Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, July 28, 2016

Abang Sani, hari ini kau telah ada jawapan untuk bertemu Allah SWT. Kau telah buktikan istiqamah memperjuangkan Islam

KHAMSAINI MAT SOHOR, PAHLAWAN AMAL YANG SUKAR DIGANTI.

Oleh: Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Ketua Pemuda PAS P.Pinang.

"Abang Sani, nampak letih sangat tu. Elok berehat dulu, bagi kat orang lain tugas tu, ambil cuti dulu", kata saya spontan kepada Sdr Khamsaini Mat Sohor ketika satu tugasan mengiringi pimpinan PAS di Pulau Pinang.

Beliau merupakan Pengarah Keselamatan Jabatan Amal Pulau Pinang yang diberi tanggung jawab mengiringi mana-mana pimpinan utama PAS yang hadir berprogram di Pulau Pinang. Kenderaan pacuan empat roda Pajero KAA1512 milik Jabatan Amal Pulau Pinang itulah yang menjadi 'kuda perangnya' ke mana-mana.

"Ustaz, saya ni kalau nak ikutkan sakit saya ni, lama dah kena rehat duduk di rumah. Tapi saya tak boleh. Saya akan turun bertugas jaga keselamatan pimpinan selagi saya mampu. Saya malu, saya baru sakit macam ni dah nak berehat. Tok Guru dan pimpinan lain tak pernah rehat, sakit depa lagi teruk dari saya", jawab beliau.

"Maksud saya, Abang Sani cuti sat dua tiga hari, bukan cuti terus. Lepas dah ok, bertugas balik", sambung saya memperjelaskan.

"Ustaz, minta maaf. Bukan saya tak mau dengaq nasihat ustaz. Tapi prinsip saya, dalam berjuang ni tak dak cuti, melainkan mati", jawab beliau lagi. Kali ini, suaranya sedikit tinggi, tegas nadanya. Matanya tepat memerhatikan saya. Saya terdiam. Hebat! Hebatnya akidah perjuangan insan begini.

Pernah diberitahu, beliau pengsan tersandar di salah sebuah surau, ketika rombongan pergi menziarahi jenazah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz di Kg Pulau Melaka Kota Bharu. Sakitnya semakin merebak setelah beliau pulang daripada operasi gotong royong membersihkan rumah mangsa banjir di Pahang Terengganu dan Kelantan awal tahun lalu. Begitu tinggi komitmennya kepada tugasan-tugasan Jabatan Amal.

Beliau juga orang yang bertindak pantas menyelamatkan kedua ayahnda dan bonda saya daripada diganggu oleh samseng-samseng, ketika ayahnda Dato' Ust Taib Azamudden Md Taib berceramah memberi taujihad kepada petugas-petugas PAS di dalam PASTI Teluk Kumbar tahun 2013 lalu.

Beliau hanya bekerja sebagai penjual cucur udang di pekan hari dan pasar malam. Walaupun beliau tidak mendapat pendidikan yang tinggi, namun kesemua anak-anaknya dihantar bersekolah di sekolah agama dan tahfiz. Wang sara persekolahan anak-anaknya hanyalah bersumberkan perniagaan cucur udangnya disamping kerja sampingan oleh isterinya.

Beberapa kali, beliau tidak berniaga kerana memenuhi tugasan sebagai pengiring keselamatan pimpinan. "Abang Sani tak berniaga ka hari ni? Isteri dan anak-anak macam mana?", soal saya kepada beliau, sengaja hendak tahu penerimaan keluarganya tentang penglibatannya secara aktif dalam tugasan Jabatan Amal.

"Ustaz, rezeki ni Allah yang tentukan. Betoi la kalau pikiaq logik akai kita, bila tak berniaga takdak la pendapatan. Tapi rupa-rupanya bila terlibat dalam perjuangan ni, Allah bagi rezeki tu kut lain. Ada, mesti ada punya. Cuma lambat dengan cepat ja. Saya tak pernah menyesai kalau tak berniaga sebab pi bertugas. Walhal, pelanggan saya sikit punya ramai ustaz. Ada yang buat tempahan untuk kenduri kahwin, untuk jamuan-jamuan. Saya tau, kalau saya pulun betoi-betoi cucoq udang ni, saya boleh hidup senang. Tapi saya tak buat. Buat apa hidup senang tapi tak terlibat berjuang Islam. Esok mati Allah tanya saya, hang buat apa atas dunia hari tu nak menangkan Islam? Apa saya nak jawab ustaz! Saya ni dulu banyak buat salah. Biaqlah nanti bila mati, saya boleh jawab depan Allah, inilah pengorbanan saya untuk menangkan Islam".

Allahuakbar, kelu lidah saya. Tepat dan padat jawapannya. Patutlah tidak pernah kelihatan di wajahnya rasa susah, rasa bimbang. Tinggi sungguh keyakinannya kepada janji Allah. PAS P.Pinang dan Dewan Pemuda PAS juga beberapa kali memberi sumbangan meringankan bebanan beliau dan keluarganya sebelum ini.

Hari ini, 22 Syawwal 1437H bersamaan 27 Julai 2016, sekitar jam 1.40ptg, insan hebat ini telah pergi menemui pencipta buat selama-lamanya di Hospital Pulau Pinang, setelah beberapa tahun menderita sakit komplikasi hati. Seluruh warga PAS menangisi pemergiannya.

Abang Sani, hari ini kau telah ada jawapan untuk bertemu Allah SWT. Kau telah buktikan istiqamah memperjuangkan Islam hingga hujung nafasmu. Selamat 'berehat' buat selama-lamanya. Moga akhir hidup kita juga sepertinya, istiqamah!

https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=927408967386606&id=146956585431852

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej