Mungkin insiden ni berlaku lebih 15 tahun yang lepas. Saya masih seorang pelajar perubatan. Tengah buat posting di Jabatan Kecemasan James' Hospital Dublin, hospital paling besar dan sibuk (tertiary referral center) di Ireland.
Saya mengikut seorang doktor pakar perubatan kecemasan dan dia sedang duduk bersama seorang pesakit. Pada mulanya biasa saja interaksi antara mereka berdua. Details mengenai pesakit itu pun saya tak ingat. Tapi saya ingat dia ada sakit di dalam mulut.
Doktor itu menasihatkan pesakit menggunakan mouth wash tertentu beberapa kali sehari. Pesakit itu pula membantah, "Tapi saya sangat sibuk, saya takde masa nak guna mouth wash sebanyak empat kali sehari".
Tiba-tiba nada suara dan raut wajah doktor itu berubah. Dia kata dengan tona suara yang agak keras "Itu mulut awak, terpulanglah awak nak jaga ke tak. Saya hanya bagi nasihat saja. Ini apa yang perlu awak buat supaya masalah ini hilang and tidak jadi lagi".
Pesakit itu terdiam.
Saya pun agak terkejut masa tu, tetapi sekarang saya sangat faham kenapa doktor itu berkata demikian.
Para doktor tak boleh memaksa pesakit berbuat apa-apa. Kita hanya boleh bagi nasihat dan pendapat berdasarkan ilmu, pengalaman, kajian saintifik dan juga pendapat pakar-pakar yang lain.
Pesakit di atas mempunyai hak untuk mengikut nasihat doktor atau tidak. Asalkan dia faham (corpus mentus/baligh & berakal) kesan akibat menerima atau menolak nasihat doktor.
Terus terang saya masih geram membaca pandangan seorang bapa yang mengatakan dia mem'vaksin' anaknya setiap hari dengan susu ibu.
Ternyata dia seorang yang menolak vaksin.
Bukan untuk dirinya, tetapi untuk anaknya.
Ini masalahnya.
Kalau seseorang membuat keputusan untuk tidak mengikut nasihat doktor, tetapi kesannya hanya ke atas diri sendiri, lantaklah. Pilihan di tangan anda. Pesakit faham. Pesakit menanggung kesannya.
Tetapi jika keputusan dan kesan tidak menerima nasihat doktor melibatkan orang lain, lebih-lebih lagi orang-orang lain, kanak-kanak dan bayi-bayi yang tidak berdosa, susah untuk saya hanya diam membisu.
Sebab itu, saya akan terus-menerus menulis dan berkongsi maklumat tentang vaksin dan bersalin secara selamat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej