Menangis aku baca tulisan ni....
~~~~~~~~~~~~~~~
Sekali Serban Dililit. 51
*Baca Al Quran ! Jangan baca Facebook *......
_Oleh : Nasrudin bin Hassan_
1. Pernah seketika saya mengadap Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden parti untuk memberi taklimat mengenai sikap dan pandangan awam terhadap PAS khasnya Presiden sendiri yang dilihat tegas untuk membawa Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 ke Parlimen.
2. Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari facebook, twitter, whatsapp group dan lain- lain media sosial termasuk media konvensional. Sebahagian mendakwa PAS telah ditipu oleh UMNO dan BN, sebahagian mendakwa PAS akan menyertai UMNO dan BN, sebahagian menganggap PAS salah langkah politik sehingga menyebab PAS akan terpinggir dari arus perdana tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah PAS membawa RUU Ahli Persendirian ke Parlimen.
3. Reaksi Tuan Guru Presiden sangat tenang. Setelah mendengar report dan celoteh saya mengenai respon yang pelbagai terhadap sikap dan pendekatan PAS, bukan sahaja mengenai Pindaan Akta 355 tetapi juga Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan oleh beliau, Tuan Guru Presiden hanya mengulas sepatah ayat, *Anta baca Al Quran ! Jangan baca facebook.*
4. Saya terdiam sambil mengangguk untuk membenarkan ulasan ringkas Tuan Guru Presiden tanpa memahami secara mendalam apa yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Presiden. Apa yang terlintas dalam benak saya ialah Tuan Guru Presiden tidak berminat untuk layan dan respon segala caci maki dan kritikan sinis dari facebook dan media sosial sebaliknya mahu terus menumpukan perhatian kepada agenda perjuangannya.
5. Seminggu kemudian, berlangsung mesyuarat bulanan PAS Pusat. Sebagaimana lazim, mesyuarat ini dimulakan dengan Usrah AJK PAS Pusat selama satu jam. Rupa-rupanya ahli usrah yang lain turut membangkitkan perkara serupa, betapa facebooker dan pengamal media sosial yang lain sebahagiannya mengecam PAS bertali arus dan mereka mahu mendapatkan respon balas dari Tuan Guru Presiden.
6. Sewaktu merumus perbincangan usrah pada waktu itu, sekali lagi Tuan Guru Presiden menegaskan, *kita kena baca Al Quran ! Jangan baca facebook saja !* Cuma bezanya kali ini, Tuan Guru menghurai panjang maksud penegasan beliau bagi memahamkan ahli Usrah yang hadir.
7. Baca Al Quran ! Al Quran tidak ada akaun palsu. Al Quran adalah benar ! Al Quran adalah kalamullah. Al Quran adalah Mukjizat Nabi saw. Al Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat. Allah swt perintah kita dalam Al Quran supaya laksanakan hukum hakamNya :
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
_Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik._
Surah Al Maaidah : 49
8. Justeru itu kita tiada pilihan lain. Kita kena perjuangkan Islam sehingga syariatNya tegak di bumi bertuah ini. Jangan ikut rentak mereka yang tak faham Islam. Jangan ikut jejak mereka yang menentang Islam. Ini yang ditegaskan oleh Allah swt dalam Surah Al Maaidah Ayat 49 ini. Sejumlah mana mereka di facebook atau media sosial, jika mereka menentang Islam, jika mereka tidak faham Islam, kamu jangan ikut mereka ! Ini arahan Allah swt ! *Baca Al Quran tu !* Tegas Tuan Guru Presiden. Allah swt sebut :
و لا تتبع أهوائهم
_"Jangan engkau ikut hawa nafsu/kemahuan mereka."_
9. Kita baca facebook, orang dalam facebook kata macam - macam. Sebahagiannya adalah fake account yang memang dicipta untuk menyerang PAS. Kita kena faham perancangan musuh. Mereka mahu cipta persepsi bahawa kita salah, kita lemah, kita bodoh dan macam - macam lagi. Ini perancangan musuh ! Kita kena sedar ! Sebab itu kita kena baca Al Quran. Allah swt sebut dalam Al Quran :
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ
_Oleh itu, laksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt dan janganlah menghiraukan bantahan dan tentangan golongan musyrikin itu._
Surah Al Hijr : Ayat 94
Kita pejuang. Kita laksanakan apa yang Allah swt perintah. Usah peduli apa orang nak kata kepada kita asal saja kita betul betul melaksanakan apa yang Allah swt suruh kita laksanakan.
10. Sewaktu kita mahu melaksanakan perintah Allah swt, lalu ada orang melahirkan kebimbangan kalau - kalau PAS ditipu. Malah ada yang mendakwa PAS telah ditipu oleh musuh. Jika kita membaca Al Quran, Allah swt telah jawab kebimbangan ini. Baca facebook, kita tidak jumpa jawapan terhadap persoalan ini. Semua bimbang, semua tuduh kononnya PAS kena tipu . Dalam Al Quran Allah swt telah jawab lebih 1400 tahun yang lalu :
وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ
_Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman._
Surah Al Anfaal : Ayat 62
*Baca Al Quran ! Jangan baca facebook saja !* Tegas Dato' Seri Tuan Guru Presiden mengakhiri rumusan usrah kami waktu itu.
Sekian
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1280424901982274&id=100000443298985
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej