IRAN: LAWAN ATAU KAWAN?
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru agar perbincangan atau wacana mengenai isu ini dihadam dengan memahami latar belakang sejarah yang tersendiri.
Beliau menyingkap sejarah Iran yang merupakan sebahagian Kerajaan Babylon dan tempat lahir Nabi Ibrahim a.s. Walaupun berlaku pertukaran agama menjadi Kerajaan Majusi yang menyembah api, tetapi berakhir dengan berubah menjadi Kerajaan Islam.
Menurut beliau, terdapat banyak hadis menyebut mengenai Parsi, menunjukkan peranannya di mana setelah dikuasai Islam pada zaman Khalifah Umar Ibnul Khattab r.a, Parsi menjadi salah satu daripada pusat ekonomi yang menumbuhkan kemajuan dan Tamadun Islam dalam segala aspek.
“Di Iran, ramai lahirnya ulama-ulama terbilang daripada semua mazhab, dalam semua ilmu. Para ulama tafsir, hadis, fekah dalam semua mazhab. Golongan Syiah yang ditarik pada hari ini, banyak lahir di Iran. Tirmizi, di antaranya ialah Imam Ghazali, di antaranya Abu Hanifah, Asy Syeikh Razi,” ujarnya menyebut beberapa nama.
Terang beliau, mereka itu telah menghasilkan ilmu-ilmu Islam dalam segala bidangnya, walaupun pada zaman mutakhir ini Iran menjadi pusat Mazhab Syiah yang bukan sahaja berasal daripada fekahnya, tetapi juga mempengaruhi akidahnya yang asalnya mazhab politik, hasil daripada politik di kalangan umat Islam itu sendiri.
Menurut Tuan Guru, perkembangan ilmu lebih berpusat di bandar-bandar yang ada para Sahabat dan ulama-ulama tersohor seperti Makkah, Madinah, Damsyik, Basrah, Quba, Mesir dan Yaman.
“Sama ada kalangan Sunni dan Syiah tidak menjadi masalah sehingga ulama-ulama seperti Ja'far As-Sadiq Al-Bakir, Mazhab Imamiyah belajar dengan ulama-ulama Sunni. Ulamak-ulamak Sunni belajar dengan Al-Bakir, Ja'far As-Sadiq.
“Walaupun mereka khilaf dalam beberapa perkara, tetapi tidak menjadi pertembungan yang sangat tajam antara satu sama lain. Menegakkan yang hak dan adil,” jelasnya.
Terdapat mereka itu jelas Tuan Guru, tinggal jauh di pedalaman seperti di Oman hingga berlakulah kelemahan-kelemahan di dalam kefahaman ijtihad yang melahirkan qaul-qaul dhaif.
Namun katanya, perkara itu tidak menjadi sebab terbantutnya dakwah di mana Islam berkembang di Asia Tengah dan sampai ke Asia Tenggara serta seluruh pelusuk dunia.
Bahkan menurutnya, dalam perkembangan di Asia Tenggara dapat dilihat bukan sahaja Mazhab Syafie, termasuk juga pengaruh-pengaruh Syiah wujud dalam masyarakat antaranya Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, sedangkan ianya tidak disebut di negara-negara Arab.
*Ahlul Islam*
Maklum Tuan Guru, pada Sidang Fekah yang dianjurkan oleh Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) telah beresolusi sidang kemuncaknya di Makkah, menerima lapan mazhab orang Islam sebagai penganut Islam meliputi lima kalangan Sunni iaitulah Hannafi, Maliki, Syafie, Hambali dan Zhahiri; dua kalangan Syiah iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah; serta satu Khawarij iaitu Ibadhi.
“Dianggap sebagai Ahlul Islam, walaupun di sana ada pandangan-pandangan yang dianggap, bercanggah dengan ahli Sunnah. Namun mengikut kaedah hukum, tidak boleh dihukum keluar daripada Islam, kerana adanya qaul-qaul di kalangan ulama tabi'in dan ulama dhaif.
“Contohnya dalam masalah hukum nikah muta'ah, ditolak oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi Mazhab Imamiyah mengatakan boleh dipakai, tidak dinasakhkan. Kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah menolak kerana berpendapat bahawa hukum nikah muta'ah dinasakhkan oleh Nabi SAW ketika peristiwa Khaibar.
“Namun kalangan Imamiyah, oleh kerana yang meriwayatkan hadis muta'ah ini ialah Abu Hurairah yang dianggap atas pagar, tak menyokong Saidina Ali, maka ditolak hadis haramkan nikah muta'ah ini, maka dipakai dalam Mazhab Imamiyah.
“Namun, ulama mengatakan tidak boleh kita anggap keluar daripada Islam, dengan sebab adanya muta'ah. Kerana apa? Kerana di sana ada kalangan-kalangan Sahabat dan tabi'in yang tidak ada pada masa dinasakhkan ini, mengikut riwayat. Di antaranya Ibnu Abbas dan Jabir r.a yang tidak ada pada masa itu di Khaibar.
“Ibnu Abbas duduk di Thaif, Jabir duduk di tempat lain. masa itu tak ada talipon, tidak ada internet. Bila ada cerita nasakh ini, tak sampai. Maka dia mengatakan bahawa, muta'ah tidak dinasakhkan,” terangnya bahawa ulama mengambil sikap berhati-hati kerana wujud qaul sedemikian.
Begitu juga dalam masalah jamak sembahyang di masa mukim, Imamiyah katanya membolehkan kerana Ibnu Sirin dan kalangan ulama-ulama tabi'in sebagaimana disebut oleh Nawawi dalam Al-Muhazzab, mengatakan Nabi pernah jamak ketika mukim dan tidak dengan sebab hujan atau musafir.
Ujar Tuan Guru, walaupun pandangan itu dhaif, tetapi oleh kerana ada pandangan yang seperti itu, maka tidak boleh dihukum pandangan itu keluar daripada Islam.
“Begitu juga Mazhab Zaidiyah yang menganut akidahnya Mu'tazilah, bukan Wahabi, bukan Asy`ariyah Maturidiyah. Pengikut dia ramai di Yaman. Ulama-ulama tidak menghukum Zaidiyah diluar daripada Islam, kerana Mu'tazilah yang dianggap salah dalam masalah menafsirkan perkataan Majaz.
“Kalam Allah itu Qadim, ataupun Hadis, bahawa ataupun sifat yang kekal abadi yang sedia kala, ataupun tidak, mengikut penafsiran mereka dari segi lafzinya, Quran yang ditulis dengan dakwat dan ada kertas, kalam Lafzi bukan kalam maknawi. Kalam maknawi adalah Qadim, kalam lafzi dianggap sebagai Hadis, oleh kerana boleh ditafsirkan,” jelas beliau.
*Penjajah Pecahkan Islam*
Namun menurut Tuan Guru, mutakhir ini berlaku ‘kemalangan’ selepas penjajahan apabila penjajah berjaya menggunakan perbezaan mazhab dan kaum untuk melagakan umat Islam.
Terangnya, dahulu masalah dalaman dan khilaf mazhab dibahas ilmu, bukan sahaja antara Sunni dan Syiah, bahkan antara Sunni dan Sunni.
Jelas beliau, jika Syiah ada perbahsan nikah muta'ah, Sunni khsusunya Mazhab Syafie ada ‘nikah Cina buta’, manakala Mazhab Maliki ada ‘nikah misyhar di mana ia bukan setakat menjadi perbincangan hangat antara Syiah dan Sunni, tetapi juga sesama Sunni.
Bagaimanapun menurut Tuan Guru, semua itu tidaklah menjadi perkara yang tersebar dalam masyarakat, tetapi sekadar perbahasan fekah sahaja.
“Kemudian, zaman mutakhir penjajah telah berjaya memecahkan umat Islam, apabila Iran dikuasai oleh kerajaan Safawi yang menganut Mazhab Syiah. Yaman menganut mazhab Syiah Zaidiyyah. Kerajaan Uthmaniyah menganut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, mazhab Hanafi, ini. Hanafi pula, mazhab Asy Syairah dan Maturidiyah.
“Di tengah-tengah Semenanjung Tanah Arab, muncul kumpulan Wahabi yang mengaku mazhab salaf, yang menyanggah mazhab Asy Syairah dan Maturidiyah. Di samping adanya Kurdish, adanya Turkmen di Iraq dan di sebahagian Syria.
“Mereka mengambil peluang daripada kelemahan kerajaan Uthmaniyah, di masa berlaku kezaliman, berlaku penyelewengan, berlaku kelemahan. Di masa ini, penjajah telah berjaya merasuk orang Islam, melalui mazhab.
“Digalakkan kerajaan Syiah di Iran menentang Uthmaniyah. Digalakkan kerajaan Zaidiyah di Yaman menentang Uthmaniyah. Digalakkan golongan Wahabi di Semenanjung di Arab menentang Uthmaniyyah. Maka berperanglah Uthmaniyyah dengan orang Islam yang macam-macam azhab, di samping berbagai kaum.
“Dalam masa yang sama menghadapi Russia yang menyerang Turki, menghadapi Barat menyerang Turki dalam perang dunia yang pertama, ringkaskan ceritanya, jatuh Kerajaan Uthmaniyah,” imbasnya.
Dakwa beliau, semua pertentangan itu dibantu oleh kuasa-kuasa Barat dan Timur, sama ada Russia, British dan Perancis menerusi peranan Lawrence of Arabia yang menjadi agen Barat masuk ke dalam saf orang Islam hingga negeri Arab dipecah-pecahkan.
Katanya, syarikat-syarikat Barat mengambil minyak dan Negeri Arab mendapat duit banyak, tetapi tanpa industri dan kemajuan ilmu serta tidak melaksanakan Islam.
Namun menurutnya, di sana ada gerakan Islam melalui Jamal ad-Din al-Afghani (Iran), Muhammad Abduh (Mesir) sebelum menghadapi pelbagai sekatan dan cabaran, sebelum kemudiannya muncul Ikhwanul Muslimin di Mesir piumpinan Hasan al-Banna.
Jelas Tuan Guru, kumpulan Islam terlibat di dalam menentang penubuhan negara Israel dengan sekeras-kerasnya, namun negara Arab tewas dalam peperangan dengan Israel kerana bersenjata ‘second hand’.
Walaupun ditentang kumpulan Mujahidin, tetapi Israel tetap berjaya ditubuhkan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berperanan menjayakannya, sedang kumpulan Islam menghadapi pemangsaan dihukum dan dibunuh.
Bagaimanapun ujar Tuan Guru, Barat terlepas pandang kepada Iran hingga berlaku Revolusi Iran, tetapi tetap tidak dianggap menggugat kerana jumlah Syiah seluruh dunia hanya 10 peratus umat Islam.
*Fahami Politik*
PAS katanya, pernah berpendirian menyokong Iran menentang Barat yang mengepungnya, juga dalam masa sama menentang Saddam Hussein, hingga rakan-rakan Arab menuduh PAS mengikut Syiah.
“PAS jadi Syiah, tidak! Kita tetap Sunni, tetapi kita faham politik, kita baca politik, bukan masalah Sunni Syiah ini. Ini masalah politik dunia Islam. Ini dituduh kita, PAS dipengaruhi oleh Syiah, PAS tetap Ahli Sunnah Wal Jamaah, tanpa mengira Sunni dan Syiah, orang Islam mesti bersatu, ini pendirian PAS, tegas dan nyata.
“Tiba-tiba Saddam menyerang Kuwait. Bila Saddam serang Kuwait, semua negeri Arab (yang mulanya) bersatu dengan Saddam, menentang Saddam balik, kerana Saddam sudah berpaling tadah, mengancam kepimpinan Amerika. Berlakulah Perang Teluk yang kedua selepas Perang Iran,” cerita beliau.
Namun katanya, Gerakan Islam tidak lumpuh untuk mengambil alih kuasa pemerintahan dunia Islam dan untuk mendaulahkan Parsi.
Antara memainkan peranan terang beliau, adalah Professor Najmuddin Erbakan di mana beliau pernah memanggil Menteri Petroleum Iran, Dr Ad-Dayani dan dinasihatkan supaya memajukan teknologi Iran agar dapat memintas teknologi Barat.
Erbakan juga katanya, menasihati Dayani supaya berbaik-baik dengan Russia, China dan Venezuela yang menjadi lawan Amerika dan Israel.
Terang Tuan Guru, selepas itu dilihat Iran berbaik dengan negara tersebut serta mencapai beberapa kejutan dalam kejayaan teknologi dan berkaitan peperangan melawan Israel.
Bagaimanapun berdasarkan pembacaannya, berlaku pembunuhan dan penculikan saintis-saintis dari Iran, selain peranan perisikan Arab menghantar al-Qaeda yang menimbulkan kekacauan di Syria kerana menjadi pangkalan kepada pihak penentang Israel.
*Kenali Musuh Sebenar*
Tambahnya lagi, walaupun menyedari Yaman dan Bashar al-Assad memerintah secara zalim, tetapi umat Islam mesti memahami awlawiyat antara menghadapi pemerintah zalim dengan menghadapi Israel.
“Saya marah dekat Umno ini, saya marah kat Umno, tetapi saya tak timbul Amerika, suruh mari serang di negara kita. Saya beri jaminan, kalau Amerika mari serang Malaysia, kita bersatu dalam untuk melawan Amerika. Kita berbalah-berbalah.
“Sebab itu saya kata, saya tak bersetuju dengan Umno, tetapi tak berbalah dengan orang Umno. Ini dia, kena faham ini, ini politik, kena faham. Jadi, berlaku kacau, semata-mata kerana mencetuskan kekacauan untuk menyelamatkan Israel.
“Kumpulan Islam ini, ada yang nak menang cepat, ada yang rasa lambat menang, lambat orang nak memberi bantuan, terima bantuan, ini ada, Yaman pun ada, Mesir pun ada. Ini Malaysia pun ada juga. Nak menang cepat, nak menang cepat, buat apa sahaja, maka berlawan sesama sendiri.
“Berlawan sesama sendiri, muncul kumpulan Houthi, kebetulan ketika berlaku krisis awal di Yaman,” ujarnya menyesali hal tersebut.
Sedangkan di Yaman itu katanya, krisis yang berlaku bukan kerana mazhab, tetapi kerana kezaliman, terbiar, semangat kedaerahan dan kaum, hingga kumpulan Houthi digunakan untuk menentang kerajaan serta mendapat bantuan dari Gaddafi untuk menimbulkan kekacauan.
Malangnya ujar beliau, peranan Nentanyahu dan Menteri Israel menyebabkan Yaman diperangi selepas itu.
Begitu juga katanya, pengisytiharan Hizbullah dan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas adalah peranan kuasa besar untuk melaga-lagakan Islam.
“Pemikiran politik, kita kena ada sikap kita sendiri, kena istiqamah, inilah sikap PAS, orang nak kata apa pada PAS, PAS selamat. PAS tak terlibat dalam percaturan mazhab. PAS menangani percaturan politik dengan cara pengkaji-pengkaji kita.
“Kita banyak pengkaji-pengkaji, professor-professor kita, pensyarah-pensyarah kita, berbagai kalangan wartawan-wartawan kita, semua maklumat-maklumat kita ambil daripada mereka, untuk membuat satu keputusan yang matang.
“Di mana keputusan politik bukan melalui kitab-kitab fekah, yang turath, yang lama. Termasuklah perkembangan terkini yang kita kena baca, yang kita kena tanya pakar-pakar kita.
"Namun demikian, saya yakin dan percaya, masa depan untuk Islam, masa depan untuk Islam. Akan tiba masanya Allah Taala menukar kuasa besar dunia. Akan tiba masa untuk Islam insya-Allah,” akhirinya.
(*Suntingan dari ucapan Presiden PAS pada Wacana Isu Antaragangsa, Sabtu, 5 Mac 2016 di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPASS) Seksyen 13, Shah Alam, Selangor)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej