Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, December 24, 2018

Dalil-dalil Haramnya menyertai perayaan Kuffar

Dalil-dalil Haramnya menyertai perayaan Kuffar:
1. Firman Allah S.W.T:
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
Maksudnya: dan (hamb-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.
Ini adalah ayat ke-72 surah Al-Furqan yang menceritakan sifat-sifat ‘Ibadur Rahman atau Hamba Ar-Rahman iaitulah orang mukmin sejati. Kalimah Az-Zur asalnya bermakna segala perkara batil dan dusta tetapi diperlihatkan seakan elok. Ulama’ terdapat 2 tafsiran, pertama ia adalah saksi palsu tetapi ini lemah kerana jika persaksian maka mestilah disebut: لا يشهدون بالزور- dengan adanya ba’ ta’diah dan ayat yang dibelakang menolak makna persaksian ini iaitu ‘lalu di majlis sia-sia’ dan ini merupakan tafsiran kepada Az-Zur.Pendapat yang kuat ialah pendapat kedua iaitu majlis-majlis yang terdapat kebatilan kerana majlis yang batil ini memperlihatkan kebatilan itu seakan baik.Contoh: Mengadakan konsert nyanyian dengan tujuan amal. Majlis Nyayian adalah batil namun diperlihatkan seakan ia baik dengan ditambah perkataan amal dibelakangnya. Mujahid meriwayatkan daripada Ibn Abbas makna Az-Zur ialah “Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain menyatakan ia adalah “Majlisul Ghina’ wal Ma’azif” (Majlis Nyanyian dan Muzik)[2].
Namun kedua-dua tafsiran ini saling lazim-melazimkan kerana Perayaan kuffar itu tidak lepas daripada nyanyian dan muzik kerana itulah sembahyang raya mereka dan perkara ini jelas. Jika terdapat tafsiran yang lain seperti majlis yang melalaikan dan sebagainya ia adalah tafsir bin Nau’-تفسير بالنوع-iaitu tafsir dengan jenis. Ini semisal jika seorang bertanya kepadamu, Apakah makna burung lalu engkau jawab seperti helang dan merpati. Masalah ini amat jelas dalam ilmu mantik dalam bab At-Ta’rif jadi tidak perlu dipanjangkan bicara lagi. Jadi jelas bahwa haram atas mukmin itu menghadiri perayaan kuffar kerana melanggar sifat-sifatnya sebagai mukmin.
2. Hadis-hadis Rasulullah S.A.W. yang sahih telah menyatakan haramnya:
عن ‏ ‏ابن عمر ‏ ‏قال ‏
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalah daripadanya- [Riwayat Abu Daud dalam Kitabul Libas dan Ahmad dan At-Thabrani[3]].
Hadis ini paling kurang darjatnya adalah Hasan Li Ghairih.Jadi kita tahu ada lagi hadis yang semakna dengan hadis ini.
Hadis yang kedua diriwayatkan Tarmizi:
حدثنا قتيبة حدثنا بن لهيعة عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ليس منا من تشبه بغيرنا لا تشبهوا باليهود ولا بالنصارى فإن تسليم اليهود الإشارة بالأصابع وتسليم النصارى الإشارة بالأكف
Maksudnya: Telah memberitakan kepada kami(At-Tarmizi) Ibn Lahi’ah daripada ‘Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: ” Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami,janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.
Hadis ini Hasan li ghairih[4]. Berdasarkan hadis ini ulama’ melarang mengangkat tangan apabila kita berjumpa sebagai isyarat salam[5]. Ibn Taimiyyah mengatakan sekurang-kurang Hadis Ibn Umar di atas menyatakan haram bertasyabbuh walaupun zahir hadis menyatakan murtadnya orang yang bertasyabbuh. Oleh itu tidak hairanlah jika ada ulama’ mazhab Hanafiyyah dan Malikiyyah berfatwa “murtadlah orang yang memberi hadiah lilin pada nasrani di hari krismas”.
Ibn Umar R.A. berfatwa:
من بنى بأرض المشركين وصنع نيروزهم ومهرجانهم وتشبه بهم حتى يموت حشر معهم يوم القيامة
“sesiapa yang tinggal di negeri musyrikin dan memebuat perayaan nairuz dan mahrajan mereka dan meniru gaya hidup mereka hingga mati maka dia akan dibangkitkan di hari kiamat dalam golongan mereka(musyrikin)”.[6]
Ini adalah hukum yang jelas. Ini juga jawapan kepada mereka yang berkata yang haram hanyalah menyertai ibadat mereka pada perayaan tersebut seperti masuk ke geraja. Mahrajan dan Nairuz adalah perayaan kebangsaan orang Farsi dan dikatakan di Iran sampai sekarang puak-puak syiah yang bodoh itu masih melakukannya. Ia bukan berkaitan solat dan sebagainya, Mahrajan dan Nairuz adalah seperti Tahun Baru Cina di Malaysia iaitu perayaan Kaum. Jadi jika perayaan Kaum sudah diharamkan kerana asalnya ia datang daripada kaum musyrik maka bagaimana pula dengan krismas,Depavali, Thaipusam dan Tahun Baru Masihi yang berkait langsung dengan agama.
Lebih jelas mari kita lihat hadis yang menjadi awal-awal pensyariatan Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha:
عن ‏ ‏أنس ‏ ‏قال ‏
‏قدم رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏المدينة ‏ ‏ولهم يومان يلعبون فيهما فقال ما هذان اليومان قالوا كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر ‏
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik R.A.: Telah tiba Rasulullah S.A.W. di Madinah dan bagi penduduk Madinah itu ada 2 hari yang mereka bermain dan bersuka-suka padanya lalu Baginda bersabda: apakah 2 hari ini? Mereka menjawab: Adalah kami bermain dan bersuka-suka pada keduanya di waktu jahiliah. Maka Bersabda Rasulullah S.A.W.: Sesungguhnya Allah telah gantikan tempat kedua hari ini dengan Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri.- Riwayat Abu Daud,Nasai,Turmizi dan Ahmad. Hadis ini hadis sahih.[7]

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej