Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, May 29, 2016

Pindaan Akta 355 martabat Kanun Jenayah Syariah (II)

Pindaan Akta 355 martabat Kanun Jenayah Syariah (II)

AKTA 355 MEMARTABATKAN KANUN JENAYAH SYARIAH KELANTAN

Sejak 23 tahun yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah dengan meluluskan suatu enakmen yang dinamakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 pada bulan November tahun 1993.

Usaha ini dilakukan secara berterusan walaupun tidak dibenarkan oleh Kerajaan Pusat ketika itu sehingga Kerajaan Negeri membuat sambutan Hari Hududullah setiap tahun bagi memberi penerangan kepada rakyat tentang keindahan hukum Allah.

Kerajaan Negeri kemudiannya sekali lagi membuat pindaan kepada enekmen tersebut dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac 2015 bagi beberapa pindaan dan bertujuan mempermudahkan laluan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah setelah usul persendirian dibawa ke Parlimen.

Maka dengan kelulusan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pindaan Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam di Dewan Rakyat akan lebih memberi laluan selepas ini untuk Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dapat dilaksanakan.
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang di atas usahanya membawa usul ini ke Parlimen.

Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, RUU Persendirian Pindaan Akta 355 yang dibawa pada kali ini berjaya dibentangkan setelah dua kali tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada tahun lalu.

Saya berharap agar perbahasan untuk RUU Persendirian Pindaan Akta 355 pada sesi Dewan Rakyat akan datang dapat dipermudahkan dan disokong oleh seluruh Ahli Parlimen beragama Islam.

Insya Allah Negeri Kelantan akan menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan undang-undang jenayah Islam hanya kepada pesalah daripada kalangan orang Islam sahaja.

Masyarakat bukan Islam tidak perlu takut dan memandang sinis dengan agenda pelaksanaan ini kerana undang-undang ini sedikitpun tidak melibatkan non muslim.

Saya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Pusat dan Speaker Dewan Rakyat yang memberi laluan mudah untuk RUU Persendirian tersebut dibentangkan.

Semoga usaha semua pihak tanpa mengira parti untuk menegakkan hukum Allah ini diganjari dengan sebesar-besar ganjaran. Wallahu Waliyyul Taufiq.

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej