*Teks Ucapan Perbahasan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat*
ketika membahaskan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen pada 11 Oktober 1984, Jam 4.48 ptg.
_Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat (Pengkalan Chepa):_
Tuan Yang di-Pertua,
berhubung dengan Rang Undang-undang yang dikemukakan sekarang iaitu Rang Undang-undang Pindaan seksyen 2 Akta 23 tahun 1965, saya ingin menyebut sedikit pendahuluan iaitu bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang dikemukakan oleh Tuhan yang sama dengan Tuhan yang mencipta manusia. Islam itu telah mengadakan kaedah- kaedah untuk menjaga keselamatan kira manusia.
Di antara kaedah-kaedah dan peraturan yang diciptanya ialah denda dan hukuman yang mesti dikenakan ke atas hamba-hambaNya yang bersalah. Bersalah mengikut nilai dan kaca mata ajaran Allah dan syariatnya. Mengikut Islam maka denda dan pembalasan yang dikena ke atas pesalah itu adalah dibahagi dua.
Satu diberi nama "al-hudud", yang kedua diberi nama "al-takzirat",
"Al-hudud" bererti hukuman yang ditetap oleh Allah dan Rasulnya dan dia merupakan perintah tetap yang mesti dipatuhi, tak ada siapa yang boleh berdalih dan berdolak dalik kerana kuasaNya yang mutlak sebagai pencipta ataupun Al-khaliq maka kita sekelian bersama isi alam yang kena jadi dan kena cipta ini tidak ada pilihan lain kecuali terima dan patuh kerana kita menjadi hak kepunyaanNya. Dia berhak menghukum dan memerintah ke atas
kita apa sahaja hukuman yang ditentukanNya.
Yang satu lagi yang diberi nama al-takzir iaitu hukuman-hukuman yang Allah berikan kita peluang untuk mengurus dan mengaturnya sendiri asalkan tidak lari dari tujuan mengawal dan menjaga muslihat lima perkara yang telah ditetapkan, iaitu akal fikiran, nasab atau titih barih, harta benda, agama dan maruah atau disebut air muka.
Tuan Yang di-Pertua,
saya katakan mukadimah ini sebagai mukadimah penting sebagai melahirkan tidak setuju saya yang amat sangat terhadap ucapan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu membentangkan Rang ini.
Beliau menyebut di halaman 68, walaupun Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui usaha-usaha agama seperti dakwah, ceramah-ceramah agama dan penerangan-penerangan berhubung dengan Agama Islam, namun kes-kes kesalahan jenayah terus berlaku.
Dari kata-kata itu bolehlah difahamkan bahawa kerja mendenda dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah itu bukan usaha agama bahkan yang disebut sebagai usaha agama itu hanya berkisar di atas dakwah, ceramah dan penerangan- penerangan berhubung dengan agama.
Sedangkan menjatuhkan denda dan hukuman juga adalah agama sepertimana yang disebut sekejap tadi.
Tuan Yang di-Pertua,
Rang pindaan yang kita bahaskan ini walaupun tidak disenaraikan butir-butir jenayah dan kesalahan yang akan dipergunakan Rang ini untuknya tetapi pada hemat saya tentunya terdiri dari hanya denda-denda kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam lingkaran altakzir sahaja, bukan al-hudud yang tidak boleh dipinda-pinda itu sekalipun negara kita masih meminda-mindanya.
Tuan Yang di-Pertua,
mengikut apa yang diketahui umum bahawa mana- mana kesalahan atau jenayah itu tidak akan dapat disekat dan tidak akan dapat dihapuskan dengan hanya penggunaan undang-undang sahaja kecuali serentak dengan itu disertakan sama usaha-usaha untuk menyekat dan menghapus semua sumber-sumber yang dikira boleh menjadi punca bagi berlakunya kesalahan dan jenayah tadi kerana Islam itu sendiri bergerak secara "syumul" sepertimana yang kita lakukan ke atas penghisap- penghisap dadah, dengan erti bukan sahaja orang yang menghisap dadah itu kita kenakan hukuman berat sampai mati, tetapi kita kenakan juga ke atas yang mengedar dan memproses dadah ataupun sebagainya, mereka pun kita kenakan hukuman berat juga sampai mati.
Lepas itu kalau juga berlaku, bolehlah disebut luar dari ikhtiar kita. Begitu jugalah keadaan kita sekarang,
kesalahan khalwat, rogol, mengajar ilmu salah dan sebagainya selagi undang-undang sahaja kita pindakan
dan hukuman sahaja yang kita beratberatkan, tetapi punca khalwat dan berdua-duaan secara bebas seperti yang ada semakin ketara wujudnya sekarang melalui perfileman, persuratan, nyanyi-nyanyian yang mengandungi senikata yang menghairah tambahan pula dengan video-video lucah, selagi punca-punca dan sumber-sumber kesalahan ini tidak dipinda selaras dengan pindaan Rang Undang-undang ini maka kejayaan yang diharap-harapkan adalah kabur dan tidak akan sampai ke mana-mana.
Untuk mencegah ajaran-ajaran palsu dan ilmu salah misalnya terdapat negeri-negeri yang tidak membenar langsung pensyarah-pensyarah agama yang bukan sebulu untuk memberi syarahan agama ditempatnya walaupun mereka datang dengan nama kumpulan yang dikenali tidak melibatkan diri dengan mana-mana pertubuhan yang diragui.
Akhirnya rakyat setempat terpaksa hidup dalam masyarakat terkurung dan dengan sendirinya mereka akan
senang sahaja menerima apa sahaja ajaran didedah dan diajarkan kepada mereka walaupun gurunya mendakwa
dirinya sebagai "Saidina Ali" atau wali Allah dan sebagainya.
Saya minta supaya dibebaskan rakyat dari sekatan-sekatan mencari ilmu, berilah peluang kepada mereka mendengar, mengkaji dan bersoal jawab dengan mana-mana pensyarah, mana-mana penceramah yang berlandaskan Quran dan Hadis dengan sepenuhnya kerana itulah sahaja ajaran yang sebenar.
Kalau peluang yang begini masih dikenakan syarat-syarat yang ketat di bawah bermacam-macam nama dan istilah maka kesan dari undangundang ini bukan sahaja tidak sampai ke mana-mana tetapi tambah menebalkan lagi kurungan dan pemisahan di antara masyarakat dan aktiviti ilmiah yang sebenar.
Tuan Yang di-Pertua,
akhir kata saya minta dengan pindaan-pindaan seperti ini tidaklah hanya setakat atau sekadar membawa taraf Mahkamah- mahkamah Syariah yang ada sekarang akan setanding dengan Mahkamah-mahkamah Majistret sepertimana kenyataan yang dibuat oleh pembentang Rang ini tetapi sepatutnya Yang Berhormat itu membuat kenyataan bahawa pindaan ini boleh menyatukan dua jenis kehakiman yang sedang berjalan sekarang, sivil dan syariah supaya menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah sahaja.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej