Minda Presiden PAS
PILIHAN RAYA PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)
Sistem Kerajaan Tempatan ini asalnya meniru apa sahaja yang telah dilaksanakan di Britain. Setelah Malaysia mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, amalan ini masih diteruskan. Kemudiannya dibatalkan selepas mengalami gejala sosial yang negatif dan peristiwa hitam yang mencetuskan permusuhan kerana isu perkauman, dikatakan juga berlakunya jurang yang tidak saksama khususnya dalam aspek ekonomi di antara bandar dan luar bandar yang melibatkan kaum yang berbeza.
Kedengaran pula baru-baru ini, suara dan tulisan supaya diadakan semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelbagai hujah atau dalil. Ada daripada kalangan yang mahu menghidupkannya semula, alasannya untuk menghidupkan demokrasi, memperbaiki pengurusan lebih bersih dan bijak. Paling penting bagi mereka adalah untuk menjana ekonomi, kerana itu ia dijadikan akidah dan kiblat seperti agama.
Keseluruhan ideologi ciptaan manusia yang berpayungkan politik dan pentadbirannya tanpa menyentuh soal roh dan akhlak, serta tidak mempedulikan hubungan antara kaum, maka persoalan akhlak berpisah daripada agama, jauh sekali mengambil kira soal dosa dan pahala.
Kebanyakan mereka lebih bertuhankan akal semata-mata, tanpa melihat kepada segala aspek yang ada kaitan dengan kejadian manusia, khususnya aspek negatif yang boleh mengundang dengan mudah beberapa bencana, akhirnya kepayahan dihadapi dan sukar untuk menyelesaikan masalah yang bertalu-talu datang selepasnya.
Ramai di kalangan umat Islam terlupa bahawa Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan kebijaksanaannya dalam pembangunan bandar apabila menegakkan negara Kota Suci Madinah dengan berlakunya Hijrah. Perkataan 'bandar' dalam Bahasa Arab disebut Madinah, menggantikan nama sebelumnya, Yathrib atau Taibah.
Islam mentadbir penduduknya yang didiami masyarakat majmuk yang terdiri daripada kumpulan Ansar iaitu suku Aus dan Khazraj yang menganut Islam dan menerima saudara seagama yang datang berhijrah dinamakan Muhajirin. Wujud pula kaum bukan Islam bangsa Yahudi (ahli Kitab) daripada pelbagai kabilah (Bani An-Nadir, Qainuqa’, Quraizoh dan lain-lain) dan diizinkan juga dari kalangan musyrikin dan munafik.
Kaum Yahudi pula paling menguasai ekonomi. Adapun kaum lain lebih menumpukan ternakan dan pertanian. Ada juga daripada kalangan para sahabat R.A. yang berniaga, seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin ‘Auf, Saad bin Abi Waqqas, Zubair bin Awwam, Asma’ binti Abu Bakar R.A. dan lain-lain.
Langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. adalah memilih tapak masjid dan membinanya untuk menjadi pusat ibadat, ilmu dan pentadbiran, sehingga rumah Rasulullah S.A.W. bersambung dengan masjid. Seterusnya menempatkan Pasar Madinah yang menjadi pusat perniagaan mengumpulkan hasil pertanian, ternakan dan barangan lain yang dibawa oleh para musafir.
Rasulullah S.A.W. telah menyatukan masyarakat majmuk, dimulakan umat Islam daripada kalangan 'Aus dan Khazraj yang dahulunya sentiasa berperang, digabungkan dengan kalangan Muhajirin yang datang dengan semangat persaudaraan Islam.
Penduduk bukan Islam diajak hidup bermasyarakat atas sifat persaudaraan kemanusiaan sehinggalah dimeteraikan Sahifah Madinah (Piagam) yang melibatkan semua kaum yang menerima Islam untuk menjadi pihak yang berkuasa. Mereka menerima Islam untuk memerintah tanpa dipaksa menganutnya. Sebelum kedatangan Islam, berlaku perpecahan dan peperangan dalam kalangan kaum dan agama yang berbeza dan juga dalam kalangan satu kaum dan satu agama. Islam berjaya mewujudkan perdamaian dan keharmonian.
Ibnu Khaldun (784-808H / 1332-1406) yang diberi gelaran peneroka ilmu kemasyarakatan moden oleh semua ilmuwan Islam dan bukan Islam, kerana hasil karangannya yang bernama Al-Muqaddimah, dianggap kalangan ulama Islam paling hebat dan tersohor yang mendahului pemikiran pada zamannya.
Beliau menulis secara khusus berkenaan perancangan dan pembangunan bandar. Turut disentuh segala aspek kemasyarakatan yang menyeluruh, merangkumi peranan agama, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, keamanan, pertahanan dan lain-lain, bukan hanya sekadar mengurus penduduk, bangunan, perjalanan dan pasarnya sahaja, bahkan merangkumi segala aspek hubungan persaudaraan kemanusiaan.
Ini menunjukkan perlunya pembangunan bandar yang disusun kehidupan bermasyarakat, sekali gus akan mewujudkan keharmonian sesama manusia supaya bermasyarakat madani. Ini adalah perkara terpenting bagi menjamin kehidupan yang selesa bersama keamanan dan persaudaraan khususnya dalam masyarakat majmuk. Bukan sekadar mengurus bangunan rumah kediaman, sekolah, pasar raya, hotel, jalan raya, parit dan longkang dan pusat hiburan sahaja. Inilah barangkali yang difikirkan oleh kalangan yang bernafsu mahukan Pilihan Raya PBT diadakan bagi melangsungkan pusaka Barat tanpa menilai atau muhasabah dalam segala aspek.
Penjajah yang menakluk kita dahulu bukan hanya sekadar mendirikan bangunan kediaman, perniagaan, dan lain-lain di bandar-bandar yang dibangunkan oleh mereka. Dalam masa sama, mereka turut meletakkan acuan masyarakat yang akan bertembung dan bermasalah. Masyarakat luar bandar di kalangan orang India menjadi pekerja ladang yang dibawa daripada tanah jajahan, kalangan Cina menguasai kawasan perlombongan dan mengekalkan kampung-kampung Melayu serta kaum bumiputera lain yang dipencilkan di kawasan pedalaman.
Mereka juga menyusun pembangunan insan mengikut acuan mereka sendiri. Keadaan yang berbeza agama, bangsa dan budaya ini, ditambah pula perbezaan kedudukan, pendidikan, ekonomi, politik dan sosial, yang juga telah diatur mengikut acuan kepentingan mereka dalam jangka masa yang pendek dan panjang. Semuanya demi kepentingan mereka, bukannya kepentingan kita, sehingga kita menjadi masyarakat yang cacamarba.
Sejarah hitam peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia masih dikenang oleh generasi yang kini bertaraf warga tua. Mungkin yang masih muda lagi bebal atau yang tua bersikap pekak badak tidak mengambil kisah.
Peristiwa Ahok di Jakarta juga menjadi iktibar, walaupun majoriti besar penduduknya adalah umat Islam, tetapi kepentingan ekonomi dijadikan alat dan kiblat sehingga ada di kalangan umat Islam terperangkap dengan agenda subsidi umrah yang berwalikan Ahok. Mereka yang hidupnya laksana katak di bawah tempurung, termasuk di kalangan para ulama yang alim kitab kuningnya sahaja, walaupun berpengajian tinggi di atas kertas, tetapi fikirannya dikongkong pada zaman kitab itu ditulis atau berkisar di biliknya sahaja. Mereka tidak memandang ke sana dengan bijaksana untuk mengambil iktibar.
DAP yang mendukung kuat Pilihan Raya PBT hanya mengambil kira kaum Cina yang mengundinya sahaja, tanpa mengambil kira kaum dan pihak lain yang menjadi nadi dan urat saraf dalam menghidupkan bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang wajib dijaga segala hubungan dan sensitivitinya.
Adapun PKR dan PAN pula tidak berbangsa dan ada yang punya kebangsaannya, tetapi tanpa jiwa atau tidak berjantungkan agama. Kaumnya tidak berjiwa bangsa dan agama. Bangsa dan agamanya laksana jenama yang ditampal pada botol majun penguat nafsu yang menjadi syarat rukun hidup masyarakat Melayu dahulu kala dan Melayu kini yang dikatakan mudah lupa. Petandanya menjadi leka dalam usia yang terlalu muda, belum sampai setahun jagung. Sudahlah UMNO pula mengalami kelumpuhannya yang berusia tua dan berpenyakit kerana panjang usia memerintah.
Berfikirlah dengan matang dan sejahtera bersama Islam, tanpa paksaan menganut agama dan menukar bangsanya, demi keselamatan semua dan masa depan generasi akan datang.
Jangan sekadar mentadbir bandar dengan bangunannya tanpa pembangunan manusia yang bersopan dan bersaudara. Jangan sekadar membangun bandar yang banyak duit daripada sumber apa sahaja, termasuk duit haram, seperti cukai rumah urut, pelacuran dan bayaran untuk gengster dan kongsi gelap. Semuanya akan menempah kehidupan yang cerah untuk sementara waktu dan selepasnya bergelap sepanjang waktu.
Alasannya juga kerana terdapat sebanyak 101 daripada 192 buah negara di dunia yang mengadakan Pilihan Raya PBT. Oleh kerana Malaysia berada dalam dunia, maka wajiblah mengikut alam dunia itu sehinggalah berlakunya Kiamat Kubra.
Jika diluluskan, Pilihan Raya PBT hendaklah diadakan di seluruh Malaysia, sama ada secara serentak atau berperingkat. Beberapa pindaan akta diperlukan. Dikatakan juga, mungkin lebih meriah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) sedia ada, tetapi dalam kemeriahan itu banyak berlaku perkara sebaliknya.
Mengikut perhitungan kasarnya, kaum Melayu atau Bumiputera sekadar menguasai bandar seperti Baling di Kedah, Gua Musang di Kelantan, Kuala Berang di Terengganu, Tembeling di Pahang, Lubuk Antu di Sarawak dan sebagainya. Keputusannya sekadar untung seguni ubi, ruginya pula berhutang dengan bank yang tidak mampu dibayar dengan nilai seguni ubi dan boleh berundur daripada tapak rumah dan tapak ubinya sehingga melarikan diri ke hutan rimba dan sebagainya.
Adapun DAP dan PKR serta yang sewaktu dengannya akan menguasai Bandar Raya Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Kota Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang dan sebagainya. PKR boleh menumpang sementara waktu dan PAN dapat menumpang semangkuk dan akan hilang waktunya.
Apabila adanya berita bahawa Perdana Menteri menolak diadakan Pilihan Raya PBT, ia menjadikan ada yang terkejut meracau, namun keadaannya:
Parti Bersatu terbuka hati,
UMNO dan BN berkecil hati,
DAP sakit hati,
PKR luka hati,
PAN pula buta hati,
Adapun PAS sentiasa berhati-hati.
UMNO dan BN berkecil hati,
DAP sakit hati,
PKR luka hati,
PAN pula buta hati,
Adapun PAS sentiasa berhati-hati.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rabi’ul Akhir 1440 / 21 Disember 2018
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej