Dr Yusuf Al-Qardhawi berkata di dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah :
“Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah dari sudut politiknya iaitu intipati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini sebagaimana yang ditekankan oleh Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini demikian kerana Islam menolak dan mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan jemaah.
Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar :{Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu.[1]}
Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.”
Berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan berkenaan bid’ah dan kewajipan memegang sunnah merupakan perkara yang disepakati oleh ulama. Sistem demokrasi walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW namun ia bukanlah menjadi hujah ia tertolak. Hal ini demikian kerana, bid’ah yang terlarang adalah yang bercanggah dengan Islam. Demokrasi membawa ke arah kebebesan bersuara dan hak sama rata dan ia tidak bercanggah dengan Islam.
Disebabkan itu, alasan “apa yang Nabi SAW tidak pernah lakukan” bukanlah hujah.. Bahkan Islam tidak melarang untuk mempraktikkan sesuatu teori atau teknik (dalam konteks urusan keduniaan) daripada orang bukan Islam. Dalam peperangan Khandak, sistem parit adalah hasil idea daripada Farsi. Bahkan selepas peperangan Badar, Nabi SAW menyuruh setiap tawanan Badar untuk mengajar menulis dan membaca akan 10 kanak-kanak Islam di Madinah. Saidina Umar di zaman pemerintahannya juga melaksanakan sistem jabatan dan cukai melihat kepada kerajaan dunia yang lain. Maka inilah yang disebutkan sebagai “Kebijaksaan tersebut adalah barang hilang kepunyaan orang mukmin, maka sesiapa orang Islam yang mendapatinya maka ia (orang Islam) lebih berhak untuk menggunakannya.” – Fatwa Syeikh Ali Jumaah dalam kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, ms – 93-95
sistem demokrasi di dalam Islam mestilah bukan sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak Barat iaitu sehingga melampaui had syara’. Maka selagimana demokrasi yang diamalkan dari sudut politik dalam mengadakan pilihanraya yang adil dan telus untuk memberikan rakyat menilai dan membuat pilihanuntuk memilih wakil mereka, maka ia tidak bercanggah dengan syara’. Hal ini dikuatkan lagi apabila demokrasi yang ada pada hari ini adalah :
1- Menolak sistem diktator atau pemerintahan ala firaun yang menggunakan kuasa yang sewenang-wenang dengan menzalimi rakyat.
Maksud daripada firman Allah dalam surah Al-Qasas pada ayat ke-4 :
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas satu puak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”
2- Pilihan adalah berdasarkan keputusan suara majoriti. Ia merupakan konsep syura dalam membuat sesuatu pilihan.
3- Pemerintah yang dipilih merupakan pilihan majoriti rakyat. Pemerintah yang dikasihi dan diredhai oleh kebanyakkan rakyat.
Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :
“3 golongan yang tidak diteriman solat mereka : lelaki atau satu kaum yang mereka ini dibenci, wanita (isteri) yang dimuraki oleh suaminya dan dua saudara yang bermusuh-musuhan.” – Ibnu Majah no 971
Berdasarkan hadis di atas, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebut, maka apabila seseorang yang dipilih untuk menjadi imam solat hendaklah ia disukai oleh para makmumnya supaya solat yang diimami tersebut diterima. Justeru, penjagaan ini dalam konteks imam solat, maka lebih-lebih lagi dari konteks pemerintah negara, ia mestilah disukai dan disenangi oleh rakyatnya.
Nabi SAW bersabda :
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan merekan dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” – Muslim no 1855
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej