[BICARA NEGARAWAN MUDA]
REVOLUSI PERANCIS, NAPOLEON BONAPARTE & COUP D'ETAT: PENGAJARAN BUAT AHLI SIASAH
Oleh: Abu Ubaidah
Saya pernah mendengar Tuan Guru Presiden mengutarakan tentang beberapa revolusi dalam sejarah peradaban moden; Revolusi Perancis, Iran, Amerika serta Revolusi Rusia. Pada asalnya saya hanya mendengar sepintas lalu tanpa mengetahui kandungan sebenar perkataan yang disebut. Hasil daripada sedikit pembacaan, saya dapati banyak iktibar yang boleh diambil.
Artikel ini, walaupun sedikit panjang, tetapi boleh memberikan sedikit pengajaran buat ahli-ahli yang suka mengkaji, membaca dan membuat refleksi demi tindakan pada masa hadapan.
Seperti kebiasaannya, setiap revolusi mempunyai puncanya. Revolusi Perancis pula bermula dengan beberapa faktor penting. Hasil daripada sebuah pemerintahan yang tidak peka dengan kesusahan masyarakat, serta sistem pengutipan cukai yang tidak terurus rapi, negara Perancis pada tahun 1779 itu berhadapan dengan krisis fiskal berbahaya yang akhirnya membawa kepada kegagalan ekonomi negara.
Di dalam kekalutan tersebut, pemerintah cuba untuk mencari jalan penyelesaian mudah dengan menyerang negara jiran Austria dalam usaha untuk menakluk dan mendapat hasil bumi yang banyak. Walaupun pada awalnya gagal, namun di dalam peperangan tersebut lahirnya seorang leftenan muda berbakat besar Napoleon Bonaparte.
Sementara Napoleon berjuang menentang musuh di luar pesisir Perancis, konflik politik dalaman yang semakin meruncing akhirnya menyebabkan Napoleon Bonaparte bertindak untuk melakukan satu rampasan kuasa, ataupun lebih dikenali kini sebagai Coup d’etat di dalam bahasa Perancis. Maka bermulalah kisah Maharaja Napoleon dan pengakhiran sebuah revolusi.
Apakah pengajaran bernilai yang boleh diambil?
Jelas bahawa sebuah pemerintahan yang zalim, kebiasannya akan mengakibatkan revolusi apabila rakyat benar-benar dalam keadaan terdesak. Pada ketika itu, Perancis dilanda dengan kemunculan public spheres, satu terma yang merujuk kepada tempat masyarakat berbual dan membincangkan tentang isu-isu semasa. Contoh public spheres yang terdapat dalam kehidupan kita hari ini adalah seperti kedai kopi, forum perdana, debat awam dan universiti-universiti. Ini lantas menyebabkan pembinaan idea-idea dan corak pemikiran baru masyarakat yang berkembang dengan pantas.
Yang demikian disebut sebagai satu zaman Enlightment. PAS sebagai sebuah Government-in-waiting perlu memastikan bahawa ia terlibat sama di dalam public spheres ini dalam usaha untuk memastikan ia benar-benar dapat merasai nadi rakyat yang terbeban. Kegagalan dan kesilapan raja Perancis King Loius IV dan isterinya Marie Antoinette yang hidup di Versailles, sedikit jauh daripada Kota Paris, menyebabkan rakyat mula untuk melupakan mereka sedikit demi sedikit, lalu tertarik kepada idea-idea baru Enlightment yang dibawa oleh Immanuel Kent serta Maximillion Robespierre.
Juga, kegagalan golongan bangsawan untuk melibatkan diri di dalam perbincangan isu-isu penting negara telah menjauhkan mereka jauh daripada rakyat. Kegagalan PAS untuk bersama-sama duduk berbincang bersama rakyat pula akan membawa rakyat lebih jauh daripada idea Islam sebagai panduan hidup, akhirnya terpengaruh dengan pemikiran songsang yang dilihat agung.
Yang kedua adalah pengurusan ekonomi yang baik. Perancis yang telah membiayai Revolusi Amerika yang turut berlaku sekitar zaman yang sama, serta telah melalui Perang Tujuh Tahun, akhirnya berada di ambang krisis ekonomi kerana jumlah hutang negara yang begitu besar.
Kegilaan utama sistem percukaian Perancis pada ketika tersebut adalah hasil daripada suatu idea bahawa golongan pemerintah adalah mereka yang terpilih oleh Tuhan, ataupun dikenali sebagai Ancien Regime. Keistimewaannya adalah, mereka tidak perlu untuk membayar satu sen pun kepada perbendaharaan negara, malah membebankan keseluruhan perbelanjaan negara kepada golongan bawahan yang perlu membayar cukai tinggi.
Maka King Louis melantik Jacques Necker, seorang ahli bank asing daripada Swiss untuk mengurus belanjawan negara. Necker, yang melihat pengurusan cukai yang regresif di dalam Perancis, cuba untuk mengusulkan satu reformasi cukai terhadap golongan bangsawan dan pemerintah. Ini ditentang hebat oleh ahli-ahli parlemens yang menganggap Necker cuba untuk mengambil harta mereka, seterusnya membuang Necker dan menggantikan beliau dengan seorang negarawan lain Charles Alexander Calonne, yang akhirnya turut dibuang sekali lagi.
Mengelakkan kezaliman adalah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itu adalah sifat yang diambil oleh PAS sepanjang masa. Apabila seseorang pakar mengutarakan pendapat beliau, hendaklah dihormati pendapat tersebut dengan sebaiknya, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip asas yang diperjuangkan PAS. Dalam hal ekonomi, soal menjuarai isu ini adalah dengan mendengar dengan teliti keluhan rakyat, selain mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk menyelesaikan masalah rakyat. Dalam menyelesaikan perkara tersebut, kita hendaklah pula berpandukan ilmu yang tinggi dengan panduan mereka yang ahli dan bukannya bertindak semberono dan terburu-buru, lalu akhirnya memakan diri.
Keempat, budaya penulisan dan penerangan pula menjadi faktor penting dalam memberikan kefahaman kepada rakyat. Kadang kala ada di antara kita yang berfikir bahawa apa guna menulis, sedangkan tidak ramai rakyat yang akan membaca idea yang dibawa. Di dalam konteks revolusi ini, penulisan oleh Jean Paul (L’Ami du peuple), Jacques Pierre (Le Patriote francais) serta Camille Desmoullins (La France libre) telah melontarkan idea pembebasan masyarakat dan reformasi sosial. Penulisan-penulisan sebegini akhirnya membangkitkan semangat masyarakat serta telah menangkap pemikiran tokoh-tokoh seperti ahli saintis dan matematik Jean Sylvian Bailly, yang akhirnya dilantik sebagai datuk bandar pertama Paris. Ini hebatnya sebuah idea yang bertulis.
Bukankah kita juga mempunyai pengalaman yang sama melalui buku-buku penulisan sebelum kemerdekaan 1957 dahulu? Penulisan artikel oleh golongan cerdik pandai di ambang kemerdekaan dahulu telah pun sebenarnya membentuk sebuah revolusi pemikiran di dalam masyarakat.
Sementara itu, dalam kegawatan dan keceleruan politik, seorang leftenan muda mula bersinar. Beliau adalah seorang ahli strategi yang bijak. Napoleon Bonaparte cekap menguruskan tenteranya, dan telah memenangi beberapa siri peperangan penting. Pada masa yang sama beliau adalah penyokong tegar revolusi tersebut kerana sikap tidak puas hati beliau terhadap golongan bangsawan.
Selepas peperangan Trafalgar, melihatkan kepada keadaan negara yang berada di dalam krisis, Napoleon merancang sebuah Coup d’etat, lalu menjadi Konsul Pertama negara tersebut. Keseluruhan revolusi tersebut telah menumpahkan begitu banyak darah insan yang tidak berdosa, semuanya berpunca daripada sebuah tadbir urus yang tidak rapi dan tidak mempunyai ehsan. Menyusahkan rakyat, lalu akhirnya rakyat bangkit menentang kezaliman.
Sejarah Islam pernah menceritakan tentang kepahlawanan panglima Usamah bin Zaid yang menjadi komander dalam umur 18 tahun. Tetapi di zaman yang berbeza, bakat Napoleon sememangnya tidak boleh dinafikan. Kehebatan beliau terutamanya di dalam bidang penyusunan artileri telah menyebabkan beliau diangkat sebagai seorang komander perang dalam usia yang muda. Brigadier Jeneral pada usia 24 tahun, Panglima Tentera Darat dan Laut Perancis pada usia 26 tahun serta mengalahkan musuh negara Austria pada usia 28 tahun!
Dalam membuat refleksi, PAS hari ini mempunyai bakat-bakat yang hebat. Bakat ini, yang diharapkan ikhlas berkerja, perlulah diletakkan di tempat yang sepatutnya supaya mereka boleh menembusi dinding-dinding yang sukar ditembusi serta menjadi pemandu kepada ahli yang lain. Bayangkan jika Napoleon tidak diberikan peluang untuk beraksi serta tidak diangkat posisi beliau dengan sebaiknya oleh France Committee of Public Safety (kementerian pertahanan), mungkin sekali sejarah Perancis dan sejarah dunia akan berubah dengan begitu mendadak. Demikianlah, kepentingan untuk meletakkan sesuatu keupayaan itu pada tempat yang sepatutnya.
Sudah tentu saya mengharapkan agar PAS mempunyai nilai-nilai pentadbiran yang murni, serta mampu untuk memandu rakyat ke arah kesejahteraan yang benar-benar ideal. Untuk mencapai hasrat ini, rakyat mestilah dijaga dengan rapi daripada sudut ekonomi dan rohani. Turut penting adalah untuk membangunkan bakat-bakat penting di dalam organisasi yang ikhlas berjuang. Moga kita terus istiqamah bersama InsyaAllah.
----------------------------------------
Penulis merupakan pelajar perubatan di sebuah universiti di UK. Beliau dan rakan-rakan melihat PAS berkemampuan besar untuk memacu negara ke arah yang lebih baik dan membina Malaysia yang lebih aman dan sejahtera untuk generasi yang akan datang,
#profesionalistiqamah
#MembinaMalaysiaSejahtera
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej