Ibnu Abbas dan ta'wil surah an-Nasr
ALANG IBN SHUKRIMUN | 15 April 2016.
Firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّـهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّـهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ﴿٣﴾
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - (2)Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3)
[Al-Nasr]
Ayat ini diturunkan bagi memberikan khabar gembira tentang peristiwa Fath Mekah. Ketika umat Islam bersedih kerana tidak dapat memasuki Kota Mekah walaupun sudah berihram pada tahun keenam Hijrah, lantaran memeterai Sulh Hudaibiah, tetapi Allah tetap menjanjikan bahawa mereka tetap akan memasuki kota Mekah nanti.
Benar sekali, dua tahun selepas perjanjian, Allah telah membuka kota suci itu kepada orang Islam tanpa berlaku peperangan. Penduduknya turut masuk Islam berduyun-duyun selepas itu. Ini kerana mereka melihat keadilan dan kebaikan Islam yang sanggup memaafkan ramai musuh-musuh yang berlaku zalim terhadap umat Islam sebelum ini.
Lain halnya pula dengan apa yang difahami oleh Ibn Abbas. Pada zaman Saidina Umar, Ibn Abbas dijemput menghadiri suatu majlis yang hanya dihadiri oleh orang-orang dewasa sahaja. Walaupun Ibn Abbas masih muda umurnya ketika itu, dia diletakkan di tengah-tengah majlis. Hadirin lain kurang senang dengan kewujudan Ibn Abbas lalu mereka berkata:
"Kenapakah kamu wahai Saidina Umar mengajak budak ini ke majlis kita? Kenapa tidak anak-anak kami turut dijemput?"
Saidina Umar ingin membuktikan walaupun Ibn Abbas seorang budak, tetapi dia memiliki kebijaksanaan yang luar biasa. Ini kerana Nabi SAW telah mendoakan kepadanya ketika masih kecil, اللهم علمه التأويل
"Ya Allah ajarkanlah kepada dia ilmu ta'wil (al-Quran)"
Lalu Saidina Umar bertanya kepada semua hadirin, apa yang mereka fahami dari penurunan surah an-Nasr. Semua mereka menjawab, ia menunjukkan Islam akan menang.
Saidina Umar bertanya pula kepada Ibnu Abbas apa yang dia fahami. Kata Ibnu Abbas, sebenarnya ia adalah petanda Rasulullah SAW akan wafat. Apabila telah sempurna urusan agama, maka tugas baginda hampir selesai.
Memang Rasulullah SAW wafat beberapa bulan selepas turun ayat tersebut. Namun petanda dari ayat ini hanya diketahui oleh orang-orang lain pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Inilah kelebihan Ibnu Abbas RA. - HARAKAHDAILY 15/4/2016
Petikan kuliah jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 7 Rejab 1437/15 April 2016.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej