MUHASABAH INDEKS SYARIAH MALAYSIA
Sungguh menarik perhatian saya dalam perbincangan hangat dengan Mursyidul ‘Am, Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din, walaupun dalam keadaan beliau menahan kesakitan mengambil rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Doakanlah untuknya, doa orang-orang soleh di zaman dahulu supaya diberi kesihatan, ditingkatkan taqwa dan dipanjangkan umur disertakan amal yang soleh, dengan peranan menjadi Mursyidul ‘Am kepada PAS dan Ketua Kluster Dakwah yang menasihati kerajaan, bukan mengampu. Tetapi melaksanakan Jihad Akbar di katil hospital tanpa berada di parlimen dan tidak turun berdemonstrasi di jalan raya.
Perbualan khusus berkenaan Indeks Syariah Malaysia supaya menjadi perhatian kepada sesiapa sahaja yang berkenaan. Sangat baik dilakukan muhasabah, sejauh mana amal syariat dilaksanakan berpandukan pesanan Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A.
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
“ Hisablah diri kamu (didunia ini) sebelum kamu dihisab (dihadapan Allah pada hari kiamat ”.
Mursyidul ‘Am bukan menjadi sembarangan berada dalam kluster dakwah, bahkan telah menyampaikan mesejnya kepada pihak yang berkenaan, supaya menyedari bahawa kaedah statistik bukan semuanya boleh ditentukan kepada ajaran Islam, dan tidak sama dengan hisab di hari akhirat, kerana kadang-kadangnya 100% tolak 1% menjadi kosong, bukannya 99%. Perlu disedari bahawa Islam pula meletakkan amalan dunia adalah jambatan menuju alam akhirat.
Al-Quran menegaskan betapa hisab di hari akhirat itu mensyaratkan iman yang ikhlas tanpa syirik terhadap Allah, sama ada terang atau nyata, kecil atau besar dan wajib mengikhlaskan niat kerana-Nya. Allah berfirman kepada manusia paling agung pilihan-Nya, Nabi Muhammad S.A.W:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65) الزمر.
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu wahai Muhammad S.A.W. dan rasul sebelummu, jika sekiranya kamu melakukan syirik (menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya terhapuslah amalan kamu, dan nanti kamu termasuk dikalangan orang-orang yang rugi”
Menunjukkan syirik yang nyata dan syirik yang tersembunyi menghapuskan pahala amalan seseorang. Syirik yang nyata itu bukan sahaja menyembah yang lain daripada Allah dalam perkara yang dikenali dengan ibadat, bahkan termasuk juga perkara hukum syariat dalam urusan lapangan yang luas merangkumi cara hidup (way of life) yang termasuk di dalam perkara Al-Din.
Firman Allah:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21)الشورى.
“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (Tuhan yang lain daripada Allah) yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah? Kalau tidak kerana adanya kalimah yang menjadi keputusan Allah (untuk dilakukan pada hari kiamat nanti) nescaya mereka telah dihukum di atas dunia ini dikalangan mereka. Dan Sesungguhnya disediakan bagi orang-orang yang zalim itu azab yang sangat pedih”
Maka jangan juga mengadakan undang-undang ciptaan sendiri dalam perkara yang tidak diizin Allah kerana Allah telah menetapkannya secara nas merangkumi perkara ibadat, munakahat, muamalat dan jenayah. Allah memberi kelonggaran berijtihad dengan ilmu dan kebijaksanaan yang adil dalam lapangan yang sangat luas selagi dunia tidak kiamat dalam perkara yang tidak ada nas.
Hisab di hari akhirat juga mengambil kira niat yang ikhlas. Di antaranya dinyatakan oleh Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا لَا يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا (264) البقرة.
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu membatalkan segala sedekah (sumbangan) kamu dengan ungkitan dan perkara yang menyakitkan seperti mereka yang memberi sumbangan hartanya kerana riya’ (menunjuk kerana kemegahannya) dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka jadilah laksana batu hampar (batu besar yang rata dan lebar) yang kelihatan tanah di atasnya, maka apabila ditimpa hujan menjadikannya kosong (tiada air sedikit pun). Mereka tidak mendapat apa-apa pahala daripada apa-apa yang dilakukannya”
Rasulullah S.A.W. telah menegur Khalid bin Al-Walid R.A. yang bertengkar dengan Abdul Rahman bin ‘Auf R.A.
لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِى ، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيفَهُ (صحيح البخارى ومسلم).
“Jangan sekali-kali kemu memaki hamun para sahabatku, Kalaulah seseorang kalangan kamu menyumbang emas sebesar Bukit Uhud, nescaya tidak boleh menyamai secupak dan separuh yang dibelanjakan oleh kalangannya”
Menunjukkan sumbangan para sahabat yang berjuang dengan ikhlas di zaman Islam belum berkuasa memerintah negara yang melaksanakan seluruh syariatnya tidak sama dengan selepas hijrah dan tegaknya negara yang kuat berkuasa sehingga melaksanakan seluruh syariatnya.
Perhitungannya juga hendaklah merangkumi tiga aspek daripada ajaran Islam yang disoal oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah S.A.W. dikhalayak para sahabat R.A. iaitu Islam, Iman dan Ihsan yang merangkumi aqidah, syariat dan tasawuf yang diperincikan oleh Imam Malik bin Anas R.A.
من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق. ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق. ومن جمع بينهما فقد تحقق. إيقاظ الهمم شرح متن الحكم (ص: 2، بترقيم الشاملة آليا)
“Sesiapa yang bertasauf ( ilmu dari segi rohani ) dalam keadaan tidak berfeqah ( memahami aqidah, syariat dan akhlak ), dia menjadi zandiq (sebahagian kufur). Sesiapa yang berfeqah tanpa tasawufnya, dia menjadi fasiq dan barangsiapa yang mengumpulkan kedua-duanya nescaya dia mencapai hakikat ( ajaran Islam )”.
Di sinilah Allah berfirman supaya menerima dan menegakkan Islam seluruhnya, jangan menunggu untuk sedar setelah mengadap Allah pada hari kiamat nanti.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (208) فَإِنْ زَلَلْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (209)هَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا أَنْ يَأْتِيَهُمُ اللَّهُ فِي ظُلَلٍ مِنَ الْغَمَامِ وَالْمَلَائِكَةُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ (210)البقرة.
“ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam semuanya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu. Maka jika sekiranya kamu tergelincir setelah datang kepada kamu segala keterangan yang nyata (daripada seluruh ajaran Islam) maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Adakah kamu menunggu (sehingga hari kiamat) apabila Allah datang (dengan sifatnya yang tidak sama dengan makhluknya) disertai kumpulan awan dan para malaikat lalu dikendalikan (hisab dan hukuman) dalam keadaan kepada Allah dikembalikan semua perkara? ”
Begitu juga amalan Islam, sama ada urusan dunia atau akhirat, yang diletakkan syarat dan rukun pula, mestilah memenuhi setiapnya seperti amalan solat, walaupun sudah dilaksanakan 99% syarat, rukun yang wajib, sunat dan adabnya, tiba-tiba membatalkan wudu’ ketika solatnya atau meninggalkan satu rukun yang penting dengan sengajanya seperti hanya tidak mahu mengucapkan salam menamatkan solatnya, maka sembahyang itu tidak sah dan wajib ditunaikanya semula.
Begitulah juga yang menunaikan ibadat haji, walaupun 99% peratus dilaksanakan, tiba-tiba mempermainkan rukunya tanpa ditunaikan, seperti tidak mahu bertawaf di Kaabah atau berwukuf di Arafah maka hajinya kosong.
Begitulah kalau berjual beli secara paksaan tanpa reda, walaupun bayarannya 100% tetapi hukumnya kosong.
Alangkah baiknya melakukan perkara yang ringkas sahaja, tetapi menambah nilai kedudukan Islam yang sebenar seperti meletakkan Islam dalam perlembagaan negara mengikut tafsiran Al-Din daripada bahasa asal Al-Quran, bukannya agama sahaja mengikut semua bahasa yang lain yang salah maksudnya, serta melaksanakan langkah memperkasakan hukum syariat ditempatnya yang mulia sehingga mengatasi segala hukum ciptaan manusia yang bercanggah dengannya, supaya mencapai kemerdekaan yang sebenarnya daripada belenggu penjajahan yang masih ada .
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
6 Rejab 1437H / 14 April 2016M
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej