PRESIDEN PAS JAWAB ISU BABI DAP
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
JASIN: Konsep pemerintahan yang akan dilaksanakan oleh PAS adalah mengikut Islam dengan memberi kesejahteraan dan menjamin hak kepada semua rakyat tanpa ada sebarang unsur paksaan mahupun penindasan, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, ia sebagaimana model pernah dilaksanakan Rasulullah SAW di Madinah yakni berbeza dari pemerintahan agama lain yang menggunakan kuasa untuk bertindak atau menindas penganut ajaran selainnya seperti pernah berlaku dalam sejarah.
Jelasnya, pemerintahan Yahudi menindas dan membunuh penganut Kristian, manakala pemerintah Kristian bertindak ke atas penganut Yahudi dan sebagaimana juga pemimpin Musyrikin Quraisy yang berkuasa zalim kepada kalangan manusia lain.
Sedangkan Islam menurut beliau, mewajibkan umatnya berdakwah kepada manusia lain dan tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam sekiranya mereka enggan, sebaliknya mereka dinaungi di bawah pemerintahan Islam agar menerima prinsip dan konsep negara.
“Agama mereka, itu masing-masing. Malangnya takut pada Islam dan ditakut-takutkan. Yang terkini dijaja pula pasal kenyataan kononnya saya menghina orang Cina, jangan jadi gembala babi DAP. Apa makna? Kena faham, bila Islam memerintah, Islam tak halang orang Cina pelihara babi. DAP nak buat ladang babi untuk Cawangannya, silakan, tak halang.
“Tapi jangan sampai bawa penyakit pada orang lain. Jangan jadikan orang Melayu gembala babi, tak boleh dan ini kena faham. Ini maknanya yang mesti kita faham. Jangan jadikan ini isu untuk menajamkan hubungan antara satu sama lain. Tetapi sengaja nak diapi-apikan,” jelasnya ketika menyampaikan ceramah umum di Simpang Kemendor, di sini 21 Mei lalu.
Sambung Tuan Guru lagi, Allah SWT meletakkan acuan negara dengan kalimah “aqamussolah” menunjukkan pemimpin negara itu mereka mempunyai hubungan dengan Tuhan, mendirikan solah, tahu dosa pahala yakni bukan ketika solat sahaja, tetapi juga dalam berpolitik, berekonomi dan dalam semua urusan.
Tegasnya, PAS akan membawa pemerintahan yang mengikat manusia serta urusan dunia dan akhiratnya dengan Allah SWT tanpa terpisah antaranya kerana Islam adalah ‘ad-deen’ yakni cara hidup meliputi segala perkara.
“Sesungguhnya solatku, hidupku, matiku, semata-mata untuk Allah. Jangan anggap solat hubungan kita dengan Tuhan, (tetapi) masa berpolitik memerintah negara boleh rasuah, masa meniaga menipu, dapat duit banyak pergi haji buat umrah (selesai masalah). Bukan begitu,” ujarnya membetul kefahaman.
Beliau juga menerangkan mengenai ayat Quran berkaitan zakat di dalam pemerintahan di mana ia merujuk kepada pelaksanaan konsep ekonomi dalam Islam antaranya mengambil lebihan pendapatan dari mereka yang mampu lalu diagih kepada golongan tidak berkemampuan.
Jelasnya, apabila pemerintahan Islam kian berkembang, barulah muncul cukai jizyah dan kharaj tetapi dilaksanakan dengan prinsip zakat, di mana berbeza sama sekali dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kini.
Tuan Guru turut mengungkap keruntuhan dan kegagalan idealogi pemerintahan lain di dunia serta berubahnya mereka kepada dasar dan sistem lain dalam berkerajaan termasuk oleh kuasa besar.
Malangnya, negara ini menganut idealogi dan sistem yang gagal itu peninggalan penjajah itu menyebabkan berlakunya pelbagai masalah dan gejala, kerana tidak mengikut petunjuk Allah iaitu melaksanakan pemerintahan Islam, sedangkan negara ini kaya dengan pelbagai hasil dan sumber tenaga manusia.
Sebaliknya kesali beliau, apabila PAS melaksanakan pemerintahan di Kelantan dan Terengganu dengan membawa kepentingan Islam Melayu, telah dikepung dan disekat serta dirampas hasil, sedangkan kepada Sabah dan Sarawak tidak dibuat sedemikian.
“Kerana, (ikut) guru mereka Barat tidak benar Islam untuk dilaksanakan. Parti Islam menang di Algeria dibatalkan, di Mesir dibatalkan. Hasadnya mereka pada Islam. Termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat takut kalau Islam dilaksanakan. Ini merupakan sempadan yang tidak boleh kita tolak ansur.
“Kita ikhlas hendak tegakkan Islam. Kerjasama kita dengan semua pihak dalam perkara fleksibel, tidak sentuh akidah dan dasar perjuangan, kita tidak paksa orang lain ikut kita, tetapi beri kita peluang laksanakan pendekatan kita,” pohonnya.
Beliau mengimbas pelbagai usaha dilakukan PAS semasa memerintah Terengganu dan Kelantan untuk kebaikan negeri dan rakyat, namun dilakukan pelbagai tindakan bersifat halangan dan permusuhan.
Menurut Tuan Guru, walaupun PAS menerima konsep federalisma, tetapi selepas pilihan raya PAS tetap juga dijadikan sasaran berlawan, menyebabkan perlu rakyat melakukan perubahan melalui konsep demokrasi.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1073477799384165&id=100001658660557
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej