Dakwaan Ustaz Ahmad Awang Dijawab
AIDCNews – 10/4/15 – Seorang guru di Maahad Darul Qura Rusila, Alang Ibn Shukrimun hari ini menjawab dakwaan Ustaz Ahmad Awang yang disiarkan The Malaysian Insider semalam :
PR DAN PANADOL (RESPON BUAT KENYATAAN USTAZ AHMAD AWANG)
Alhamdulillah, berjaya juga habiskan tulisan Ustaz Ahmad Awang. Biasanya saya jarang khatam artikel sepanjang demikian dek lambakan tulisan dan kenyataan hari ini. Saya percaya ramai kalangan rakyat Malaysia yang kurang gemar baca tulisan panjang.
Rakyat Malaysia masih rendah kesedaran membaca mereka termasuk saya. Tapi memandangkan tahap hormat yang masih tinggi kepada insan itu, saya baca juga nasihat beliau itu. Mungkin akan ada yang tanya pendapat saya lepas ini terhadap beliau, jadi lebih baik saya hadam dahulu.
Namun saya juga yakin, orang yang sanggup habiskan tulisan Ustaz Ahmad juga sanggup baca tulisan ini walaupun agak panjang juga. Yang tak baca tulisan beliau tak diharap sangat membacanya kerana kalau mereka baca sekalipun mungkin mereka tak faham ulasan saya.
الحكم على شيء فرع عن تصوره
Sepintas lalu, isi kenyataan Ustaz boleh diringkaskan kepada beberapa point. Antaranya, kekecewaan pergelutan dalam PR. Ustaz menganggap PR adalah pertolongan Allah kepada PAS. Beliau mengimbau sejarah lampau PAS dan turut memetik isu EJKS Kelantan serampang dua mata. Semua membawa matlamat baik agar PR terus kukuh hingga menerajui negara.
Saya tabik terhadap beliau yang kian aktif mengeluarkan kenyataan demi kenyataan. Namun saya masih mengintai-intai kelibat beliau dalam program parti. Di mana posisi beliau sekarang? Saya bukanlah memperkecilkan peranan beliau sebelum ini, tetapi perasaan rindu pada beliau dalam organisasi semakin membuak-buak. Alangkah baiknya beliau turun bersama ahli kebanyakan dan dengar keluh rintih yang berlaku sekarang. Bukan atas anjuran mana-mana NGO termasuk PasMa, tetapi atas nama jemaah sendiri.
Sebagai komentar pula, empat point saya nukil sebagai jawapan segala yang ditimbulkan:
1. PR PERTOLONGAN ALLAH
Kenapa Ustaz Ahmad Awang menganggap PR pertolongan Allah, dalam masa yang sama menganggap perpecahan PR bukan pertolongan Allah? Bagaimana pula halnya dengan Sulh Hudaibiyah? Sekiranya perjanjian tersebut pertolongan dari Allah, adakah pembatalan yang diisytihar Rasulullah adalah murka dari Allah?
Cuba Ustaz renung kembali sirah zaman Rasulullah. Banyak perjanjian dan kerjasama Rasulullah bersama pihak lain. Tetapi tuhan hanya kurniakan kemenangan sebenar, ketika umat Islam bersendirian. Contohnya dalam perang Badr, Uhud, Khandaq, Fath Mekah, Hunain dan Tabuk.
Saya tidak bermaksud mengharapkan PAS keluar PR sekarang, tetapi sunnah perjuangan sebenarnya rencam. Ada waktu bersendirian, ada waktu bekerjasama dengan pihak A, tiba masa pihak B pula, ataupun bersendirian kembali. Semuanya adalah jalan yang diatur ilahi untuk menuju kemenangan hakiki. Berpakat atau bersendirian, semuanya adalah pertolongan dari Allah.
Kita tidak boleh berakidah hanya PR pembawa kejayaan. Boleh bawa syirik jika terlalu taksub sebagaimana masyarakat yang terlalu percaya hanya panadol pemnyembuh sakit, menafikan kuasa tuhan.
Apapun sehingga ke hari ini, situasi politik menunjukkan PR perlu dikekalkan, dengan janji asal supaya masing-masing menghormati perjuangan masing-masing. Masih banyak ruang kerjasama yang perlu dimainkan walaupun ada beberapa tempat yang perlu PAS uruskan sendiri. Adat tahaluf siasi, bukan indhimam walaiy.
2. EJKS KELANTAN TIDAK MENYELURUH
TGHH sendiri dari awal memberitahu bahawa usul pindaan ini hanya untuk membolehkan beberapa undang-undang Islam dijalankan. Juga untuk memberi kuasa kepada negeri-negeri lain turut meminda undang-undang tubuh mereka bagi melaksanakan syariat Allah.
Kerana itu TGHH selalu menegur, sepatutnya disebut melaksanakan syariah, bukan hanya sebut hudud. Hudud hanya dalam beberapa kes jenayah, sedangkan EJKS turut melibatkan takzir dan qisas walaupun tidak seluruhnya.
PAS bersungguh-sungguh meminda agar praktikal undang-undang Islam berjaya dipamerkan kepada jelata. Kita sudah melalui zaman lebih 50 tahun menerangkan keindahan Islam sebagai cara hidup, namun penerimaan masyarakat meningkat perlahan. Ini kerana mereka hanya mengenal Islam secara teori, tanpa ada bukti praktikal di hadapan mata.
Adanya perlaksanaan di Kelantan, boleh menjadi pameran kepada masyarakat untuk melihat sendiri bagaimana Islam dipraktik. Kita yakin lebih ramai rakyat termasuk non muslim akan jatuh hati dengan cara Islam kerana keadilan dan keberkesanannya menangani jenayah negara.
Walaupun tidak menyeluruh, usaha ini perlu disokong sepenuh hati. Buat dahulu apa yang termampu. Syariat Islam sifatnya berperingkat, bukan drastik. Arak sendiri diharamkan setelah berbelas tahun wahyu diturunkan. Usaha berterusan perlu dibuat. Tuhan tidak tanya adakah kamu berjaya buat semua? Tetapi yang ditanya nanti adakah kamu buat atau tidak?
Kata ulama:
ما لا يدرك كله لا يترك كله
ما لا يدرك كله لا يترك كله
Apa yang tidak mampu dilakukan kesemuanya janganlah ditinggalkan semuanya.
Cuba ustaz ingat surah Al-Nasr, cerita tentang pembukaan Mekah. Disebut orang Mekah berbondong-bondong masuk Islam selepas pembukaan. Ini kerana mereka berjaya melihat sendiri bagaimana Islam memerintah. Sebelum ditunjukkan praktik Islam, orang Mekah yang sama jugalah menentang Islam habis-habisan hingga ke tahap cuba membunuh Nabi dahulu. Walhah wahyu belum habis turun lagi.
اﻹنسان عدو لما يجهل
Manusia itu sentiasa menentang apa yang mereka tidak tahu.
Manusia itu sentiasa menentang apa yang mereka tidak tahu.
Matlamat utama EJKS adalah dakwah selain membanteras jenayah, bukan gila mahu menghukum orang seperti yang didakwa musuh Islam. Tentunya ustaz yang alim tidak termakan dakyah orientalis sebegini.
3. EJKS MENAFIKAN PERJUANGAN RAKYAT
Amat malang jika ustaz menyatakan EJKS PAS membelakangi isu-isu 1MDB, GST dan sebagainya. Tahukah ustaz tentang usaha-usaha PAS melawan dasar zalim kerajaan tidak pernah luntur malah lebih rancak? Hinggakan Dewan Ulama sendiri menganjurkan himpunam bantahan peringkat nasional disamping penganjuran lain yang bersifat tempatan mahupun nasional.
Saya nasihatkan ustaz turut serta bersama Dewan Ulama Sabtu ini di Padang Merbok. Ramai kawan-kawan lama ustaz terlibat sebagai penganjur.
Malah, EJKS yang dibawa PAS lebih dari sekadar bantahan kepada kerajaan. PAS lebih jauh kedepan dengan mengemukakan terus solusi kepada negara untuk menghadapi masalah-masalah yang ustaz sebut di atas.
Antara maqasid daripada perlaksanaan syariah ialah untuk memelihara harta. Dan apa yang berlaku dalam negara hari ini adalah masalah harta. GST, 1MDB adalah contoh negara perlukan lebih sumber untuk menangani krisis harta.
Hudud mencuri pula sebagai contoh adalah hukuman untuk memelihara harta. Ia adalah undang-undang yang menggerunkan penjenayah. Amat sesuai hudud diperkenalkan kerana krisis harta negara sebenarnya bukan negara tidak berharta atau ketandusan sumber, tapi kerana ‘penjenayah’ kolar putih yang merompak hasil mahsul negara dari atas ke bawah.
Menangani masalah kewangan negara perlu dimulakan dengan membanteras korupsi, bukan mengutip cukai dari rakyat. Ini solusi yang telah lama Islam perkenalkan.
Dalam isu DSAI, Islam memperkenalkan undang qazaf yang lebih adil, terdapat dalam EJKS Kelantan. Maqasid syariat qazaf adalah memelihara maruah, dan DSAI pula menghadapi kezaliman terhadap maruahnya. Usul pindaan ini sekaligus membela nasib DSAI.
Ramai orang mampu membantah, bersuara dan mengkritik, tapi tak ramai yang mampu kemukakan penyelesaian. Alhamdulillah, PAS kedepan dalam hal ini.
4. PAS MUNDUR DENGAN EJKS
Dakwaan yang sangat tidak berasas. Dalam kekalutan yang digambar, PAS menerima keahlian yang begitu drastik dalam beberapa bulan kebelakangan, sehingga mencecah ke angka 1 juta. Sekiranya PAS dibenci, dari mana pula datang minat untuk menyertai PAS ini?
Non-muslim sendiri bangkit menyokong EJKS. Sahabat dalam Dewan Himpunan begitu komited dengan perjuangan teras kita selama ini. Seorang demi seorang tampil dengan kenyataan terbuka menyokong usul pindaan dari MP Marang.
Terbaru, ‘kemunduran’ ini telah menarik hati pemimpin sebuah komuniti bukan Islam dari Sarawak menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS ketika lawatannya ke sana minggu lepas. Semalam pula, penduduk non-muslim Kuala Krai berhimpun memenuhi majlis bersama MB Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am sekarang. Tiada langsung ekspresi takut atau benci yang dipamer.
Khilasahnya, saya harap Ustaz lebih terbuka dalam mengkritik. Saya menilai kenyataan ustaz agak tertutup dalam berpandangan. Semacam tidak munasabah tulisan itu dari hasil tangan dan buah fikir ustaz.
Secara husnu zhon saya sangka bahawa tulisan ini bukan ustaz yang tulis. Gayanya seperti bahasa orang lebih muda.
Sekiranya benar bagai dikata, sampaikan salam saya pada beliau.
Tulisan Ahmad Awang disalin semula facebook ‘Husam 4 Presiden‘ dengan memasukkan gambar naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa :
Bersyukur & manfaatkan Pakatan sebagai pertolongan Allah – Ahmad Awang.
Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat. Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang Mengetahui.
Kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.
KENANGAN ZAMAN DAHULU
Saya masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu, semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh PAS supaya melangkaui kawasan Pantai Timur ini.
Pada ketika itu PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat diperluaskan.
Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.
Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka diusahakan pembentukan “Chinese Consultative Council” atau “CCC”.
Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn dan Ali Abdullah.
Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan (Allahyarham) dan kemudian datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.
DATANGNYA PERTOLONGAN ALLAH?
Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana, menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.
Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada PAS sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif (BA) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di kalangan “masyarakat selain dari ahli PAS”. PAS dilihat adil membela semua golongan yang dizalimi.
Malangnya pada 2004, atas sebab Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai pada 2004 hanya sementara.
PERPECAHAN UMNO DITERUSKAN
Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya dipertahankan dengan cemerlangnya.
Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan sepanjang perjuangan mereka.
Maka PAS mencapai apa yang diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela semua yang teraniaya, sama ada Islam atau bukan Islam.
PAS menjadi parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar perjuangannya.
Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno dan BN. Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan kezaliman Umno.
PERUBAHAN SIKAP SECARA MENGEJUT
Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU, penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam lagi.
Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.
PERLU WAHYU MENGESAHKAN?
Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.
Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas. Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang, gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!
Jangan kita bersikap seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar terhadap cara yang Allah berikan.
Amat meleset sekali kalau kita bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS. Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang dibina mereka yang terdahulu dari kita.
PAS mula diterima semua
Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya kerana TGNA “tunduk pada DAP”? Sudah pasti tidak!
Pada masa yang sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU ke 13.
Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana pimpinan terdahulu.
RETAK MENUNGGU BELAH
Tiada siapa yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi bagaikan “retak menunggu belah”. Lebih-lebih lagi setelah mencapai keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan berantakkan. Di mana silapnya?
Imej PAS turut tercalar, menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis. Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.
Isu 1MDB, GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud negeri Kelantan.
Saya melihat isu hudud ini menjadi besar setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.
Namun apa yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355 .
Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan mengikut yang dituntut syariah.
Ada pun hukuman rejam sampai mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk dalam Pindaan Akta 355.
Perkara seperti ini tidak difahami masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri. Sebagai contoh ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud Kelantan.
Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA (Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.
CAMPUR TANGAN UMNO?
Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini. Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.
Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah “lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
KESIMPULAN
Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.
Sudah tiba masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan bukan Islam, terhadap PAS.
Kita ingin ke Putrajaya dengan PR dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita, dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. – 9 April, 2015
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej