AIDCNews -27/10/16 – Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menolak permohonan qazaf Anwar Ibrahim terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.
Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar berkata undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan perbuatan liwat tidak termasuk dalam kesalahan qazaf dan ia juga tidak sama dengan kes zina.
Beliau ketika membacakan penghakiman setebal 21 muka surat itu berkata, terdapat perbezaan pendapat sama ada kesalahan meliwat boleh dimasukkan bawah kategori zina atau sebaliknya.
Katanya badan perundangan Selangor telah memasukkan kesalahan qazaf di dalam Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, namun perkataan ‘zina’ yang disebut di dalam peruntukan itu (Seksyen 36) telah ditafsirkan sebagai persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah sahaja tanpa memasukkan perbuatan liwat di dalamnya.
“Persoalannya, adakah tuduhan melakukan perbuatan liwat tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai zina berdasarkan pandangan ulama? Secara umumnya, ulama berbeza pendapat berkaitan isu ini yang mana sebahagian besar ulama menyatakan perbuatan liwat tersebut adalah termasuk zina.
“Mahkamah ini berpendapat ketiadaan perbuatan liwat dimasukkan ke dalam tafsiran zina adalah disebabkan pemilihan satu pendapat di antara beberapa pandangan tersebut. Pandangan yang diambil oleh penggubal dalam membina tafsiran zina adalah berdasarkan pandangan Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa perbuatan liwat bukanlah qazaf bahkan ia kesalahan takzir dengan alasan kedua-dua adalah perbuatan yang berbeza,” katanya sepertimana dilapor Bernama.
Ini jelasnya, penggubal undang-undang sememangnya tidak membuat sebarang kesilapan apabila membuat tafsiran sedemikian kerana penggubal telah memilih untuk menerima pakai pandangan yang dirasakan bersesuaian dengan keadaan semasa masyarakat di negara ini walaupun bukan berdasarkan pandangan Mazhab Syafie.
Sama ada mahkamah boleh meluaskan tafsiran zina tersebut, beliau berkata, kuasa seseorang Hakim Syarie pada masa ini tertakluk kepada bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepadanya.
“Jika mahkamah memutuskan kes yang bukan berada dalam bidang kuasa atau menyalahtafsirkan sesuatu peruntukan boleh menyebabkan keputusan mahkamah tersebut tidak sah dan perintah itu tidak boleh dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, bukan sahaja tafsiran zina perlu diperluaskan bagi menjaga maruah seorang individu, namun keseluruhan perkara berkaitan Mahkamah Syariah termasuklah kedudukan dan undang-undang hendaklah diperkukuhkan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan tanggungjawab mahkamah untuk berbuat demikian tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab badan perundangan di peringkat negeri atau Parlimen.
Mohamed Fouzi seterusnya berkata, sama ada mahkamah mempunyai alasan mencukupi untuk meneruskan tindakan qazaf ke atas Muhammad Shafee berdasarkan aduan yang dibuat oleh Anwar, mahkamah berpendapat di peringkat ini, aduan yang dibuat tidaklah seberat membuktikan seseorang itu bersalah dalam melakukan sesuatu perbuatan.
“Ini bermakna, pengadu (Anwar) hendaklah membuktikan sehingga timbulnya syak bahawa wujud perbuatan yang menjurus kepada satu kesalahan untuk membolehkan aduannya diterima dan saman boleh dikeluarkan kepada Muhammad Shafee. Walaupun aduan pengadu disokong dengan beberapa bukti dokumen dan saksi, namun pengadu telah gagal memenuhi elemen membabitkan bidang kuasa mahkamah.
“Pengadu juga gagal memenuhi elemen-elemen lain yang ditetapkan oleh undang-undang. Mahkamah mengakui bahawa berkata benar itu pahit namun yang pahit itu hendaklah ditelan kerana ia adalah hakikat dan realiti yang perlu diterima,” katanya.
Mohamed Fouzi kemudian menolak aduan Anwar itu berdasarkan Seksyen 76 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Anwar, Fadhlina Siddiq berkata anak guamnya (Anwar) menerima baik keputusan tersebut.
“Hakim dalam keputusannya telah menyebut secara spesifik ini adalah tugas penggubal (undang-undang), tugas Dewan Undangan Negeri untuk meminda, untuk memastikan keadilan kepada masyarakat, maka tugas ini dipulangkan kepada pihak DUN (Selangor),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej