PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ORANG MUNAFIK RAPAT DENGAN ORANG YAHUDI
Firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ ۗ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِنْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[Al-Baqarah:13]
Seterusnya Allah mendedahkan lagi sifat-sifat munafik di dalam al-Quran. Orang-orang munafik ini akan ada sehingga hari kiamat. Oleh itu al-Quran menyebutkan sifatnya kerana al-Quran adalah mukjizat ilmu sehingga hari kiamat. Ia tidak terhenti sekadar zaman Nabi sahaja.
Walaupun orang-orang munafik ini sedaya upaya menyembunyikan kekufuran di dalam diri mereka, namun mereka tidak mampu menyembunyikannya berterusan. Apabila bertemu dengan sebilangan orang beriman yang dirasakan lemah pegangan imannya, mereka mempamerkan sifat sebenar terhadap Islam sedikit sebanyak.
Setelah melihat perangai orang munafik ini yang banyak bergaul dengan orang-orang Yahudi, sedangkan orang-orang beriman lain lebih banyak bergaul sesama Islam, maka ada sebilangan orang beriman yang menegur. Mereka diajak untuk beriman sebagaimana beriman kebanyakan orang beriman yang lain. Rapat dengan Rasulullah bukan dengan orang Yahudi. Berkawan dengan Yahudi tidak salah tapi bukan sampai tahap bekerja bersama dan untuk mereka.
Melihat orang yang menegur itu dari kalangan orang-orang kecil yang dirasakan tidak begitu kuat imannya, lalu orang-orang Yahudi berkata “adakah patut kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?!”
Maksudnya, adakah patut mereka mengikut jejak orang beriman yang rapat dengan Nabi dan orang Islam lain, sedangkan tiada sebarang keuntungan pun yang mereka dapat. Hanya beroleh susah sahaja. Cuma bercakap ganjaran pahala dan syurga, bukan boleh masuk dalam poket. Bahkan Nabi juga selalu mengajak derma dan infaq.
Sedangkan kalau bersama orang Yahudi ini mereka bagi macam-macam. Habuan mereka nampak jelas dimata. Hanya orang bodoh sahaja yang sanggup bersusah payah hidup dengan mendampingi Nabi.
Allah menempelak mereka dengan berkata, sebenarnya merekalah yang bodoh kerana memikirkan keuntungan dunia sahaja. Sedangkan yang bijak adalah yang memikirkan masa depan di akhirat. Namun mereka tidak menyedari hakikat ini.
Masjid Rusila
23 Zulkaedah 1437
26 Ogos 2016
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej