Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, March 17, 2016

FAHAMI MAKSUD POLITIK ISLAM SEBENAR

FAHAMI MAKSUD POLITIK ISLAM SEBENAR

Politik (siyasah) bermaksud ri'ayah asy-syu'un al-ummah (mengatur urusan umat), baik di dalam mahupun  luar negeri.

Politik dilaksanakan baik oleh negara mahupun rakyat.

Tugas Negara adalah mengurus kepentingan umat manakala tugas umat adalah melakukan muhasabah terhadap Negara (pemerintah). Inilah politik.

Namun, sejak Daulah Khilafah dihancurkan pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924),sistem politik Islam sudah tidak lagi diamalkan dan seterusnya diganti dengan sistem politik kufur.

Sejak itulah masuknya pelbagai konsep politik kufur Barat yang tertegak di atas ideologi Kapitalisme yang bersifat faslu ad-deen 'an al-hayah (memisahkan agama dari kehidupan).

Memisahkan politik dari agama dan kehidupan bermakna menghancurkan Islam, sistem-sistemnya, undang-undangnya, nilai-nilai dan peradabannya serta menghancurkan umat Islam itu sendiri.

Negara-negara Kapitalis penjajah adalah negara penganut doktrin pemisahan agama dari kehidupan dan politik (sekular).

Mereka secara aktif menyebarluaskan doktrin ini dan menerapkannya di negeri-negeri kaum Muslimin.

Mereka menyesatkan dan menggambarkan kepada umat Islam bahawa politik tidak sejalan dan tidak boleh dicampuradukkan dengan agama.

Mereka menyatakan bahawa politik itu adalah pragmatis, lalu umat Islam dijauhkan dari kefahaman politik yang sebenar dan 'dipaksa' menerima definisi politik seadanya (yang dibawa Barat) dan mustahil untuk mengubahnya.

Hal ini dimaksudkan agar umat, termasuk para ulama, menjauhi politik (malah ada yang menyifatkannya keji/kotor) dan natijahnya mereka (umat Islam) tetap berada di bawah penguasaan politik dan telunjuk Barat yang kafir.

Kuffar Barat berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan umat Islam terus menjauhi politik, agar umat terus lesu dan tenggelam didalam perkara-perkara 'ibadah' tanpa memperhatikan aspek sistem dan undang-undang yang diterapkan dalam negara dan tanpa memperhatikan apakah aktiviti penguasa bertepatan dengan hukum syarak atau tidak.

Kaum kafir juga cuba menjauhkan umat dari kelompok-kelompok politik atau dari keterlibatan dalam bidang politik,tetapi menggalakkan penubuhan atau penglibatan di dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan khairat (kebajikan), seni,persatuan-persatuan dan seumpamanya.

Dengan menjauhkan umat Islam dari politik, maka Barat berjaya menyibukkan umat Islam dengan perbincangan dan perbalahan yang tak berkesudahan mengenai perkara-perkara sunat dan makruh dan perkara remeh-temeh lainnya tanpa menghiraukan perkara-perkara wajib dan haram khususnya didalam aspek pemerintahan!

Puak kuffar ini sedar bahawa umat Islam tidak akan berupaya menyerang pemikiran politik kufur (yang mereka bawa/sebarkan) tanpa kewujudan aktiviti politik atau terlibat dalam organisasi politik yang berasaskan Islam.

Barat sedar bahawa tanpa kesedaran politik dan tanpa penglibatan umat Islam di dalam politik Islam (untuk menyerang politik kufur), maka, pemimpin sekular, sistem kufur sekular dan undang-undang kufur yang diamalkan di negara kaum Muslimin, akan terus dapat dipertahankan kewujudannya.

Tanpa kesedaran dan aktiviti politik juga, umat Islam tidak mampu menemui jalan yang boleh membangkitkan mereka  dan terus hanyut di dalam arus kejahilan. Inilah yang dikehendaki oleh Barat.

Tidak berhenti di situ, apabila Barat mendapat tahu bahawa terdapat parti politik yang berusaha membangkitkan umat dengan (aktiviti politik)membongkar kejahatan penguasa-penguasa sekular dan membongkar agenda Barat ke atas umat Islam dan ingin menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh), maka Barat terus mengisytiharkan 'perang' ke atas parti politik tersebut.

Apatah lagi jika sesebuah parti politik itu bersifat internasional yang menyeru penyatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan (Daulah Khilafah) tanpa mengira sempadan, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa, Barat akan terus mengaitkan parti politik tersebut dengan ekstremisme,radikalisme dan terorisme.

Namun jika sesebuah parti politik itu bersifat lokal dan masuk ke dalam acuan demokrasi, maka hal ini dibiarkan sahaja oleh Barat kerana ia tidak mengancam kepentingan mereka.

Oleh sebab itu, umat Islam harus memahami sepak-terajang di sebalik perseteruan negara-negara kafir dan penguasa-penguasa sekular yang berkiblatkan Barat dengan kelompok-kelompok Islam yang berjuang di bidang politik untuk memerangi pemikiran-pemikiran kufur,sistem dan undang-undang kufur seterusnya menegakkan pemerintahan Islam (yakni) Daulah Khilafah.

Umat Islam harus memahami definisi politik dengan benar, baik secara bahasa mahupun secara syar'i dan bahawa politik Islam itu tidak dapat dipisahkan dari Daulah Islam!

Politik Islam juga tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya Negara Islam.

Tanpa Negara Islam (Khilafah), Islam sebenarnya mati secara politis kerana Khilafah merupakan institusi politik umat Islam yang menerap, menjaga dan menyebarkan risalah Islam ke seluruh penjuru alam.

Inilah metod syar'iyyah untuk menerapkan sistem dan hukum Islam di dalam kehidupan, iaitu dengan adanya aktiviti politik dan parti politik yang berusaha untuk menegakkan sebuah Negara Islam (Khilafah) yang seterusnya akan menggantikan pemerintahan kufur-sekular, pemikiran kufur-sekular serta sistem dan undang-undang kufur yang membelenggu umat Islam selama ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej