PKR Beri Syarat Kepada DAP, PAN Tak Bertanding PRN Pulau Pinang
Keengganan DAP untuk 'merehatkan' Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam pilihan raya mengejut di Pulau Pinang dikatakan menjadi antara punca PKR masih enggan bersetuju dengan rancangan tersebut.
Menurut sumber yang dekat dalam perkara tersebut, PKR telah meletakkan beberapa syarat untuk pihaknya bersetuju dengan rancangan terbabit, walaupun sedar berisiko kehilangan beberapa kerusi jika pilihan raya itu diadakan.
"Demi menjaga keharmonian dalam hubungan antara PKR dan PAS, pimpinan utama PKR telah meminta DAP untuk 'merehatkan' AMANAH dari bertanding di kerusi PAS pada pilihan raya negeri itu.
"AMANAH wajar direhatkan kerana masih 'baru' dan perlu lebih berusaha untuk menempatkan namanya dalam persada politik negara dengan memberi laluan kepada PAS," jelasnya kepada Malaysiakini.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, Pakatan Harapan mencari 'kemenangan bersama' jika kerajaan Pulau Pinang mengadakan pilihan raya mengejut.
Kata menteri besar Selangor itu, wujud pelbagai analisis dibuat mengenai cadangan berkenaan namun apa yang penting ialah selepas keputusan diambil, kejayaan dicapai atas nama Pakatan Harapan, selain hubungan dengan PAS.
"Kita telah belajar (daripada) pengalaman di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan sudah tentulah ianya memberi mesej.
"Rakyat beri mesej kepada semua parti-parti politik, justeru kita perlukan masa untuk berbincang mencari apakah pilihan terbaik di Pulau Pinang," tambah Azmin.
Keperluan menjalin hubungan baik dengan PAS juga penting bagi mengelak 'tragedi' pertandingan tiga penjuru di kerusi N21 Sungai Acheh semasa pilihan raya umum ke-13 kembali berulang.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan sekiranya pilihan raya mengejut itu diadakan di Pulau Pinang.
"Ya sudah semestinya (menentang Pakatan Harapan). Kita tidak mempunyai pakatan dengan yang lain kecuali PKR," ujar Takiyuddin.
Mengulas lanjut, sumber itu menambah, pada masa yang sama, PKR turut mahu DAP menyerahkan satu kerusi dewan undangan negeri di sebelah pulau sebagai ganti rugi jika PKR kalah di salah satu kerusinya di seberang.
Justeru, jelasnya, DAP perlu akur dengan syarat-syarat ini setelah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui tidak akan mengadakan pilihan raya mengejut tanpa persetujuan bersama parti-parti sekutu dalam Pakatan Harapan.
Selain itu, PKR juga harus berbincang dengan PAS untuk mengelak pertandingan tiga penjuru jika DAP bersetuju untuk tidak meletakkan calon AMANAH pada pilihan raya tersebut.
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=31182
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej