Kadang-kadang kita berfikir jika Allah Taala memberi segala-galanya yang kita mahu di dunia ini, adakah Dia akan memberi kepada kita juga di akhirat nanti? Terbit rasa takut dan risau jika membaca ayat Al-Quran yang sungguh menyentap hati:
“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): “Kamu telah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya.” (Surah Al-Ahqaf ayat: 20)
Alangkah ruginya memiliki segala-gala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama enam puluh tahun sahaja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja. Hidup sebagai orang kaya mempunyai risiko menjadi lalai begitu pula hidup miskin lagi merbahaya kerana manusia boleh jadi lebih dekat kepada kekufuran. Bagi mereka orang-orang miskin jangan menyesal telah dilahirkan ke dunia, kerana di situlah medan pergulatan antara nasib baik dan buruk. Kita hanya disuruh memenangi perlawanan ini dengan senjata iman. Rsulullah pernah bersabda: SEsungguhnya kekayaan yang sebenar itu ialah kaya hati.
Bermimpilah untuk memilih rumah-rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah salah seorang kamu mengambil wudhu kemudian memperbaiki wudhunya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga’. (HAdis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Albani) Diwajibkan masuk syurga sebagaimana lafaz daripada Imam Muslim.
Bagi mereka yang miskin atau kaya, yang masih bernafsu untuk menaklukkan dunia mencapai kemuncak kenikmatan yang fana ini, sampai bilakah jerih payah dan pengorbanan dapat memuaskan diri? Jika suruhan dan perintah Allah Taala yang Maha Kaya tidak dipenuhi? Suatu ketika di negeri akhirat nanti, Allah Taala akan menyelamatkan seorang penghuni neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Dia merangkak-rangkak menghampiri syurga Allah dan dialah orang terakhir memasukinya. Kemudian Allah Taala yang Maha Kaya berfirman: “Pergilah dan masuklah ke syurga, untukmu yang sebanding dengan dunia dan sepuluh kali gandanya.” Yang demikian itu dikatakan serendah-rendah kedudukan ahli syurga. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej