KAHERAH, Khamis – Debat secara langsung menerusi sebuah stesen televisyen Mesir semalam, menyaksikan seorang imam kontroversi dan sekular dipukul dengan kasut oleh seorang peguam yang juga ahli panel, ketika pertikaian berkaitan undang-undang Islam.
Pergaduhan tercetus ketika debat mengenai tudung kepala, di mana imam dari Sydney, Australia, Mostafa Rashid berpendapat pemakaian tudung kepala adalah lebih kepada budaya tradisi daripada tanggungjawab terhadap agama.
Peguam Mesir yang juga ahli panel, Nabih al-Wahsh membantah dengan keras pendirian Mostafa.
Sambil menyaksikan kedua-duanya mula mengeluarkan kata-kata yang menghina peribadi, Nabih membuka kasutnya dan mula menyerang dan memukul Mostafa.
Kakitangan produksi dilihat cuba memisahkan dan mententeramkan kedua-duanya sebelum Mostafa memungut barangnya dan meninggalkan studio.
“Ia adalah satu pergaduhan yang disaksikan secara percuma di dalam studio. Saya tidak menjangkakan perkara sebegini boleh berlaku ketika siaran langsung,” kata pengacara Mohammed al-Ghaiti kepada penonton sambil meminta maaf apa yang dilakukan oleh tetamunya.
Katanya, beberapa kakitangan produksi cedera.
Mostafa yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang teologi Islam dari Universiti al-Azhar dikenali dengan pandangan kontroversi terhadap Islam.
Penulis buku ‘I am Secular’ itu berpindah ke Australia dari Mesir pada Februari 2013, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa solat bersama pemimpin Ikhwanul Muslimin yang juga bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi adalah ‘batal dan tidak sah’ kerana Morsi dituduh melakukan jenayah kekerasan.
Dia juga mengatakan al-Quran hanya melarang daripada mabuk, bukannya melarang meminum alkohol. – Agensi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej