RUU 355: Sambut baik pandangan Tun Hamid
WAN ROHIMI WAN DAUD
05 Oktober 2016.
RUU 355: DPPM SAMBUT BAIK PANDANGAN BEKAS KETUA HAKIM NEGARA, TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pandangan Tun Abd Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara, yang dibuat melalui 2 Artikelnya bertajuk: “Amendment To Act 355; The Real Effect” bertarikh 29/9/2016 dan “Thoughts On PAS Private Bill” bertarikh 2/6/2016.
Pandangan perundangan bekas Ketua Hakim Negara ini telah mengesahkan pendirian dan pegangan PAS berkaitan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26/5/2016 dan akan dibahaskan pada sidang Parlimen bermula 17/10/2016 ini.
Pandangan Tun Hamid dalam kedua-dua artikel tersebut turut menjelaskan pendirian PAS dalam soal RUU355 khususnya berkaitan hal-hal berikut:-
(a) Cadangan pindaan kepada Akta 355 tidak mengandungi sebarang kekeliruan kerana cadangan pindaan kepada Seskyen 2 (yang lama) Akta 355 dengan menggantikan Seksyen 2 yang baru adalah bertujuan mengemaskini frasa perundangan semata-mata. Berkaitan dengan hal ini – Tun Hamid menegaskan “Clearly the (proposed) new section 2 does not provide anything new. It merely repeats the existing law” ¬ [Jelas sekali cadangan seksyen 2 yang baru tidak memperkenalkan perkara baru. Ia hanya pengulangan undang-undang yang sedia ada];
(b) Intipati kepada cadangan pindaan melalui RUU355 hanyalah untuk memansuhkan sekatan kepada bidangkuasa hukuman yang pada masakini terhad kepada Penjara (maksimum) sehingga 3 tahun, Denda (maksimum) berjumlah RM5,000, dan sebatan (maksimum) sebanyak 6 sebatan (atau lebih dikenali sebagai “3-5-6”) atau mana-mana kombinasi darinya;
(c) Manakala cadangan penambahan Seksyen 2A adalah untuk memberikuasa kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi membuat atau meminda atau menambah, bidangkuasa hukuman Mahkamah Syariah agar boleh mengemaskini hukuman berdasarkan Hukum Syarak bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang telah sedia ada, melainkan hukuman mati. Mudahnya sekatan 3-5-6 akan dimansuhkan, dan dengan itu hukuman bagi kesalahan jenayah syariah akan berupaya memenuhi Hukum Syarak atau sekurang-kurangnya dapat dipertingkatkan untuk menghampiri Hukum Syarak, selagimana ia tidak melibatkan hukuman mati;
(d) Ruang ini pastinya akan memberikan pilihan kepada setiap negeri untuk mengemaskini hukuman sediaada. Justeru setiap negeri boleh memilih samada ada untuk memenuhi tuntutan Hukum Syarak, atau menghampirinya atau boleh juga memilih untuk tidak berbuat apa-apa, dan mengekalkan hukuman sedia ada.
(e) Tiada apa-apa kesalahan baru boleh diperkenalkan oleh mana-mana Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri di luar daripada Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Tegasnya jenis kesalahan masih sama, namun had hukuman bagi kesalahan yang sama dapat dipertingkatkan;
(f) Bagi kesalahan-kesalahan seperti zina, qazaf (tuduhan zina terhadap perempuan yang suci), minum arak dan murtad – ia adalah kesalahan-kesalahan yang telah sedia ada. Mentakrif perbuatan-perbuatan di atas sebagai perbuatan yang tergolong sebagai kesalahan atau jenayah Syariah adalah dalam bidangkuasa Negeri lantas memperuntukkan hukuman ke atas jenayah-jenayah tersebut juga adalah dalam bidangkuasa Negeri. Ia bukan perkara baru bahkan telah lama termaktub melalui Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan – creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of that religion, except in regard to matters included in the Federal List [kewujudan dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun agama itu, kecuali tentang apa-apa perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan);
(g) Dalam ada keadaan sekali pun, Akta 355 hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja dan langsung tidak melibatkan bukan Islam. Jaminan bahawa Akta 355 ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam masih dikekalkan melalui Seksyen 2 RUU355 (yang baru), mengulangi jaminan Perlembagaan Persekutuan yang diperuntukkan secara khusus melalui Senarai Negeri Jadual Kesembilan. Justeru orang bukan Islam seharusnya yakin bahawa pengecualian pemakaian bidangkuasa Mahkamah Syariah ke atas mereka akan terus kekal sedemikian kerana hal sedemikian telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan;
(h) Setelah RUU355 diluluskan melalui proses yang sepatutnya, bagi 4 kesalahan yang tergolong dalam jenayah hudud (zina-qazaf-minum arak-murtad), maka terpulang kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing sama ada untuk menerima hukuman hudud selain hukuman mati, atau meningkat magnitud hukuman yang masih bersifat denda, penjara dan sebatan, atau apa-apa hukuman yang lain selagimana ia tidak menceroboh bidangkuasa Persekutuan. Dalam konteks ini, setiap Negeri mempunyai Mufti-Mufti, Majlis-Majlis Agama dan ahli-ahli yang faqih bersama kepakarannya yang tersendiri. Serahkan urusan itu kepada ahlinya! Dalam keadaan sedemikian, RUU355 bukanlah satu “cek kosong” kerana pada akhirnya – RUU355 jika diluluskan nanti, akan dikembalikan kepada Dun untuk perbahasan yang lebih terperinci tentang bentuk hukuman-hukuman yang bakal diperluaskan;
(i) Tidak dinafikan bahawa RUU355 sebahagian kecilnya membuka jalan kepada pengenalan hukuman kepada kesalahan-kesalahan Hudud yang sedia ada iaitu qazaf, minum arak dan zina ghairu muhson (belum berkahwin). Namun bagi kesalahan zina muhsan (sudah berkahwin) dan murtad, ia tidak dapat dilaksanakan kerana melibatkan hukuman mati (termasuk rejam sampai mati). Manakala bagi lain-lain kesalahan Hudud seperti Sariqah (mencuri) dan Hirabah (rompak) adalah termasuk dalam bidangkuasa Persekutuan. Hukuman berbentuk Qisas juga adalah diluar bidangkuasa Negeri. Oleh itu untuk mengatakan bahawa RUU355 adalah jalan belakang kepada pengenalan Hudud adalah tidak tepat kerana jenis kesalahan baru tidak dapat ditambah (walau pun RUU355 diluluskan), dan hukuman yang berakhir dengan kematian dan potong tangan (amputation) tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu perlaksanaan Hudud dalam pakej yang lengkap dalam konteks syarak tetap tidak dapat dilaksanakan.
(j) Hudud dan Qisas secara lengkap dan sempurna tidak mungkin dapat dilakukan sekalipun RUU355 diluluskan oleh Parlimen. Pakej lengkap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 1993 (Pindaan 2015) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu tidak mungkin akan berlaku perlaksanaan hudud melalui pintu belakang sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah.
JUHAM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan berbanyak terima kasih kepada Tun Hamid atas kedua-dua tulisan tersebut. Ia adalah pencerahan tuntas dan mudah difahami oleh rakyat terbanyak khususnya bgi yang tidak memiliki latar belakang perundangan. JUHAM berharap pandangan Tun Hamid dapat menjernihkan kekeliruan dan menyumbang kepada pencerahan RUU355 serta kejayaan pelaksanaannya.
Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) DPPM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej