Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, June 21, 2015

SEKIRANYA KITA PERIT KETIKA BERJUANG, MUSUH ALLAH ITU LEBIH PERIT

SEKIRANYA KITA PERIT KETIKA BERJUANG, MUSUH ALLAH ITU LEBIH PERIT

Perjuangan menegakkan agama Allah adalah satu perjuangan yang sukar dan penuh dengan cabaran. Sekiranya kita inginkan keredhaan Allah, masakan ia begitu mudah. Barangan yang mahal tidak dijual di tepi jalan dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia sukar untuk didapati dan harganya terlalu mahal. .

Allah telah memberitahu bahawa perjuangan orang Islam menghadapi musuh-musuh Allah adalah satu perjuangan yang tinggi nilainya di sisi Allah. Mana mungkin Allah membiarkan pejuang-pejuangNya menjadi mangsa musuh-musuhNya. Oleh itu Allah SWT telah mengingatkan kepada kita selaku pejuang Allah bahawa segala keperitan itu, turut dirasai oleh musuh-musuh Allah ketika berperang dengan kamu! .

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati), maka mereka (musuh) pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan… (Surah an Nisa : 104) Orang Islam berjuang menegakkan agama Allah, manakala orang kafir berjuang menentang agama Allah.

Inilah perbezaan perjuangan kita dengan perjuangan musuh-musuh Allah. Kita mengadu kepada Allah bahawa kesakitan di dalam perjuangan ini sangat perit, tetapi, kamu jangan bimbang, musuh-musuh Allah itu juga turut sakit menderita sepertimana kamu. Cuma bezanya, penderitaan orang Islam adalah mengharapkan keredhaan Allah, manakala penderitaan musuh-musuh Allah mengharapkan kebencian Allah. Siapakah yang beruntung? Maka, kita selaku pejuang Allah janganlah kita merasa lemah semangat apabila diserang oleh pihak musuh. Ini kerana mereka juga sudah menderita untuk meneruskan serangan tersebut.

 Lihatlah ketika zaman Nabi SAW. Orang-orang Musyrikin berjuang bermati-matian untuk menjaga kepentingan peribadi. Mereka sanggup berperang dengan Nabi Allah SAW, untuk menghapuskan pengaruh Nabi Muhammad SAW. Mereka bencikan Nabi Muhammad SAW, kerana Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bercanggah dengan keinginan mereka. Islam melarang amalan rasuah, judi, arak dan sebagainya. Sedangkan mereka merasakan inilah sumber kewangan poket mereka. Oleh itu, mereka sanggup berjuang bermati-matian untuk mendapat keuntungan haram ini. Mereka sanggup berjaga malam untuk merancang membalas serangan kepada Islam.

 Mereka sanggup menghabiskan jutaan wang asalkan keuntungan haram di hari kelak, mudah untuk diperolehi. Begitu juga apa yang terjadi hari ini. Golongan-golongan ini terus memperjuangkan wang poket mereka. Asalkan kedudukan mereka selamat, walaupun terpaksa menindas dan merampas hak orang lain. Mereka menolak Hukum Allah atas dasar merugikan mereka. Inilah perjuangan mereka, dan perjuangan mereka ini sama sekali tidak sama dengan perjuangan yang sebenarnya. Mereka menderita untuk perjuangan mereka, sepertimana kita menderita untuk menegakkan Islam di Malaysia. Kita terpaksa menelan asap dan bermandikan asid. Manakala mereka terpaksa menelan penghinaan kepada mereka, dan bermandikan peluh untuk menegakkan kepentingan mereka. Sedangkan perjuangan mereka ini tidak seperti perjuangan kita yang mendapat keredahaan Allah.

Salam Perjuangan

http://drfikrah.blogspot.com/2009/04/sekiranya-kita-perit-ketika-berjuang.html

https://www.facebook.com/ayob.hussin/posts/10204546563964713

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej