Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, July 28, 2015

Konsensus Nasional 5 tahun di belakang UG

Konsensus Nasional 5 tahun di belakang UG


Memacu peradaban negara seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan kematangan berpolitik adalah satu tuntutan kontemporari ke arah pembentukan sebuah negara maju bertaraf dunia.

Pacuannya pula selari dengan anjakan pemikiran penghuninya yang terdiri daripada pemimpin dan anggota masyarakat awam.

Tanpa pacuan yang seiring dan selari antara empat elemen ini (peradaban negara, pertumbuhan ekonomi, kematangan berpolitik dan anjakan pemikiran), hasrat untuk merajah peta negara sebagai satu blok negara maju bertaraf dunia tidak akan kesampaian.

Sementara empat elemen tersebut hanya benar-benar efektif untuk diselarikan apabila terdapat faktor lonjakan yang didokong oleh seluruh anggota masyarakat tanpa mengira bendera politik, warna kulit, bahasa lidah dan sijil akademik.

Faktor lonjakan yang saya maksudkan di sini ialah persefahaman, persetujuan dan kesepakatan atau dengan istilah yang dipopularkan mutakhir ini iaitu konsensus.

Faktor lonjakan ini (persefahaman, persetujuan, kesepakatan atau konsensus) pula tidak mungkin dapat dicerna tanpa adanya konsep damai dalam politik dan hubungan sosial.

Meskipun tidak mampu dicapai dalam semua aspek, sekurang-kurangnya dapat dihasilkan dalam perkara-perkara utama yang menjadi kepentingan umum seperti aspek keselamatan, kestabilan ekonomi, kepentingan politik, keadilan sosial dan pemulangan hak.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang di atas kapasiti presiden kepada gerakan Islam kontemporari di negara ini telah mengemukakan satu idea yang sungguh brilliant sekitar tahun 2008 bagi menghadapi kemelut negara yang tiada kesudahan pada waktu itu apabila melihat kekuatan parti-parti politik daripada blok pemerintah dan pembangkang mulai seimbang.

Persepsi UG sertai Umno

Negara dan beberapa buah negeri berdepan dengan satu situasi dilema dalam pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil. Masing-masing parti mempunyai keupayaan tawar menawar.

Abdul Hadi telah mengemukakan idea unity government (UG) sebagai salah satu jendela penyelesaian mendepani suasana seperti itu.

Bermaksud semua parti diberi peranan dalam pembentukan kerajaan lalu mentadbir negara dan negeri dengan adil dan saksama demi kepentingan negara dan rakyat melalui persefahaman, persetujuan, kesepakatan atau konsensus yang dicapai dan dimeterai pada peringkat nasional.

Malangnya saya masih ingat pada waktu itu, belum sempat idea besar ini diwacana, dibahas dan dikaji secara tulus dan akademi, idea ini telah dibunuh dengan meletuskan satu persepsi jahat bahawa Abdul Hadi mahu mengheret PAS menyertai Umno dan polemik ini berlanjutan sehingga tiga siri muktamar tahunan PAS selepas itu.

Biarpun dinafi beribu kali oleh presiden, ia gagal menangkis serangan persepsi tersebut.

Saya dan sahabat saya Nik Mohd Abduh membuat percubaan untuk menjernihkan keadaan lalu mengemukakan pandangan mengenai "politik damai" antara tahun 2008-2009 namun percubaan itu turut gagal.

Persepsi UG sebagai menyertai Umno terlalu besar melanda masyarakat bagaikan ombak tujuh beradik.

Idea UG ditolak kerana pertemuan antara pemimpin PAS dengan Umno berjaya didedah lalu ia dijustifikasi sebagai usaha gelap untuk membawa PAS menyertai Umno.

Sungguhpun persepsi itu tidak masuk akal tetapi ia berjaya diolah dengan baik dan membentuk tanggapan awam.

Nama yang sengaja dicicirkan

Akhirnya presiden menarik balik idea UG dan saya masih ingat antara ucapan beliau sewaktu menarik balik idea ini bahawa:

"Saya terpaksa menarik balik unity government ini kerana orang masih tidak faham erti unity government dan ia tidak boleh dilaksana dalam keadaan orang tidak faham.

"Saya yakin dan percaya bahawa suatu masa nanti orang akan faham dan orang akan fikir balik apa yang saya lontarkan ini."

Berlalu mendung lima tahun, kini timbul isu Konsensus Nasional. Walaupun tidak dalam terma pembentukan kerajaan tetapi keperluan mewujudkan persefahaman, persetujuan dan kesepakatan atau konsensus dalam perkara-perkara tertentu mula difahami.

Sebagaimana lima atau enam tahun yang lalu, pertemuan dengan pemimpin Umno masih berlaku. Paling akhir ialah pertemuan di London dengan Datuk Zahid Hamidi sebagaimana yang didedahkan oleh The Malaysian Insiderbaru-baru ini.

Namun pendedahan itu tidak menyenaraikan secara penuh individu yang terlibat.

Iaitu nama Saifudin Nasution sengaja dicicirkan dari berita tersebut sedangkan sebelum tiba individu yang disenaraikan oleh TMI, Saifudin Nasution telah sedia berada di dalam bilik hotel tersebut bersama Zahid di London.

Saya difahamkan pada mulanya presiden turut disarankan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pergi bertemu Zahid di London kerana menurut Anwar, ada beberapa perkara yang akan diperkatakan oleh Zahid.

Namun presiden menguzurkan diri dari menghadiri pertemuan tersebut dan saya jangka ini adalah langkah presiden yang sangat berhati-hati setelah menelan pengalaman getir menangani isu unity government sebelum ini.

Sungguhpun telah dibazirkan lima tahun tempoh masa, Konsensus Nasional (yang timbul pada hari ini membawa maksud serupa walaupun tidak sama dalam konotasi yang berbeza), mesti jelas matlamat, objektif dan hala tuju serta syarat memeteraikan konsensus tersebut.

3 syarat

Saya tidak mahu ia ditolak mentah-mentah sebagaimana berlaku penolakan terhadap UG pada 5 tahun yang lalu. Sementelah saya juga tidak mahu ia diterima bulat-bulat hanya kerana ia datang dari Anwar tanpa melalui proses kajian, penelitian, perbahasan dan konsensus sesama parti-parti komponen Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Asas yang paling penting ialah terhenti atas tiga perkara.

Pertama, mestilah Konsensus Nasional ini untuk kepentingan umum iaitu kepentingan negara dan rakyat. Bukan agenda individu bagi melunaskan kepentingan peribadi dalam kancah politik haru biru negara hari ini.

Kedua, Konsensus Nasional ini mesti melalui proses penelitian yang berasaskan kajian dan perbahasan lalu akhirnya menjadi suatu yang dikonsensuskan terlebih dahulu oleh semua parti komponan Pakatan.

Ketiga, syarat memeteraikan Konsensus Nasional ini mesti jelas mewakili kepentingan umum yang melibatkan negara dan rakyat.

Menurut pemerhatian saya, sekurang-kurang syarat adalah masih sama dengan syarat yang dikemukakan oleh presiden dalam cadangan beliau terhadap UG tempoh hari, iaitu:

(a) Pulangkan Royalti petroleum yang dinafikan sebelum ini seperti Terengganu dan Kelantan.

(b) Penambahan kerusi parlimen dalam pelan persempadanan semula seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.

(c) Kebebasan media dan ketelusan SPR lain-lain syarat terpulang kepada konsensus antara parti anggota Pakatan kerana prinsipnya ialah bertitik tolak dari perjuangan untuk kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.


NASRUDIN HASSAN ahli Parlimen Temerloh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej