Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, July 26, 2015

HIMPUNAN HADIS TANDA KIAMAT & AKHIR ZAMAN

HIMPUNAN HADIS TANDA KIAMAT & AKHIR ZAMAN
Mari muhasabah jika masih ada dari lebih 40 hadis dibawah ini yang belum berlaku lagi saat ini. Jika sudah sempurna semuanya maka itu tandanya kegemilangan Islam sudah luput dari kita. Carilah kepastian, jangan kita bersangka-sangka dan berangan-angan lagi dalam soal iman dan Islam.
Tidak guna lagi kita membangga diri dengan keislaman kita yang berdasarkan sangka-sangka, kerana semua itu sudah luput dari kita. Kita perlu bersihkan tanah dari segala pohon reput dan buah fikiran yang tidak berguna, yang pernah tumbuh dalam dada kita dan kita harus cari semula benih yang terbaik dan lakukan penanaman semula. QS;14/24-27.

1. BANYAK PERSELISIHAN– GIGITLAH SUNNAH DENGAN GERAHAM
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, “Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda,
“Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (mendapat hidayah) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” – H.R. Abu Daud dan Tirmizi
2. UMAT MUSNAH BILA KEJAHATAN TERLALU BANYAK
Daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw.) berkata,
” (Pada suatu hari) Rasulullah saw. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cernas sambil bersabda, LA ILAHA ILLALLAH, celaka bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebe!ahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyararkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang¬orang yang soleh?” Lalu Nabi saw. bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”. – H.R. Bukhari Muslim
3. UMAT ISLAM RAMAI TAPI TIDAK DIGERUNI – TERTINDAS, DIRATAH DUNIA
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud)
4. ULAMAK MATI, ILMU AGAMA HILANG, FATWA DIKELUARKAN OLEH SI JAHIL
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda,
“Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” – H.R. Muslim
5. BUDAYA BARAT TAJAAN YAHUDI & NASRANI JADI IKUTAN UMAT ISLAM
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,
“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (H.R. Muslim)
6. GOLONGAN ANTI HADITH
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
“Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi/katil kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku lalu dia berkata,
“Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
7. GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG
Daripada Mughirah bin Syu’ bah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”.- (H.R. Bukhari)
8. BERULANGNYA PENYAKIT UMAT TERDAHULU YANG MEMUSNAHKAN
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu seronok/sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki/saling menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)
9. ISLAM KEMBALI DAGANG & TERASING
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang­ orang yang asing”.- H.R. Muslim
HADIS PENUHNYA,
“Sesungguhnya dien (agama) itu awalnya terasing (ghoriban), dan dia akan kembali terasing. Maka beruntunglah orang yang mengembalikan apa yang terasing itu, apa sahaja yang telah dirosak manusia selepas ketiadaan aku, dari sunnahku”
10. KEMEWAHAN RUMAH, BANYAK PERSALINAN & HIDANGAN MEMUSNAHKAN
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu, dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, (kamu mewah) pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi langsir) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?”
Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan hanya memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “TIDAK! Keadaan kamu hari ini (ketika sempit) adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)
11. UMAT ISLAM MEMUSNAHKAN ORANG ORANG YAHUDI
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,
“Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada dibelakang saya. Kemarilah!.. Dan bunuhlah ia!”, kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)”. (H.R. Bukhari Muslim)
12. HILANG SIFAT AMANAH & KEIMANAN PADA PEKERJA DAN PENIAGA
Daripada Huzaifah bin AI-Yaman r.a. katanya, “Rasulullah saw. pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya.
Rasulullah saw. memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al­Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah.
Selanjutnya Rasulullah saw. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, Ialu beliau bersabda, “Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kaki mu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”. Ketika Rasulullah saw. menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) Ialu menggilingkannya dengan kakinya.
“Kemudian berpagi-pagi (jadiIah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.”
“Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat menbantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”. (H.R. Bukhari Muslim)
VERSI RINGKAS HADIS
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)
13. ORANG BAIK BERKURANG, ORANG JAHAT BERTAMBAH, ANAK MENJADI MUSUH
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
14. KUFUR & BINASA KERANA MENGIKUTI KEHENDAK ORANG LAIN
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda,
” Akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pendapatannya tidak diperolehi kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah swt.
Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum keluarganya atau dari menepati kehendak jirannya”.
Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah saw., apakah maksud perkataan engkau itu ?” Nabi saw. menjawab, “Mereka akan mencela dan mengaibkannya dengan kesempitan hidupnya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya dijurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya”.(H.R. Baihaqi)
15. TIDAK CIUM BAU SYURGA PENGUASA YANG GANAS & WANITA GEDIK
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda,
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk/cemeti bagaikan ekor Iembu yang digunakan untuk memukul orang.
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang­ lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya haruman syurga itu akan terhidu dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.(H.R. Muslim)
16. ORANG TAK PEDULIKAN HALAL HARAM SUMBER HARTANYA
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw,
“Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram”.(H.R. Muslim)
17. SEMUA MAKANAN & HARTA MELIBATKAN RIBA’
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda, “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan/memiliki harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya”. (H.R. Ibnu Majah)
18. KERA & BABI – PERANAN ARTIS & MUZIK, KHAMAR DIUBAH NAMA
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah saw. bersabda,
“Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita (artis). Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)
19. ILMU KURANG, JAHIL LEBIH, ZINA BANYAK, 1 RIJAL URUS 50 NISA’.
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)
20. HAMBA MELAHIRKAN TUAN, SIMISKIN SIBUK MEMBINA BANGUNAN
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), “…kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab,
“Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim)
21. AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ
Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., “Akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq”.(H.R. Ibnu Ady)
22. MEMEGANG AGAMA SEPERTI MEMEGANG BARA API
Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. – (H.R. Tarmizi)
23. GOLONGAN RUWAIBIDHAH CUBA MENEGUR PENDUSTA DAN PENGKHIANAT
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan (ada meriwayatkan tandus/kemarau). Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah RUWAIBIDHAH itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang yang kerdil hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)
24. AL-HAJR – PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah AL-HARJ itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau ucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
25. MASA AKAN MENJADI SINGKAT
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan/jilatan api”. (H.R.Termizi)
26. MUNCULNYA GALIAN YANG DIURUS OLEH ORANG JAHAT
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)
27. TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG SUBUR
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw.; “Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan dialiri sungai-sungai”. (H.R.Muslim)
28. PAGI BERIMAN PETANG KAFIR, JUAL AGAMA DENGAN HARTA DUNIA
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)
29. KELEBIHAN IBADAT DISAAT-SAAT HURU HARA
Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda:” Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku”. (H.R.Muslim)
30. PERANG DI SUNGAI FURAT (IRAQ) KERANA MEREBUT KEKAYAAN
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu”
Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Ada pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum]
31. TIADA IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah)
32. ULAMA YANG FASIH & FASIQ TIDAK DIPEDULIKAN
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ULAMA sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang PENYANTUN sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (FASIQ), lidah mereka seperti lidah orang Arab (FASIH)” (HR Ahmad)
33. ISLAM TINGGAL NAMA, ULAMAKNYA JAHAT, MASJID INDAH TAPI HAMBAR
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.;
“Akan datang suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisan/adat resamnya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah/petunjuk. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali”.(H.R al-Baihaqi)
34. ISLAM MACAM PAKAIAN LUSUH, AL QURAN & ILMU DIHILANGKAN
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda;
“Islam akan luntur seperti lusuhnya corak pakaian, sehingga orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan PUASA, dan apa yang dimaksudkan dengan SOLAT dan apa yang dimaksudkan dengan SUSUK (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan SEDEKAH. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat.
Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, di antaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat “La ilaha illallah”, lalu kami pun mengatakannya juga”.
Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), “Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah”? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya. Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, “Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka” (HUZAIFAH memperkatakan jawapan yang bertentangan dengan SHILAH itu tiga kali).
VERSI RINGKAS
“Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
35. LIMA BELAS FENOMENA AKHIR ZAMAN YANG MENYEBABKAN BALA
Hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Sayyidina Ali Maksudnya : ” Apabila umatku telah membuat 15 perkara maka BALA pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda :
[1] Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar di kalangan golongan tertentu sahaja
[2] Apabila amanah dijadikan suatu sumber dalam mengaut keuntungan
[3] Zakat dijadikan hutang (bertangguh atau mengelak)
[4] Suami menurut sahaja kehendak isteri
[5] Anak derhaka terhadap ibunya
[6] Anak terlalu mementingkan kawannya
[7] Anak menjauhkan diri daripada bapanya
[8] Suara sudah ditinggikan dalam masjid
[9] Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah orang yang paling hina dari kalangan mereka
[10] Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya
[11] Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat
[12] Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
[13] Para artis disanjung tinggi
[14] Muzik (hiburan) banyak dimainkan
[15] Generasi akhir umat ini melaknat/menyalahkan generasi pertama (para sahabat)
36. LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA
H.R Ibnu Majah, Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap/dipan Rasulullah saw. kepada kami kemudian beliau bersabda; “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara itu ialah:
1)    Tiada terzahir perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
2)    Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.
3)    Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
4)    Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
5)    Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “.
37. TERJADI KEHANCURAN BILA AMANAH DISIA SIAKAN
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., “Bilakah akan terjadi hari qiamat?”. Maka Nabi saw. tetap meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Baginda mendengar apa yang ditanyakan, tetapi soalan itu tidak disukainya”. Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu”. Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya! Saya hai Rasulullah”. Maka Nabi saw. bersabda,
“Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat”. Arab Badwi ini bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu”? Nabi saw. menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat”. (H.R Bukhari)
38. BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud)

39. FITNAH AKIBAT BERLAKUN ZUHUD, MENGGADAIKAN AGAMA KERANA DUNIA
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi)
40. UMAT BERPECAH 73, YANG SELAMAT IALAH ASWJ
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 golongan, maka hanya 1 golongan sahaja yang masuk syurga dan yang 70 akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi 72 golongan, maka 71 golongan masuk neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan 72 akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?” Nabi SAW menjawab “Mereka adalah berjemaah (Ahlus Sunnah Wal Jamaah)” (HR Ibnu Majah)
41. LAHIRNYA MUHAMAD KE 2 ATAU IMAM MAHADI
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku yang namanya sama dengan namaku”. – H.R Termizi
42. SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: “Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat”. Lalu Nabi saw. bersabda:
“Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya (barat), turunnya Isa bin Maryam a.s., Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab, yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (H.R Muslimi)
43. ORANG YANG ROSAK MENGATAKAN ORANG LAIN ROSAK
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR Muslim)

- TAMAT -
40 Hadith tentang Peristiwa Akhir Zaman ini dipetik dari buku yang telah di susun oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan kita bersama. Isi kandung himpunan hadis ini di sedut dari http://www14.brinkster.com. Insya’allah dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian masa kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej