membuatkan dia berasa iri hati dengan Imam al-Bukhari sehingga mendakwa dia menerima sepucuk surat dari Baghdad mengkhabarkan bahawa Imam al-Bukhari telah terlibat dengan kes lafaz al-Qur’an itu makhluk dan sedang diperkatakan mengenainya. Oleh itu, dia menyeru orang ramai supaya mereka menjauhi beliau dan agar tidak menyertai majlis – majlisnya seperti yang difatwakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Seorang lelaki yang termakan hasutan al-Zuhli bertanyakan Imam al-Bukhari tentang masalah itu di satu majlis ilmunya: “Wahai Abu Abdullah, apa pendapatmu tentang lafaz al-Qur’an, adakah ia makhluk? Atau bukan makhluk?”
Beliau pada mulanya enggan mengulas lanjut dan tidak berminat untuk menjawab soalan beracun tersebut. Namun, lelaki berkenaan terus bertanya sehingga kali yang ketiga kemudian Imam al-Bukhari berpaling kepadanya lalu menjawab:
"اَلْقُرْآنُ كَلاَمُ اللهِ غَيْرُ مَخْلُوْقٍ وَأَفْعَالُ الْعِبَادُ مَخْلُوْقَةٌ وَالاِمْتِحَانُ بِدْعَةٌ."
Maksudnya: “Al-Qur’an itu Kalam Allah bukan makhluk, perbuatan – perbuatan para
hamba-Nya adalah makhluk dan ujian mengenainya adalah suatu bid’ah .”
Lelaki itu mula memprotes pendapat Imam al-Bukhari dan melaungkan kepada hadirin: “Dia mengatakan lafaznya membaca al-Qur’an itu makhluk!” Lalu para hadirin turut merusuh dan melaung – laungkan kepadanya: “Tarik balik kata – katamu itu supaya kami boleh kembali menghadiri majlis – majlis ilmumu!”
Imam al-Bukhari tetap dengan pendiriannya: “Aku tidak sekali – kali akan berbuat demikian melainkan engkau membawa kepadaku hujah yang lebih kuat daripada hujah yang aku pegang sekarang ini!”
Beliau berhujah dengan satu nas dari hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman:
{إنَّ اللهَ يَصْنَعُ كُلَّ صَانِعٍ وَصُنْعَتِه}
Maksudnya: Sesungguhnya Allahlah yang menjadikan
setiap pembuatdan apa yang diperbuatnya.
Beliau menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan perbuatan – perbuatan para hamba-Nya ialah pergerakan, suara, usaha, dan penulisan mereka adalah makhluk. Manakala, al-Qur’an yang dibacakan seperti yang disahkan di dalam mushaf atau tersimpan di dada para penghafal al-Qur’an pula adalah Kalam Allah, bukan makhluk sambil membacakan sepotong ayat 49, dari Surah al-Ankabut:
Maksudnya: (Al-Quran itu datangnya dari Allah – tanpa syak) bahkan ia adalah ayat-ayat (keterangan) yang jelas lagi nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu.
(Al-Ankabut: 49)
...Lantaran itu mereka semua meninggalkan Imam al-Bukhari kecuali dua orang muridnya sahaja tinggal setia bersamanya iaitu Muslim bin Hajjaj dan Ahmad bin Salmah.
Mereka ini juga menghadiri majlis al-Zuhli pada waktu yang sama sehingga pada satu ketika, al-Zuhli menyindir: “Sesiapa yang terlibat dengan kes lafaz tidak halal menyertai majlis kami.” Muslim pun mengambil jubah luarannya yang berada di atas serban, terus berdiri dan berjalan keluar dari majlis itu di tengah – tengah khalayak ramai. Beliau kemudiannya mengutuskan satu tunggangan kepada al-Zuhli penuh dengan segala apa yang pernah ditulis daripada al-Zuhli.
Belaan dan sokongan itu bukan dari kecenderungan peribadi, tetapi mereka tahu kebenarannya. Ulama – ulama Salaf al-Soleh sebelum mereka juga berpegang pada dasar akidah yang sama. Dan qias Imam al-Bukhari menyatakan hal seumpama itu apabila dibuat ujian begitu bid’ah hukumnya; adalah berdasarkan kenyataan Imam Malik, seorang imam besar yang mu’tabar dan diterima ramai kewibawaaannya ketika ditanya tentang istiwa’ atau bagaimana Allah bersemayam di atas ‘Arasy-Nya:
"اَلاِسْتِوَاءُ مَعْلُوْمٌ وَالْكَيْفُ مَجْهُوْلٌ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ."
Maksudnya: Bersemayamnya Allah itu sedia maklum, bagaimana tidaklah diketahui, dan mempersoalkannya adalah satu bid’ah.
Walaubagaimanapun, bertitik – tolak dari peristiwa itulah Imam al-Bukhari sentiasa dicerca, dihina, dicaci, dimaki, dikeji dan dicela dengan pelbagai tohmahan yang berat. Pernah sekumpulan masyarakat membacakan kepadanya ayat al-Qur’an dari Surah al-Nisaa’, surah keempat, ayat 76:
Maksudnya: “...Sesungguhnya tipu muslihat dan helah syaitan itu sangatlah lemah.”
(Al-Nisa’: 76)
...seolah – olah melabelkannya sebagai ‘wali syaitan’ dan pada masa yang sama mengkafirkannya seperti yang terdapat pada kandungan potongan ayat sebelum ayat di atas:
Maksudnya: Orang – orang yang beriman berperang pada Jalan Allah. Manakala orang – orang yang kafir pula berperang pada Jalan Taghut (berhala atau apa – apa yang disembah selain Allah – secara langsung mensyirikkan Allah). Maka perangilah wali – wali syaitan. Sesungguhnya tipu muslihat dan helah syaitan itu sangatlah lemah.”
(Al-Nisa’: 76)
Manakala sebahagian lain masyarakat membacakan kepadanya ayat al-Qur’an dari Surah al-Fatir, surah ke-35, ayat 43:
Maksudnya: “Walhal rencana jahat itu tidak akan menimpa melainkan ke atas orang yang merancangnya.”
(Fatir: 43)
…Mereka seolah – olah menyindir pedas Imam al-Bukhari dek ketegasannya berpegang kepada pendiriannya yang didakwa bertentangan dengan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal mengenai isu itu oleh al-Zuhli.
Hal ini jelas apabila kita merujuk kepada keseluruhan ayat berkenaan ayat di atas:
Maksudnya:
43. Sambil menunjukkan sikap gah dan angkuh di muka bumi dan berusaha merancang rencana – rencana jahat (terhadap Rasul itu), walhal segala rencana jahat itu itu tidak akan menimpa melainkan ke atas orang yang merancangnya. Oleh yang demikian tiadalah yang mereka tunggu melainkan kebinasaan mereka sendiri seperti resam yang terjadi kepada orang – orang kafir yang terdahulu kerana engkau akan mendapati tiada pertukaran berlaku terhadap "Sunnatullah" (undang-undang alam yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.), dan engkau akan mendapati tiada perubahan berlaku sepanjang pelaksanaan "Sunnatullah" itu.
44. (dan sebagai buktinya): tidakkah mereka mengembara di sekitar bumi? Jika mereka berbuat demikian, mereka akan menyaksikan (kesan – kesan sejarah) bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka, sedangkan mereka yang terdahulu itu jauh lebih kuat daripada mereka (sekarang ini)? Justeru, jelaslah bahawa kekuasaan Allah tidak akan dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; Sesungguhnya Dia adalah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.
45. Dan jikalaulah Allah bersikap keras membalas setiap kesalahan manusia dengan segera mengazab mereka disebabkan oleh perbuatan – perbuatan jahat yang telah mereka lakukan, tentulah tiada satu makhluk pun berbaki tinggal bergerak di muka bumi; akan tetapi Dia Menangguhkannya kepada satu tempoh tertentu kerana Sesungguhnya Allah sentiasa Maha Memerhati keadaan semua hamba-hambaNya.
(Fatir: 43-45)
Sebahagian sahabat – sahabat Imam al-Bukhari yang mengetahui kebenaran adalah di pihaknya amat berang dengan reaksi masyarakat terhadap Imam al-Bukhari. Mereka arif bahawa doa Imam al-bukhari sangat mustajab oleh itu berkata kepadanya:
“Kenapa tidak engkau mendoakan sahaja agar Allah memberi balasan setimpal terhadap orang yang menganiayai, memfitnah dan membuat tohmahan – tohmahan keji terhadapmu?”
Beliau hanya menjawab dengan membacakan mereka hadis – hadis ini:
{اصْبِرُوْا حَتَّى تَلَقَّوْنِي عَلَى الحَوْضِ}
Maksudnya: “Bersabarlah kamu sehingga kamu bertemu denganku (Nabi Muhammad s.a.w.) di Kolam Airku.” - Hadis riwayat al-Bukhari.
{مَنْ دَعَا عَلَى ظَالِمِهِ فَقَدْ اِنْتَصَرَ}
Maksudnya: “Sesiapa yang mendoakan orang yang telah menganiayainya maka dia
telah mendapat kemenangan.”
- Hadis riwayat Al-Tirmizi.
Sahabat – sahabat beliau tidak berpuas hati dengan tindakan beliau yang membiarkan sahaja ia berlaku. Mereka memprotes: “Tetapi mereka itu sudah melampau sehingga sanggup mengkafirkanmu, wahai al-Bukhari!”
Sekali lagi beliau hanya menjawab dengan sepotong hadis:
{إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لِأَخِيْهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ أَحَدُهُمَا}
Maksudnya: “Apabila seorang lelaki berkata kepada saudara se-islamnya: “Wahai Si Kafir!”, maka gelaran itu kembali kepada orang yang menggelarkannya (jika saudaranya itu nyata Muslim).” – Hadis riwayat Imam Malik.
Seorang lagi yang juga datang menemui Imam al-Bukhari bertanyakan hal yang sama ialah Abu ‘Amr al-Khaffaf. Beliau berbincang dan berbahas dengan beliau tentang pendapatnya tentang isu semasa yang sangat sensitif itu. Namun dia berlapang dada dengan timbal balik dari Imam al-Bukhari. Dia hairan kerana beliau tidak berpendapat seperti yang dikhabarkan oleh seseorang bahawa Imam al-Bukhari terlibat dengan kes lafziyyah.
Imam al-Bukhari menegaskan kepadanya: Wahai Abu ‘Amr, ingatlah apa yang ingin aku beritahu kepadamu ini terhadap dakwaan orang – orang dari Naysabur, Qumis, Rayy, Hamadzan, Helwan, Baghdad, Kufah, Madinah, Mekah dan Basrah yang ada mengatakan bahawa aku telah berkata: “Lafazku membaca al-Qur’an ini adalah makhluk, maka dia adalah penipu! Bahawa sesungguhnya aku tidak pernah sekali – kali berkata demikian!”
Beliau kemudiannya menyambung:
"إِلاَّ وَإِنِّي قُلْتُ أَفْعَالُ الْعِبَادِ مَخْلُوْقَةٌ"
Maksudnya: “Kecuali aku ada berkata: Sesungguhnya perbuatan – perbuatan para hamba-Nya itu makhluk (atau dicipta oleh Allah S.W.T.).”
Kata – kata inilah yang dipetik dan diputarbelitkan oleh musuhnya sehingga sanggup memfitnah anak muridnya sendiri bahkan menyebarkan tohmahan ini dengan menghantar surat ke serata pelusuk tempat memburuk – burukkan nama Imam al-Bukhari sehingga dipulaukan dan dibuang negeri. Hal ini dilaporkan oleh al-Hasan bin Muhammad bin Jabir: “Semasa Imam al-Bukhari tiba di Naisabur, al-Zuhli berkata kepada kami: “Pergilah kepada lelaki soleh itu dan dengarlah darinya mutiara – mutiara ilmu berharga.” Maka orang ramai mula menghadiri majlis – majlis ilmu Imam al-Bukhari. Sehingga sampai satu peringkat, ia menjejaskan bilangan hadirin ke majlisnya sendiri. Oleh yang demikian, dia mula berasa iri hati lalu mengkritik peribadi Imam al-Bukhari sebagai ahli Hadis.”
Oleh sebab itulah, Imam al-Bukhari enggan terlibat dengan perbincangan seumpama itu kerana ia boleh membuka pintu kepada fitnah kerana ilmu kalam bukan seperti ilmu lain, hanya segelintir sahaja yang mampu benar – benar menguasainya untuk memahami genre bahasa yang digunakan dalam ilmu itu secara tepat seperti yang dimaksudkan dan ia tidak selari dengan bahasa percakapan biasa. Orang yang jahil dengan mudah dapat diperdaya dengan gaya bahasa ilmu kalam yang boleh mengelirukan minda.
Selain Abu ‘Amr, hal yang sama dinafikan oleh Imam al-Bukhari kepada Muhammad bin Nasr al-Mirwizi dengan berkata:
"مَنْ زَعَمَ أَنِّي قُلْتُ لَفْظِيْ بِالْقُرْآنِ مَخْلُوْقٌ فَهُوَ كَذَّابٌ، فَإِنِّي لَمْ أَقُلْهُ."
Maksudnya: “Sesiapa yang mendakwa aku ada berkata bahawa ‘lafazku membaca al-Qur’an itu makhluk’, maka dia adalah penipu besar! Maka bahawa sesungguhnya, aku sekali – kali tidak pernah berkata demikian.”
Malahan al-Subki juga ada mengesahkan ketidaksahihan dakwaaan yang ditohmahkan kepada Imam al-Bukhari dengan komennya: “Bagaimana mereka boleh menyangka Imam al-Bukhari menyokong puak al-Mu’tazilah? Terdapat riwayat yang sahih daripada beliau yang diriwayatkan oleh al-Ferberi dan selainnya bahawa beliau pernah berkata: “Saya mengira seseorang itu jahil sekiranya dia tidak menghukumkan seorang jahmiy itu kafir.”
Beliau juga ada ditanya mengenai pendapatnya tentang iman setelah tersebar fitnah tersebut di kalangan orang ramai. Beliau dengan yakin dan tegas berkata: “Iman itu dengan perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang, manakala al-Qur’an itu Kalam Allah bukan makhluk, dan sahabat – sahabat Nabi yang paling utama ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan Ali. Atas keimanan inilah aku hidup dan aku mati sehinggalah aku dibangkitkan kelak, Insha Allah Ta’ala.” Fitnah ini juga telah membuatkan beliau disenaraihitamkan di kalangan sebahagian ahli Hadis yang sezaman dengannya.
Selain al-Subki, Abu ‘Amr Ahmad bin Nasr al-Khaffaf juga ada berkata: “Sesiapa yang mengata – ngata Imam al-Bukhari pada sesuatu, maka ke atasnya seribu (1000) laknat dariku!”
Imam Muslim bin al-Hajjaj juga membela mahagurunya dengan berkata: “Tiada orang yang akan berasa marah kepadamu kecuali seorang yang dengki, aku bersaksi bahawasanya tiada seorang pun sepertimu di dunia ini.”
Diriwayatkan juga beliau sentiasa membaca ayat 160 dari Surah Ali ‘Imran secara berulang kali pada waktu malam sepanjang ditimpa musibah berat ini:
Maksudnya: Jikalau Allah (menentukan untuk) menolong kamu (mencapai kemenangan) nescaya tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu sentiasa bertawakkal.
(Ali Imran: 160)
Seorang muridnya, Ahmad bin Salmah berkata bahawa dia ada berjumpa dengan al-Bukhari bertanyakan pendapat al-Bukhari tentang seorang lelaki yang sebelum ini diterima baik di Khurasan lebih – lebih lagi di Naysabur tetapi setelah fitnah ini berlarutan sukar bagi mereka ingin berkata sesuatu tentangnya. Imam al-Bukhari menarik janggutnya lalu membaca sepotong ayat al-Qur’an dari Ghafir, ayat 44:
Maksudnya: “...dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); Sesungguhnya Allah Maha memerhatikan keadaan hamba-hambaNya".
(Ghafir: 44)
Kemudian Imam al-Bukhari berkata kepadanya:
“Demi Allah engkau sangat mengetahui bahawa aku tidak pernah mengimpikan pangkat kebesaran atau kemasyhuran dengan hasrat untuk bersenang – senang atau menunjuk – nunjukkan keangkuhan dan bukan juga untuk memegang tahta di Naysabur. Cuma diriku enggan pulang ke tanah airku bagi mengelakkan ditindas oleh orang –orang yang berselisih pendapat denganku. Manakala orang lelaki ini pula (Muhammad bin Yahya al-Zuhli) mempunyai niat buruk dari perasaan hasadnya yang membuak terhadap apa yang Allah kurniakan kepadaku – tiada alasan selainnya. Baiklah, esok aku akan keluar untuk menyelesaikan perkara ini.”
Walaupun Ahmad bin Salmah telah memberitahu sekumpulan sahabatnya mengenai hajat Imam al-Bukhari berhijrah keluar dari Naysabur, namun, apabila tiba masanya, hanya dia seorang sahaja bersama Imam al-Bukhari beredar keluar dari negeri itu. Menurutnya, mereka terpaksa berhenti di pintu kota selama tiga (3) hari sebelum perkara itu dapat diselesaikan.
Begitulah ketegasan Imam al-Bukhari terhadap kebenaran. Pernah Ahmad bin Sayyar, seorang daripada sahabatnya mencadangkan supaya beliau menarik balik kenyataan beliau dan menyembunyikan kebenaran sementara berada di bawah pemerintah yang menitahkan semua ulama menerima idelogi al-Muktazilah. Beliau tetap dengan pendiriannya lalu berkata:
“Aku gerunkan neraka untuk aku menjawab sesuatu soalan dengan satu jawapan yang berbeza dengan hakikat kebenaran yang aku telah ketahui.”
Jawapan itu membuatkan Ahmad bin Sayyar beredar meninggalkannya dengan rasa kecewa. Begitulah reaksi kebanyakan ulama ketika itu yang dalam ketakutan kerana hukuman utama bagi penentang pendapat sultan kerajaan Abbasiyyah adalah hukum bunuh mandatori.
Menurut Abdul Rahman bin Abu Hatim al-Razi, Imam al-Bukhari telah mengunjungi al-Rayy pada 250H setelah meninggalkan Naysabur. Bapanya telah berguru dengannya bersama Abu Zur’ah. Mereka kemudiannya telah membatalkan pengajian dengan Imam al-Bukhari setelah kedua – duanya mendapat sepucuk surat daripada Muhammad bin Yahya al-Zuhli yang memaklumkan tentang isu al-Qur’an makhluk yang terjadi di Naysabur.
http://drfikrah.blogspot.com/2009/04/sekiranya-kita-perit-ketika-berjuang.html
https://www.facebook.com/ayob.hussin/posts/10204546543844210
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej