Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, July 5, 2015

Surat Terbuka kepada Pimpinan dan Penyokong Pakatan Rakyat berkenaan Hukum Hudud

Surat Terbuka kepada Pimpinan dan Penyokong Pakatan Rakyat berkenaan Hukum Hudud

Dr Azam Che 15/04/2014

Pas dan Hudud
Parti politik komponen utama Pakatan Rakyat, PAS, ternyata berpegang teguh dengan objektif perjuangan mereka sejak zaman berzaman, yakni ingin melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. Ini jelas di dalam laman web rasmi mereka yang mengatakan, PAS mempunyai tujuan:
“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”
Sekitar pada tahun 2008 PAS mula menukar strategi dan melaung-laungkan motto Negara Berkebajikan. Konsep Negara Berkebajikan ini dikukuhkan lagi apabila PAS melancarkan buku ‘Negara Berkebajikan: Tawaran PAS’ pada 2011 yang dimuatkan di dalam buku Jingga sebagai manifesto bersama PAS, PKR, dan DAP di dalam Pakatan Rakyat. Pada waktu tersebut parti PAS dilihat seolah-olah mula meninggalkan agenda utama mereka dan dituduh berkompromi dengan parti lain demi memenangi lebih banyak kerusi.
Namun begitu, PAS terutama di Kelantan masih lagi bernostalgia dengan perkataan hudud. Apa tidaknya, hudud sudah begitu hampir dilaksanakan apabila pada tahun November 1993, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang telah meluluskan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud). Ia merupakan satu kejayaan politik dan moral yang besar bagi aktivis PAS terutamanya dan ahli gerakan Islam umumnya.
Walaubagaimanapun, ada pengkritik mengatakan yang enakmen tersebut tidak mungkin boleh dilaksanakan kerana DUN Kelantan yang bersidang tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang tersebut. Undang-undang tersebut juga telah bertentangan dengan perlembagaan yang meletakkan kes-kes jenayah dibawah undang-undang sivil. Sebahagian dari kes jenayah di bawah enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan juga bertindih dengan  kes jenayah dibawah kerajaan persekutuan. Ini menimbulkan kes double jeopardy dimana seseorang tidak boleh didakwa untuk satu kesalahan di dua mahkamah berbeza (Artikel 7(2) di dalam perlembagaan). Jadi untuk melaksanakan hudud di Kelantan memerlukan sedikit pindaan perlembagaan yang telah menyebabkan ia tertangguh selama lebih 22 tahun. Timbalan Menteri Besar Kelantan pada waktu itu berkata yang kerajaan negeri telahpun menjalankan tanggungjawab mereka untuk membawa cadangan ini ke DUN dan mereka tidak dapat menjalankannya sehingga perlembagaan dipinda.
Sejak kemerosotan undi yang teruk dialami oleh parti pemerintah, laungan hudud kedengaran semakin kuat di media massa; bukan oleh pimpinan PAS tetapi oleh ramai tokoh-tokoh dari parti pemerintah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini mengatakan kerajaan pusat akan membenarkan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud. Begitu juga dengan Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan akan melobi partinya untuk menyokong perlaksaaan hudud di Kelantan. Tidak ketinggalan tokoh veteran parti pemerintah, Tengku Razaleigh, menyatakan sokongan. Manakala, seperti yang dijangka DAP melalui kenyataan tokoh-tokohnya dengan jelas menentang hasrat kerajaan PAS Kelantan. Dikatakan ada ura-ura ahli parlimen bukan Islam, diketuai oleh DAP, untuk berpakat menolak hudud apabila dibentangkan di parlimen. Pertembungan sesama ahli pakatan rakyat ini kelihatan lebih jelas dengan kenyataan dari pimpinan PKR yang juga tidak bersetuju dengan langkah menguat-kuasakan hudud di Kelantan.
Bagaimana Hudud Dilaksanakan?
Kritikan terhadap hukum hudud, lebih tepatnya terhadap enakmen hudud 1993 di Kelantan telahpun ditulis dengan panjang lebar oleh Dr. Muhammad Hashim Kamali, seorang tokoh akademik dalam bidang undang-undang Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau memberi ulasan dengan memfokuskan kepada beberapa artikel di dalam enakmen tersebut. Antaranya adalah mengenai persoalan mengenai bukti perbuatan zina telah dilakukan oleh seorang wanita adalah apabila wanita tersebut mengandung anak tanpa dapat dibuktikan wanita itu sudah bernikah. Dr. Hisham menimbulkan persoalan tentang kes rogol dimana jikalau wanita mengandung tadi ingin mendakwa dia dirogol oleh seseorang, maka wanita itu perlu mendatangkan empat saksi yang boleh dipercayai.
Antara isu lain yang diulas oleh Dr Hashim adalah tentang kesalahan murtad yang mana beliau membezakan antara perbuatan keluar dari agama dengan sendiri dan juga perbuatan keluar dari agama untuk bersama dengan pihak musuh yang memerangi negara Islam. Hujahnya, di dalam Al Quran tidak disebutkan tentang hukuman murtad. Hanya beberapa hadis yang menyebutkan tentang hukuman mati terhadap golongan murtad dan hadis-hadis tersebut pula ditafsirkan secara berbeza-beza oleh ulama. Begitu juga tentang kesalahan meminum arak oleh seorang Muslim, dimana terdapat percanggahan pendapat antara ulama samaada kesalahan ini termasuk hokum hudud yang bersifat tetap bentuk hukumananya ataupun takzir yang bentuk hukumannya bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah.
Prof. Tariq Ramadhan, cucu kepada pengasas gerakan Ikhwan Muslimin, mengatakan hukuman hudud ini telah menjadi satu bentuk ketidak adilan social di Negara-negara timur tengah yang melaksanakannya. Ini ternyata apabila golongan pemerintah dan bangsawan dengan mudah dapat melepaskan diri dari kesalahan dibawah undang-undang hudud tetapi golongan miskin tidak. Prof. Tariq Ramadhan juga bersependapat dengan Dr. Hashim Kamali dengan mengatakan bahawa undang-undang Hudud boleh ditangguhkan jikalau di dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan. Banyak contoh di dalam hadis yang memberi gambaran Rasulullah saw sendiri merasa berat untuk melaksanakan hudud.
Di dalam satu survey yang dijalankan oleh Gallup World Poll yang mana hasilnya dibincangkan di dalam buku Who Speaks For Islam, majoriti dari populasi Islam merasakan syariah boleh diambil sebagai salah satu sumber undang-undang Negara dan bukan satu-satunya sumber perundangan. Majoriti merasakan pemimpin agama tidak sesuai sebagai penggubal undang-undang tetapi mahukan syariah sebagai salah satu sumber perundangan. Buku tersebut mengingatkan tentang satu kes di Nigeria dimana seorang wanita direjam sehingga mati kerana mengandung anak luar nikah tetapi di pihak lelaki terlepas. Majoriti responden di dalam kajian memberikan komen negatif terhadap peristiwa ini dan mengatakan undang-undang Islam yang dilaksanakan tidak sepatutnya mempunyai kelompongan dalam keadilan sebegini.
Ramai Sokong Pas
Tidak dinafikan banyak kebimbangan yang menimbulkan kritikan terhadap undang-undang hudud berpunca daripada mekanisma melaksanakan hudud tersebut. Sebagai contoh, mengenai kes wanita dirogol sehingga mengandung dan menjatuhkan wanita itu ke dalam bahaya dihukum hudud akibat zina, ulama mencadangkan agar bukti-bukti moden diterima untuk melepaskan wanita tersebut. Bukti-bukti moden juga boleh diterima untuk mensabitkan lelaki yang dituduh merogol agar hukuman qazaf tidak dikenakan ke atas perempuan yang menuduh.
Mengenai kritikan bahawa undang-undang hudud jikalau dilaksanakan di Malaysia akan menimbulkan masalah perundangan kerana mempunyai dua set undang-udang berjalan serentak, ia boleh dibalas hujah dengan mengatakan bahawa sekarang pun sudah berlaku pertindihan bidang kuasa mahkamah. Ini kerana untuk orang-orang Islam mereka sudahpun tertakluk kepada undang-undang syariah di dalam hal nikah, cerai, dan harta pusaka. Malah di Sabah dan Sarawak, Mahkamah Bumiputera (nama lain Mahkamah Anak Negeri) juga berjalan serentak dengan Mahkamah Sivil. Bezanya, jikalau undang-undang Hudud diterima, maka bidang kuasa Mahkamah Syariah bertambah besar; tetapi ia membuktikan Malaysia berpengalaman untuk menjalankan beberapa set peraturan serentak. Jikalau selama ini Malaysia hanya mempunyai Mahkamah Sivil dalam semua aspek perundangan mungkin agak sukar untuk memperkenalkan pula Mahkamah Syariah sebagai alternatif kepada sivil.
Ramai juga yang mengatakan hudud sebagai undang-undang yang memerlukan syarat yang ketat untuk dijatuhkan kesalahan lalu dengan itu ia tidaklah perlu ditakuti. Malah dalam banyak keadaan kemungkinan besar hanya takzir digunakan kerana bukti dan saksi yang diperlukan tidak mencapai taraf yang ditetapkan dalam undang-undang hudud. Jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Red Herring
Hujah menyokong atau mengkritik cadangan hudud dilaksanakan di Malaysia perlulah dinilai dari segi realpolitik juga. Sikap parti pemerintah yang berdolak dalih dan bertukar-tukar pandangan mereka sesuai dengan perkembangan politik semasa tidak harus dilupakan. PAS diajak bergabung dengan parti pemerintah semasa negara dimomokkan dengan hantu Cina pada 13 Mei 1969 dan kemudian ditendang keluar apabila tidak diperlukan. Begitu juga dengan slogan kerajaan perpaduan yang dibisikkan di telinga dengan suara menggoda tatkala survival politik parti pemerintah sudah tinggal nyawa ikan. Ingatlah semasa  enakmen hudud diluluskan di Kelantan, Perdana Menteri pada waktu itu menyatakan penentangannya dengan keras di dalam akhbar New Straits Times (10 Sept 1994). Perdana Menteri pada waktu itu juga dilaporkan berkata kerajaan pusat tidak akan berdiam diri dan PAS hanyalah berminat untuk mendapatkan political mileage (laba politik).
Pada waktu itu, parti pemerintah yakin mereka mendapat mandat penuh rakyat dan PAS hanyalah parti politik yang kecil suaranya. Mereka tidak memerlukan PAS. Ini ternyata kerana pada pilihanraya tahun 1995, parti-parti pemerintah mendapat secara keseluruhan sebanyak 65% undi dan PAS hanya sekitar 7%. DAP pula mendapat 12% dan jikalau pada waktu itu tahaluf siyasi dijalankan Pakatan Rakyat (PAS + DAP + PRM + S46) akan mendapat hanya lebih kurang 30% undi. Barisan parti pemerintah adalah terlalu kebal  pada waktu itu. Pada waktu tersebut juga PAS hanya memenangi 7 kerusi parlimen yakni hanyalah 3% dari jumlah kerusi yang ada. Namun sekarang, PAS mempunyai 21 kerusi parlimen yakni peningkatan sebanyak 3 kali ganda menjadi 9% dari kerusi yang ada. PAS juga memperolehi hampir 15% dari jumlah undian untuk ke parlimen meningkat sekali ganda daripada tahun 1995. Sekarang ternyata PAS kelihatan seperti terlalu berharga untuk dibiarkan sahaja oleh parti pemerintah. Lebih-lebih lagi, jikalau kerajaan perpaduan tidak berhasil dijayakan, sekurang-kurangnya ukhuwwah antara Pakatan Rakyat perlu dirosakkan dengan pelbagai cara. Lihat saja peratusan undi untuk Pakatan Rakyat berjumlah 51% dibandingkan dengan hanya 47% parti pemerintah. Kemenangan sudah terlalu hampir.
Pengalaman Perlaksanaan Syariah di Mesir
Surat terbuka ini percaya pimpinan PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan PAS sudah tentu memerhatikan dengan teliti perkembangan politik di Mesir. Sudah tentu mereka melihat pasca Arab Spring menyaksikan parti Islamis, FJP, yang lahir dari gerakan Islam paling tersusun, Ikhwan Muslimin, mendapat kuasa bersama pakatan mereka pada pilihanraya tahun 2011. Pakatan yang diketuai oleh FJP, Democratic Alliance for Egypt mendapat sebanyak 37.5% undi dan mereka menguasai 44.9% kerusi parlimen. Pakatan ini termasuk di dalamnya beberapa parti liberal, secular dan sosialis yang kelihatan bertentangan dengan agenda Islam yang dibawa oleh FJP dan Ikhwan. Pakatan Islamis yang diketuai oleh parti Salafi, An-Nour pula mendapat 27.8% undi meletakkan mereka ditempat kedua. Pilihanraya presiden menyaksikan FJP mendapat laba politik yang lebih besar apabila Presiden Morsi terpilih. Parti An-Nour mula merapatkan diri bersama FJP. Seorang dari tokoh salafi An-Nour dilantik menjadi penasihat presiden.  Pada waktu tersebut, Parti An-Nour menekan FJP untuk membuat perlembagaan baru yang lebih Islamik sehingga membuatkan parti-parti lain merasa terasing. Kombinasi Salafi dan Ikhwan di dalam Parlimen terlalu kuat sehingga suara dan kehendak parti lain tidak mendapat perhatian. Perlembagaan baru diluluskan dan dikritik hebat sebagai mendiskriminasikan kumpulan lain.
Kesudahannya, gerakan Tammarod berusaha untuk memaksa Presiden Morsi meletak jawatan pada ulang tahun pertama beliau menjadi presiden. Tentera mengambil peluang untuk melakukan coup d’etat dan merampas kuasa. Presiden Morsi dipenjarakan dan kerajaan pertama dipilih secara demokrasi sihat dibubarkan. Parti An-Nour yang selama ini memaksa Ikhwan untuk menjadikan perlembagaan Mesir sebagai  perlembagaan negara Islam, kini bersama-sama dengan pihak tentera dan berdiri di sisi Jeneral As-Sisi semasa mengumumkan pembubaran kerajaan. Artikel kedua dalam perlembagaan tahun 2012 diubah dan perkataan “syariah sebagai sumber utama undang-undang” dipadamkan di dalam perlembagaan tahun 2013 anjuran tentera dengan dibantu oleh An-Nour. Artikel keempat di dalam perlembagaan tahun 2012 ada menyebutkan yang Syeikh Al-Azhar akan dirujuk untuk mengeluarkan undang-undang Islam. Ini juga telah dipadamkan daripada perlembagaan tahun 2013. Kesudahannya FJP bersendirian dan dipencilkan. Golongan secular dan liberal yang merasa terasing akibat dari kesatuan FJP dan An-Nour pada awalnya telah berselindung di sebalik tentera Mesir. An-Nour yang pada awalnya banyak menarik Ikhwan/FJP ke arah teokrasi akhirnya meninggalkan Ikhwan dan bersama dengan pakatan Sekular + Liberal + Tentera. Malah Syeikh Al-Azhar sendiri yang mana kedudukannya dijamin dalam perlembagaan tahun 2012 kemudian ditarik balik tahun 2013, memilih untuk menyokong As-Sisi.
Perkara yang sama boleh berlaku kepada PAS jikalau mereka dilihat terlalu mesra dengan agenda parti pemerintah dan memencilkan rakan-rakan mereka dari PKR dan DAP. Jikalau parti pemerintah meninggalkan mereka sekali lagi (seperti mana yang telah dibuat banyak kali) maka PAS mungkin akan dipencilkan terus dari arus perdana politik Malaysia.  Ibarat bercerai dengan isteri kerana masih angau dan ingin mengahwini kekasih lama. Apabila isteri baru pula minta cerai kerana tidak serasi tiba-tiba isteri tua pun tidak sudi rujuk kembali.  Jangan dilupa anak-anak Kelantan yang masih mengharap duit royalti dan lebuh raya rakyat diperjuangkan.
Ukhuwwah dan Keharmonian Pakatan
Surat terbuka ini menyeru kepada pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat agar berhati-hati dalam mengulas isu hudud ini. Keutuhan dan perpaduan kaum yang dibawa oleh Pakatan Rakyat diperjudikan apabila isu hudud dipermainkan. Agenda besar membersihkan Malaysia dari korupsi juga dengan mudah dilupakan apabila emosi dipermainkan. Kepada yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan Hudud, haruslah diingatkan bahawa menjadi hak kebebasan bersuara oleh PAS untuk menjayakan agenda yang mereka percaya. Kepada aktivis PAS pula, anggaplah penolakan orang terhadap hudud sebagai satu cabaran dakwah agar mereka boleh difahamkan di masa hadapan. Janganlah dilayan agent provocateur seperti ISMA/Perkasa/Jati dan kumpulan-kumpulan serpihan seperti ini bahawa penolakan DAP dan PKR terhadap hudud itu bermaksud mereka memusuhi Islam. Berpegang teguhlah dengan prinsip demokrasi dan percayalah jikalau dakwah dijalankan dengan sebaiknya, dan hudud boleh diterangkan sebagai mekanisma membawa Malaysia kearah kebaikan, nescaya majoriti akan menyokong perlaksanaan hudud.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej