Siku & Lutut Untuk Pertahankan Islam
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengarah Pilihanraya DUPP
1. Tidak habis sikap suka spin kenyataan dan tidak sudah perangai suka seleweng maksud penyampaian. Pahat - pahat tumpul masih berbunyi pasca Muktamar PAS ke 61. Perkataan popular minggu ini ialah siku dan lutut. Biarpun duration ucapan saya melebihi 20 minit, tetapi yang menjadi head line sebahagian media hanyalah terhenti pada perkataan siku dan lutut.
2. Lebih keji bila perkataan itu diolah dan digambarkan sebagai percubaan untuk bertindak ganas dan melampau. Walhal jika diamati bait ucapan saya, perkataan itu diguna kan secara defensif untuk mempertahankan PAS dan Islam yang diperjuangkan dari terus diserang dan dicabar. Ungkapan siku dan lutut tidak saya lafazkan untuk membawa maksud memulakan serangan atau menyerang secara melulu dan membabi buta, sebaliknya dengan maksud, kami siap untuk mempertahan dasar dan prinsip perjuangan Islam ini jika ia terus diasak dan dicabar.
3. Islam adalah agama Rahmah. Kami menyampaikannya kepada masyarakat dengan ilmu dan hujjah. Kepada non muslim pula tiada paksaan untuk menerima Islam. Kami hadir membawa risalah yang benar untuk dinilai secara tenang dan positif. Namun dalam masa yang sama, kami bukan objek belasahan. Tidak mungkin kami membiarkan jamaah ini dipersenda dan perjuangan ini dinista melainkan kami wajib tampil mempertahankannya. Bukan sekadar siku dan lutut, malah darah dan nyawa sedia kami taruh demi mempertahankan Islam.
4. Kita diajar membawa Islam ini dengan lunak. Meskipun berdepan dengan tekanan dan ancaman, kita diajar bersabar. Namun sabar itu ada hadnya. Inilah yang saya naqal dalam ucapan saya. Betapa kami ditampar kiri dan kanan bertalu - talu sungguhpun kami telah menegur dengan lunak berulang kali. Kami diserang , jamaah kami diserang dan ketua kami diserang. Kami sabar sekian lama mendekam rasa. Akhirnya saya rayu dalam kenyataan saya di muktamar ke 61 agar jangan terus - terusan menyerang dan mencabar kesabaran kami. Meskipun kami berjubah serban, bukan bermakna kami lemah dan kamu boleh perlekeh semahunya. Kami juga mempunyai siku dan lutut yang belum digunakan sebagaimana juga apa yang ada pada mereka.
5. Hayati sabda Nabi saw :
" أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ "، ثُمَّ قَالَ : " اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الْأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ " .
Wahai Manusia ! Janganlah kamu bercita - cita mencari musuh dan mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt. Namun ketahuilah bahawa syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang. Kemudian Nabi saw berdoa :
Ya Allah ! Tuhan yang menurunkan al Quran, Tuhan yang menjalankan awan dan Tuhan yang menghancurkan tentera Ahzab ! Hancurkanlah mereka dan Bantulah kami menghadapi mereka.
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim
Mujur saya tidak sebut perkataan pedang dalam ucapan saya . Jika tidak, saya tidak tahu tahap mana spin mereka kelak.
Sekian.
https://www.facebook.com/ustaztantawi/posts/10152828782862312
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej