Kenyataan Oleh Subky Latif
KETIKA era kepimpinan ulama PAS diperkenalkan pada tahun 1982, muncul ke baris de - pan empat tokoh ulama di tengah sekumpulan ulama tua dan muda bagi memimpin parti Islam itu.
Mereka ialah Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan paling muda dari mereka ialah Ustaz Haji Abdul Hadi Awang.
Syukur saya sempat bersama kepimpinan keempat-empat mereka ke tengah dan ke tepi.
Semua mereka saling hormati menghormati dan saling memerlukan antara sama lain. Dua dari mereka adalah senior dalam parti iaitu Haji Yusof dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Mereka terkenal sebagai tokoh amat sederhana dalam era kepimpinan sebelumnya.
Dua lagi antara 10–15 tahun muda dari yang senior itu dikira radikal masa itu, lantang dan cepat mendapati perhatian ramai dalam dan luar parti.
Sebelum Majlis Syura Ulama dibentuk sebagai tonggak ulama bagi kepimpinan ulama itu jawatan dalam parti ialah Haji Yusof adalah presiden, Ustaz Fadzil adalah Timbalan Presiden, Ustaz Hadi Naib Presiden dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ketua Dewan Ulama.
Setelah Majlis Syura Ulama dibentuk Haji Yusof menjadi Mursyidul Am yang pertama merangkap Presiden. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjawat jawatan Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi kekal timbalan presiden dan Naib Presiden. Mereka adalah anggota Majlis Syura yang kanan dari 12 orang.
Gabungan dari dua yang sederhana dan dua yang radikal menjadikan pimpinan ulama PAS itu mampan dan sempurna.
Tidaklah mereka sebanding dan setanding dengan kehebatan empat khalifah rasyidin yang masyhur itu ialah Abu Bakar as- Siddiq, Umar al-Khatab, Usman ibni Affan dan Ali Abu Talib, tetapi mereka mencontohi setiakawan sesama khalifah itu.
Kajayaan dan kekuatan Rasulullah s.a.w. itu sendiri banyak dibantu oleh kesetiaan sahabatnya yang empat itu. Tanpa ditentukan oleh baginda, keempat mereka adalah khalifah mengikut giliran. Tidak ditentukan siapa dulu jadi khalifah dan siapa kemudian.
Tetapi setiakawan dan kerukunan yang ditunjukkan oleh tarbiyah baginda, salah seorang dari mereka menjadi ganti apabila khalifah itu pergi dulu.
Haji Yusof sebagai ahli perniagaan tidak terkenal sebagai Tuan Guru tetapi beliau cukup ilmu untuk menjadi Tok Guru. Justeru tiga sahabatnya penuh masa terlibat dalam pendidikan dan dakwah, maka Haji Yusof tidak memburu jawatan Mursyidul Am itu.
Umum pun merasa Tuan Guru Nik Abdul Aziz calon yang sesuai untuk menjadi Mursyidul Am.
Dengan kesihatannya yang dihadapinya dan faktor usianya beliau berpuas hati jadi Presiden saja.
Lagipun dalam banyak perbicangan tentang hukum beliau banyak memberi lalu kepada yang tiga lagi itu memberikan pendapat. Beliau lebih suka jadi orang tua kepada semua. Banyak yang merasakan dia adalah pimpinan sementara.
Tetapi rakan-rakan yang lain mengiranya adalah Amir yang perlu dipatuhi dan disantuni.
Saya menghadiri usrah pimpinan. Semua tidak mahu jadi naqib kepada usrah kerana mereka ada Amir. Sebagai Presiden beliau mahu memberi laluan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Ustaz Fadzil. Kedua-duanya menolak kerana mereka ada Amir.
Kedua-duanya berkata kepadnya, “Anta adalah Amir, anta mesti mengepalai usrah.” Dengan segala keberatan beliau memikul amanah itu.
Itulah apabila jawatan Mursyidul Am itu hendak diisi, Tuan Haji Yusof mahu ia dipegang oleh orang lain memadai beliau jadi Presiden yang dijawatnya sejak awal. Tetapi mereka mahu Amirnya juga sekali pun beliau sudah jadi Presiden.
Tuan Guru Nik Aziz sedia jadi Timbalan Mursyidul Am. Selagi Haji Yusof ada kesetiaanya kepada Mursyidul Am yang ada itu.
Dalam tempoh kepimpinannya beliau terus-menerus uzur. Maka banyak urusan Presiden itu dijalan oleh Ustaz Fadzil dan urusan Majlis Syura Ulama dijalankan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Setelah sekitar empat bulan tidak dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat parti, Haji Yusof mengambil keputusan meletak jawatan. Ustaz Fadzil mulanya enggan hadir semasa pengumumannya meletak jawatan kerana tidak mahu dilihat pengunduran diri itu atas kemahuannya.
Ustaz Fadzil tidak tahu keputusannya meletak jawatan itu. Ia diputuskan setelah berbincang dengan Ustaz Hassan Shukri dan saya yang menziarahinya di Pulau Pinang. Setelah penggalnya sebagai Mursyidul Am tamat, beliau tidak sedia dicalonkan lagi.
Sejak itu, Presiden dan Mursyidul Am dijawat oleh orang yang berlainan.
Saya sempat pula berkhidmat dengan Ustaz Fadzil. Tetapi tidak banyak bercampur Mursyidul Am Nik Abdul Aziz, kerana beliau menjadi Mursyidul Am hampir sama banyak masa dengan Menteri Besar Kelantan.
Penguasaan politik di bawah Ustaz Fadzil adalah lebih ketara dibanding dengan zaman Haji Yusof Rawa. Kerana Haji Yusof acap uzur maka beliau banyak menjalankan pimpinan. Maka zaman Haji Yusof itu tidak dapat dikira zamannya sendiri kerana banyak yang dijalankan oleh Ustaz fadzil.
Tetapi zaman Ustaz Fadzil boleh dikira zamannya sendiri.
Sekali pun Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah Timbalan Presden tetapi tidak memberi pandangan sendiri atas isu politik melainkan menjelaskan apa yang disarankan.
Dalam mengendalikan parti timbalan boleh memberikan pandangan dan nasihat kepada Presiden.
Ustaz Hadi tidak akan mendahului Ustaz Fadzil baik dalam urusan dasar mahu pun pentadbiran.
Dalam isu politik Ustaz Fadzil banyak mendapatkan pandangan dari Mustafa Ali dan Ustaz Hassan Shukri. Ustaz Hassan Shukri sesungguh boleh menjadi penasihat kepada semua orang. Beliau banyak pengalaman bersama Dato’ Asri Muda dan segala tepak terajang politik pada zaman itu banyak dalam poketnya.
Baik diminta atau tidak diminta Ustaz Hassan Shukri boleh menyampai pandangan dan nasihat dari zaman Asri, zaman Haji Yusof dan zaman Ustaz Fadzil. Dia juga menjadi rujukan bagi Ustaz Hadi dalam banyak perkara.
Ustaz Fadzil banyak bercakap dan mendengar semua orang. Perbualannya tidak tinggal kosong tetapi menjadi bahan baginya menyaran sesuatu perkara. Boleh dikira beliau disenangi oleh semua dan bantuan besar kepadanya didapatinya dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi.
Untung Haji Yusof, Ustaz Fadzil dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah mereka disokong oleh sekumpulan ulama penting dalam parti dan tokoh- tokoh profesional. Tetapi pada zaman Ustaz Hadi kebanyakan ulama dan profesional itu kebanyakan sudah tiada.
Ramai yang di baris depan semasa Tuan Guru Haji Hadi belum ada dalam tahun 1980-an dan 1990-an. Antaranya tidak menghayati wawasan kepimpinan ulama dalam tahun 1982 dulu. Pimpinan Tuan Guru Haji Hadi berdepan dengan banyak ujian. Antara ujian yang ditimbulkan ialah tidak sama hala tuju antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan Tuan Guru Haji Hadi.
Saya tidak pernah mendengar Tuan Guru Nik Abdul Aziz bercanggah pandangan dengan Tuan Guru Haji Hadi, bahkan saya rasa, Tuan Guru Haji Hadi adalah orang paling dihormati Tuan Guru Nik Abdul Aziz baik dalam ilmu dan pimpinan.
Saya diberi Allah peluang bekerja di bawah keempat-empat pimpinan ulama, dengan gaya pimpinan yang berbeda itu mogamoga memandu saya menghayati kepimpinan ulama. Syukur saya setakat ini dapat mejadi penolong kepada perjuangan Islam dalam semua masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej