Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, September 2, 2016

INILAH PENYELESAIANNYA !

INILAH PENYELESAIANNYA !

Dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi dan politik,  manakala moral pula dianggap tidak penting. Menjadi rungutan masalah kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia, rasuah, pembahagian ekonomi yang tidak adil yang mencetuskan kesusahan hidup. Kekayaan berpusing dalam kalangan tertentu atau disalah guna atau diambil secara salah. Maka berlaku kebocoran, sedangkan rakyat yang majoriti berpendapatan rendah  pula tidak saksama dengan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.

Kerajaan pula mengambil penyelesaian dengan meningkatkan cukai atau mengadakan cukai-cukai baru, akibatnya sangat membebankan rakyat. Pada masa yang sama,  meningkat pula kadar jenayah berat yang membahayakan, seperti merompak, membunuh, mencuri, menipu dan lain-lain.

Adapun rompakan secara nyata atau mencuri secara tersembunyi oleh pihak yang dikira berkuasa  tidak dikisahkan. Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak yang merosakkan diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan. Oleh kerana negara kita juga berada dalam dunia, maka tidak terlepas juga daripada wabak ini. Sebabnya manusia sendiri yang melakukan kejahatan. Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ

(٤١-الروم)

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

(Surah Ar-Rum: ayat 41)

Kebanyakan manusia tidak sedar kelemahan dirinya sebagai makhluk ciptaan Allah yang tetap punya kelemahan. Seringkali mereka tidak mengaku salah dan mendabik dada sebagai paling bijak, sehingga melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam Yang Maha Rahmat, Bijaksana dan Adil terhadap seluruh alam.

Punca semua masalah ini ialah kerana meninggalkan petunjuk Allah yang bernama ISLAM.  Ini boleh difahami menerusi ayat Allah SWT dalam Al-Quran :

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُون

َ ٨٣ آل عمران.

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Deen Allah (Islam)? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri) dan kepadaNyalah mereka dikembalikan."

(Surah Ali-Imran: ayat 83)

Puncanya kerana memisahkan jasad daripada akal dan roh, serta memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama.  Laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak berfungsi dengan betul, tanpa menyedari perlaksanaan cara hidupnya tidak tepat dengan sifat kejadiannya sendiri kerana terkeluar daripada petunjuk Penciptanya iaitu Allah SWT, Yang Maha Mengatahui perkara berkenaannya.

Islam berprinsipkan atas asas-asas terpentingnya iaitu, "Akidah Tauhid" dan beriman kepada "Hari Akhirat", serta berkonsepkan "Taqwa dan Ad-Deen".

Semuanya adalah petunjuk Allah yang dibawa oleh semua para Rasul AS yang berakhir dengan Rasul Akhir zaman Muhammad SAW. Terbukti sejak para Rasul terdahulu yang berpeluang melaksanakannya apabila diimani dan diamalkan, telah mencapai kejayaan gemilang di zaman masing-masing.

Allah mengisahkan Nabi Daud dan Sulaiman AS begitu juga Raja Zulkarnain  yang berjaya bersama Islam di zaman masing-masing. Allah juga mengisahkan kemusnahan Kaum ‘Aad,  Tsamud, Babylon dan Firaun yang musnah bersama tamadun kebendaan mereka yang kaya-raya yang dibina atas jahiliyah yang penuh kejahatan dan kezaliman kerana menentang para Rasul.

Islam yang dibawa oleh  Rasul akhir zaman Muhammad SAW yang berasaskan empat perkara di atas. Bermula dengan pembangunan insan generasi awalnya, walau pun berada di bumi yang tidak ada sumber ekonomi namun telah berjaya bersama Islam yang berasaskan perkara-perkara tersebut,  membawa obornya dengan kejayaan  di zaman keemasan Baginda.  Tamadun yang mengumpulkan ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang ditapis daripada tamadun-tamadun lain yang dibina oleh pelbagai kaum dengan mengambil kebijaksanaannya sahaja dan menolak kemungkarannya. Menjadikan jasadnya  berakal, berilmu dan roh yang berhidayah, serta bersama kemajuan kebendaan yang berkat.

Tegasnya, bahawa prinsip Akidah Tauhid dan beriman kepada Hari Akhirat, serta konsep Takwa dan Ad-Deen telah berjaya memandu  manusia serta akalnya yang lemah, dapat disempurnakan dengan hidayah Allah, telah memungkinkan mereka berfungsi mengikut hikmah mereka diciptakan Allah pencipta Alam.

Tujuannya ialah:

1- Beribadat

(Menjaga hubungan dengan Allah dan mematuhi petunjukNya.)

2- Berkhilafah

(Melibatkan diri dengan politik, ekonomi dan lain-lain serta urusannya)

3- Beramanah

(Melaksanakan Syariat yang sempurna.)

Akidah Tauhid dengan mengesakan Allah sahaja Tuhan yang diibadatkan kepadanya dengan jasad, roh dan akal.  Ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi Tuhan apabila berkuasa memerintah negara, atau diberi nikmat kehidupan berpangkat  atau berharta. Dengan tegas menolak syirik dengan maksud yang menyeluruh, bukan sahaja diharamkan menyembah berhala atau patung,  termasuk juga makhluk yang lain, termasuk sesama manusia, dan juga tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.

Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau Teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya menjadikan dirinya seperti Tuhan, rakyatnya sebagai hamba. Termasuk menjadikan harta dan segala khazanah negara sebagai miliknya yang boleh diambil dengan apa-apa cara dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram.

Akidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang mengatasi undang-undang termasuk raja atau ketua negara sehingga mengharamkannya berlagak Tuhan. Allah berfirman di dalam Al-Quran :

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّ‍ۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُون

َ ٧٩ آل عمران

"Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmah serta kenabian, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya."

(Surah Ali-Imran: ayat 79)

Firman Allah SWT lagi :

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُون

َ ٣١   التوبة

"Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan  selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan."

(Surah Maryam: ayat 31)

Ada pun akidah Beriman Kepada Hari Akhirat, menjadikan semua tindak-tanduk manusia, tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannnya, ke syurga atau neraka setelah mati dan dihidupkan semula. Maka yang terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannya yang bijak menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, tetap percaya tidak terlepas bahawa hukuman di Hari Akhirat itu lebih berat. Allah SWT menyatakan lagi :

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا

٧١ الإسراء

"(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal, atau nabi atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.

(Surah Al-Isra': ayat 71)

Firman Allah SWT juga yang mesti kita fahami :

وَعُرِضُواْ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفّٗا لَّقَدۡ جِئۡتُمُونَا كَمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةِۢۚ بَلۡ زَعَمۡتُمۡ أَلَّن نَّجۡعَلَ لَكُم مَّوۡعِدٗا ٤٨ وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا ٤٩ الكهف

"Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

(Surah Al-Kahfi: ayat 48 - 49)

Konsep Takwa menggantikan kebanggaan terhadap assobiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Takwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan tidak boleh berlaku ketidakadilan kerana perbezaan bangsa, harta, keturunan, pangkat dan jantina. Firman  Allah SWT :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ

١٣ الحجرات

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Konsep Ad-Deen membezakan Islam dengan agama dan ideologi kerana ajarannya yang merangkumi segala aspek kejadian serta kehidupan dan bertalian tanpa dapat diputus atau dipisahkan antara satu sama lain.

Menjadikan aspek diri, keluarga, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan segala pengurusannya tidah terpisah dengan Akidah Tauhid, Beriman kepada Hari Akhirat , Takwa dan Deen (Islam). Firman Allah :

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأٓخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِي حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ ٢٠ أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١ الشورى

"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari Ad-Deen (agama dan cara hidup) mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah Syura: ayat 20-21)

Setelah selesai menegakkan negara yang berteraskan manusia yang dibina jati dirinya dengan perkara-perkara tersebut di atas, maka Rasulullah SAW mengutus surat kepada ketua-ketua kerajaan kuasa besar dan kecil dikelilingi Baginda supaya menerima tawaran penyelesaian Islam tersebut. Apabila Raja Habsyah, Oman, Bahrain dan ketua-ketua kaum menerimanya, mereka semua dikekalkan di tempat masing-masing.

Ada pun yang menolaknya diturunkan daripada jawatannya, digantikan dengan mereka yang beriman dan bertakwa bersama Islamnya dengan jati dirinya mengikut acuan Islam.

Inilah pendekatan yang wajib dilakukan oleh umatnya yang menyambung risalah yang tidak selesai ini. Tegasnya bukan menukar pemimpin, tetapi menukar jati dirinya dengan Akidah, Syariat, Akhlak dan pendekatan dengan prinsip dan konsep tersebut. Maka pemimpin wajib bertukar sekiranya berdegil dengan prinsip dan konsep yang salah demi menyelamatkan umat dan negara.

Tegakkan Islam di dalam diri selamatkan negara, tegakkan negara tanpa jati diri Islam, negara tetap tidak selamat.

"INILAH PENYELESAIAN KITA "

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

30 Zulkaedah 1437H / 02 September 2016M

Sumber : https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/9350-inilah-penyelesaiannya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej